BOSAN dan letih adalah deskripsi yang dapat disimpulkan oleh aktres pujaan ramai Lisa Surihani saat bicara kami berlegar dalam lingkungan topik cinta.
Akui pelakon yang mesra disapa Lisa ini, manipulasi dan desakan orang sekeliling terhadap kisah dalam kain artis atau selebriti adakalanya ‘memeningkan’ kepala.
Jika segelintir artis yang lebih selesa menyangkalkan sesuatu dakwaan yang timbul atau melarikan diri, jelitawan ini sebaliknya memilih pendekatan yang bertentangan.
Keterbukaan Lisa dalam berbicara soal hubungannya dengan pengarah filem Yusry Abdul Halim, 37, bukan lagi rahsia.Cuma seperti manusia lain dia juga punya batas kesabaran dalam menghadapi pertanyaan yang silih-berganti tentang cerita yang sama.
“Saya atau Yusry tidak pernah menyembunyikan atau menafikan hubungan kami tetapi apabila ada pihak mendakwa kami tidak mengaku pada awalnya dan kini mula mengiakan selepas cerita ini tersebar luas, itu adalah satu dakwaan yang menyakitkan.
“Sejak dua bulan lalu apabila kami semakin rapat, saya tidak pernah bermain tarik tali dalam hal ini. Cuma yang saya harapkan tidak perlulah bertanya tentang perkara yang masih jauh daripada jangkauan seperti bila hendak kahwin dan perancangan hubungan pada masa depan?
“Kami baru saja berkawan dan memerlukan ruang untuk lebih mengenali serta membina keserasian,” jelasnya.
Menyentak emosi
Tambahnya, apa yang lebih menyentak emosi adalah keterbukaannya itu di manipulasi oleh kenyataan yang kononnya mereka sengaja mengelirukan orang ramai akan kesahihan hubungan tersebut.
“Yang membuatkan saya tidak faham apabila ada yang mendakwa kami sengaja berdolak-dalik dan mengaburi orang ramai tentang kesahihan hubungan ini.
“Bukankah setiap kali ditanya tentang perkara itu, saya atau Yusry tidak pernah menafikan tetapi biarlah pertanyaan itu berasas,” katanya.
Tegas Lisa berulang-kali, biarlah orang hendak kata atau fikir apa pun kerana dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kehidupannya termasuklah soal peribadi.
“Saya faham dan hormati apabila orang ingin mengetahui perkembangan hubungan kami tetapi kami baru berkawan apatah lagi untuk memikirkan soal bertunang atau berkahwin.
“Saya amat hargai andai diberikan ruang untuk kami jalaninya secara semula jadi dan bersahaja. Kalau tertulis ada jodoh kami, ia tidak akan ke mana,” terangnya.
Interaksi di Facebook dan TwitterSatu industri memperakui impak kemunculan aktres ini sejak menapak ke pentas lakonan empat tahun yang lalu.
Nama dan populariti bukan calang-calang kerana dia digilai kerana keayuan dan penampilannya yang sopan dan sederhana. Lihat saja pada angka pengikutnya di dua laman media sosial popular iaitu Facebook dan Twitter.
Angka pengikut di Facebook yang mencecah 1,523,099 orang dan Twitter (138,286 orang) membuktikan keutuhan Lisa sebagai antara bintang muda yang paling popular.
Bersembang tentang senario itu, anak perempuan tunggal dalam keluarga ini berkata, dia akan berinteraksi dan berkongsi perkembangannya sekerap yang mungkin untuk peminat.
Namun, kesibukan kerja ada kalanya menjadi penghalang untuk si manis ini aktif berinteraksi sekerap yang mungkin.
“Lazimnya, laman Facebook adalah medium untuk saya berkongsi perkembangan kerjaya manakala Twitter pula lebih bersifat peribadi untuk berkongsi pandangan dan kehidupan.
“Saya pun tidak sangka akan diikuti dengan jumlah peminat seramai itu. Apa pun, saya bersyukur kerana ramai yang ingin mengikuti perkembangan kerjaya saya.
“Kesibukan dengan tugasan ada kalanya menghalang saya untuk sentiasa berinteraksi namun saya tetap akan cuba mengemas kini perkembangan sekerap yang mungkin,” ceritanya.
Bagaimanapun, perkembangan berleluasa media sosial ini juga tidak terkecuali daripada anasir-anasir negatif.Risiko menjadi orang popular, Lisa tidak lepas daripada menjadi mangsa pemalsuan identiti di medium itu.
Menyamar
Kongsinya, antara kes terbaru yang dihadapinya apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyamar sebagai dirinya dan meminta derma daripada para peminat.
Mujur, pemalsuan itu dapat ditangani di mana Lisa memberikan amaran kepada pihak terbabit agar menutup akaun tersebut supaya tidak terus memperdayakan masyarakat dengan cara yang salah.
“Jujurnya, saya tidak pernah bising atau melenting. Saya faham mungkin kerana minat pada seseorang artis, orang sanggup buat apa saja termasuklah melakukan pemalsuan identiti.
“Namun, susah hendak cakap kerana kita tiada kawalan sepenuhnya tentang profil dan akuan itu sendiri kerana ini adalah dunia Internet.
“Apa yang diharapkan agar peminat tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk penipuan. Ingin saya tekankan bahawa saya hanya ada akaun Facebook dan Twitter saja atas nama Lisa Surihani dan bukan pada media sosial yang lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: