![]() |
| Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bersalaman dengan Tok Ayah pada satu majlis di Perak. |
LEBIH separuh abad mengabdikan diri kepada institusi diraja di Perak, Toh Seri Wangsa Abdul Rahim Mohamed tidak melupakan dua peristiwa getir bersama Sultan Idris Shah.
Pertama adalah peristiwa hampir maut apabila bot yang dinaiki bersama Sultan Idris Shah bocor dan hampir karam di Selat Melaka.
Yang kedua ketika menemani Sultan Idris Shah berdepan dengan orang Melayu dan Cina yang pada ketika itu perasaan marah mereka sedang membuak-buak selepas tercetus pergaduhan di Pulau Pangkor.
Menyingkap peristiwa yang berlaku 40 tahun lalu, beliau berkata, segalanya bermula pada satu petang sekitar pukul 5, ketika dia bersama Sultan Idris Shah dalam perjalanan pulang dari Lumut ke Teluk Intan.
Deruan angin Selat Melaka yang pada mulanya nyaman memukul pipi tiba-tiba dirasakan berubah.
Awan hitam cepat berarak masuk menggantikan awan-awan putih. Ombak mula memukul kuat dinding bot sehingga menyebabkan ia terumbang-ambing.
Melihat keadaan yang tidak baik itu Tok Ayah memohon kepada Tuanku Sultan Idris untuk kembali mengemudi bot berkenaan.
Hujan terus turun dengan lebat dan ombak semakin ganas.
Tiba-tiba terasa satu pukulan kuat ombak menghempap dinding bot dan serentak itu awak-awak bot menjerit bot pecah, air masuk.
Keadaan menjadi kelam kabut tetapi dengan pantas dan tenang Tok Ayah mengawal keadaan dengan meminta awak-awak berkenaan segera menutup kebocoran tersebut dengan bantal.
Dalam keadaan air semakin banyak memasuki bot, Tok Ayah terus mengemudi bot berkenaan dengan berhati-hati sambil mulutnya tidak berhenti berdoa mohon diselamatkan daripada sebarang peristiwa buruk.
Pengalaman cemas itu berakhir dan berkat doa serta kecekapan pengemudian Tok Ayah. Bot yang membawa Sultan Idris Shah itu berjaya mengharungi badai dan tiba dengan selamat di Bagan Datoh.
Bercerita mengenai kisah di Pulau Pangkor, Tok Ayah memberitahu berita mengenai pergaduhan di pulau tersebut diketahui ketika Sultan Idris Shah dalam perjalanan menaiki kapal ke Pulau Pinang.
"Ketika sampai di perairan sekitar Kuala Kurau, kami mendapat maklumat menerusi sistem perhubungan atur wayarles bahawa pergaduhan semakin serius, tidak terkawal dan tidak ada siapa pun yang berani untuk datang mengawal.
"Sultan Idris mengarahkan kami berpatah balik ke Pulau Pangkor. Setiba sahaja di pulau tersebut ketegangan jelas dirasai.
"Saya dan Sultan Idris naik ke pulau dan bertemu dengan ketua-ketua kumpulan terbabit.
"Kami yang menjangkakan satu tindak balas akan berlaku terkejut dan lega dengan penerimaan baik semua pihak bertelagah," katanya.
Menurut Tok Ayah ekoran kedua-dua kejadian itu mendorong Sultan Idris Shah mengurniakan kepadanya Pingat Keberanian Handal.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: