![]() |
| Kenangan... Muhammad Firdaus Haris ketika menerima anugerah Pingat Hang Tuah daripada Raja Permaisuri Agung ketika itu, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan Kali Ke-52 pada 2006. |
TAHUN 2006 iaitu ketika Muhammad Firdaus Haris berusia 12 tahun, kanak-kanak ini mencatat sejarah gemilang untuk diri dan ahli keluarganya apabila dianugerahkan Pingat Hang Tuah atas keberanian yang telah ditunjukkannya.
Pelajar darjah enam dari Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak, Selangor, ketika itu mendapat pengiktirafan tersebut sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan Kali Ke-52.
Detik tersebut merupakan satu sejarah penuh makna dalam hidup yang dibawa sepanjang meniti usia remaja.
Tahun demi tahun berlalu, kanak-kanak itu membesar menjadi seorang remaja yang bukan sahaja memiliki sahsiah peribadi yang baik malah berjaya dalam bidang akademik.
Muhammad Firdaus kini berusia 18 tahun dan ketika artikel ini ditulis, dia dengan rasminya telah menjalani kehidupan sebagai siswazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jengka, Pahang, dalam jurusan jurusan sains.
Mengimbas kembali kisah yang membolehkan dia dianugerahkan pingat tertinggi untuk kanak-kanak itu, ia bertitik tolak daripada peristiwa dia menyelamatkan kanak-kanak berusia empat tahun daripada lemas dalam kolam renang.
Tindakan pantasnya telah membolehkan kanak-kanak tersebut, Muhammad Azri Shah Shamsul yang ketika kejadian berusia empat tahun terus bernyawa hingga kini.
"Kejadian tersebut berlaku pada waktu malam. Ketika itu semua ahli keluarga saya tiada di bilik penginapan kerana ke hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan akibat keracunan makanan.
"Saya tinggal di bilik bapa saudara dan kemudian meminta izin darinya untuk bermain di kolam kanak-kanak.
"Ketika sedang bermain saya nampak kelibat seorang kanak-kanak kecil yang berjalan menuju ke kolam. Tiba-tiba dia tidak kelihatan kerana sudah jatuh ke dalam kolam.
"Dengan serta merta saya berlari ke kolam dewasa tersebut dan terus mencapai rambutnya dan menariknya ke tepi kolam," imbas Muhammad Firdaus yang ditemui di kediamannya di Taman Sri Gombak, Gombak, Selangor baru-baru ini.
Tragedi bersejarah itu memang memberi satu dimensi dalam hidup Muhammad Firdaus yang kemudiannya menjadi seorang remaja yang begitu prihatin dengan masyarakat.
Sudah tentu ia juga hasil didikan dan galakan daripada kedua ibu bapa tercinta iaitu, Haris Abu Talib, 46, dan Asnita Abas, 45.
"Muhammad Firdaus adalah anak kedua daripada empat beradik. Asas pendidikan yang kami terapkan kepada dirinya tentulah pendidikan agama.
"Selain itu untuk cemerlang dalam akademik, kami susun jadual harian mereka agar lebih fokus dalam pelajaran. Hari Isnin hingga Jumaat Firdaus dan adik beradiknya tidak dibenarkan menonton televisyen. Manakala pada hujung minggu bebas menonton dan beriadah," ujar Haris.
Malah dia sentiasa menasihati dan mendisiplinkan anak-anaknya sejak kecil.
Salah satu caranya ialah dengan menanamkan semangat dari segi bantuan sosial kepada setiap ahli masyarakat yang memerlukan.
"Sudah tentu kita perlu menjadi model kepada anak-anak, justeru saya mengaktifkan diri dengan persatuan masyarakat dan bagi galakan untuk anak aktif di sekolah tidak kira apa jua persatuan yang mereka ceburi.
"Mereka perlu memikirkan apakah khidmat bakti yang boleh diberikan kepada masyarakat keliling," katanya.
Penerapan daripada segi rohani yang paling utama, Haris tidak lupa mengajak anak lelakinya untuk menjadikan solat berjemaah di masjid atau surau sebagai rutin.
Kerana menurutnya, asas agama yang mampu memberikan kejayaan bukan sahaja di dunia malah akhirat kelak.
Muhammad Firdaus pemalu tapi bertanggung jawab
Dalam pada itu, tutur kata dan baris perkataan yang keluar dari mulut Muhammad Firdaus jelas mencerminkan kematangan dirinya.
Anak muda berusia 18 tahun ini dengan tenang berbicara tentang kehidupan remajanya serta matlamat hidupnya pada masa akan datang.
"Sejak di tingkatan satu lagi saya sudah dibiasakan hidup berdikari di asrama Yayasan Selangor. Setiap Ahad memang saya akan terlibat dengan aktiviti bergotong royong, riadah dan turut menjadi exco dalam biro riadah," ujarnya yang pernah mewakili sekolah di peringkat negeri dalam sukan bola sepak dan sofball.
Semasa bersekolah di peringkat menengah, Yayasan Selangor turut berbesar hati memberi biasiswa kepada Muhammad Firdaus.
Malah ketika artikel ini ditulis permohonan bagi mendapatkan biasiswa bagi pengajiannya di UiTM dari yayasan tersebut juga telah diluluskan.
"Pingat Hang Tuah yang diterima bukanlah menjadi satu beban, sebaliknya Allah telah memberikan saya satu rasa kebertanggungjawaban yang tinggi dalam diri.
"Walaupun ketika kejadian lima tahun lalu saya tidak pandai berenang, hikmahnya selepas itu saya sertai kelas berenang dan belajar ilmu pertolongan cemas dari persatuan pengakap yang saya sertai di sekolah menengah.
"Bagi saya setiap ahli masyarakat patut mempunyai sikap ingin membantu satu sama lain dan tidak mementingkan diri sendiri.
"Cadangan saya agar kita mencontohi mentaliti masyarakat Barat yang sanggup membantu setiap bangsa tidak kira ketika kemalangan atau apa jua situasi. Ambil yang positif sahaja untuk dicontohi," katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: