Tuesday, June 7, 2011

UP&D hargai khidmat guru


GERAI Kumpulan Utusan menjadi tumpuan orang ramai pada Festival Hari Guru di Kuching, Sarawak pada pertengahan bulan Mei lalu.


SEMPENA Festival Hari Guru 2011 yang berlangsung di tebing Sungai Kuching, Sarawak, dari 13 hingga 16 Mei lalu, pelbagai aktiviti telah diadakan di gerai-gerai yang mengambil bahagian.

Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D), misalnya, tidak ketinggalan mempromosikan buku dan pelbagai bacaan di samping menghebahkan terbitan buku terbaharu syarikat tersebut.

Festival tersebut umpama hadiah daripada Kumpulan Utusan kepada warga pendidik yang telah banyak menabur jasa mendidik anak bangsa. Apa yang membanggakan, program tersebut menerima sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin berkata, penganjuran itu diharap dapat memberikan nilai tambah kepada sambutan Hari Guru yang disambut pada setiap tahun.

"Sebagai syarikat media terunggul, Kumpulan Utusan sangat berbesar hati kerana berpeluang menganjur acara seumpama ini.

"Program seumpama ini merupakan tanggungjawab kami kepada masyarakat untuk menghasilkan insan cemerlang khususnya buat rakyat negeri ini," katanya.

Pelancaran buku baru

Pada 16 Mei lalu, UP&D telah melancarkan buku bertajuk Razali Ismail - Arkitek Pendidikan Negara dan set terjemahan empat tajuk buku karya L Ron Hubbard di pentas utama acara tersebut.

Pelancaran itu telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Buku Razali Ismail - Arkitek Pendidikan Negara adalah biografi Allahyarham Datuk Razali Ismail, mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia yang berkhidmat dari bulan Mac 2008 hingga November 2008. Buku itu ditulis oleh seorang sahabat Allahyarham yang juga seorang guru iaitu Tuan Sharif Tuan Putera.

Tuan Sharif atau lebih dikenali dengan Sharif Putera merupakan anak kelahiran Terengganu. Beliau merupakan seorang penulis yang sangat prolifik dalam menghasilkan karya-karya sastera sejak tahun 1962. Bahkan beliau juga menulis ratusan cerpen, drama radio dan rencana.

Razali sebenarnya bukanlah nama yang asing dalam dunia pendidikan negara. Rata-rata individu yang mengenali beliau mengakui sifat peribadinya yang komited terhadap tanggungjawab yang digalas dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.

Jasa Allahyarham dalam bidang pendidikan amat besar. Dunia pendidikan adalah dunia yang mewarnai hidup Allahyarham, seperti kata Allahyarham kepada Setiausaha Sulitnya, Mohd. Shahar Abdullah:

"Tidur saya sebagai guru, sedar saya sebagai guru. Hidup saya sebagai guru dan mati juga dalam guru."

Pengakuan itu ternyata benar dan hal itulah yang berlaku dalam kehidupannya.

Sementara itu, set empat buku terjemahan karya L Ron Hubbard merupakan sebahagian daripada koleksi klasik sains fiksyen yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, diterbitkan semula dan diedarkan oleh UP&D.

Buku-buku tersebut ialah Budak Hingusan (The Chee Chalker), Seandainya Aku Kamu (If I Were You), Pembunuh Perisik (Spy Killer) dan Di Bawah Panji-panji Hitam (Under The Black Ensign).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: