![]() |
| Salah seorang pelajar UiTM Shah Alam dengan rekaan yang unik dan anggun. |
INDUSTRI fesyen tanah air hari ini semakin berkembang dengan adanya ramai muka-muka baru selain penglibatan aktif mereka yang sudah lama bertapak dalam bidang ini.
Ini dapat dilihat apabila saban minggu pasti ada pertunjukkan fesyen dianjurkan dalam usaha memperkenalkan koleksi-koleksi terbaru di pasaran.
Terbaru, bertempat di Hotel Cititel, Kuala Lumpur, sebanyak 164 koleksi hasil buah tangan penuntut-penuntut tahun akhir, Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah diperagakan.
Kesemua koleksi yang digayakan pada petang itu merupakan 100 peratus ilham penuntut-penuntut tersebut.
Menggabungkan elemen-elemen tradisional dan kontemporari, kesemua rekaan yang dihasilkan menarik dan unik. Setiap rekaan yang dihasilkan sudah pasti memukau sesiapa sahaja yang melihatnya.
Menampilkan potongan rekaan, pemilihan fabrik dan mainan warna yang cukup memukau hati, kesemua koleksi tersebut boleh digayakan baik untuk majlis-majlis formal ataupun untuk gaya kasual.
Setiap koleksi sebenarnya lahir daripada hasil titik peluh penuntut terbabit sejak enam bulan lalu. Siapa sangka, pada usia mereka yang masih muda dalam industri fesyen, pereka muda ini mampu memperlihatkan hasil rekaan yang tidak boleh dipandang sebelah mata.
Menzahirkan setiap rekaan di atas fabrik pilihan masing-masing seperti kain kapas, sutera, satin, lace, linen dan denim, ia turut dibantu dengan pemakaian aksesori-aksesori yang bersesuaian dengan rekaan yang dihasilkan.
Fabrik yang ditampilkan kali ini juga merupakan fabrik yang ringan dan sesuai dengan cuaca seterusnya menjadikan koleksi-koleksi tersebut sesuai digayakan wanita Malaysia.
Yang pasti, kesemua rekaan yang diperagakan mengikut trend terkini walaupun telah ditetapkan temanya.
Jika dinilai dengan lebih terperinci, setiap rekaan yang dihasilkan oleh penuntut-penuntut UiTM ini layak diberi pujian kerana mereka bukan sahaja orang yang bertanggungjawab menghasilkan rekaan baju tersebut malah mereka jugalah yang bertanggungjawab melakar, memotong dan menjahit.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: