Sunday, June 26, 2011

Transformers bukan permainan semata-mata


Mohd. Termizi Mohd. Nor yakin 'pelaburannya' masa kini memberi keuntungan masa depan kelak.


SEMEMANGNYA diakui ada yang mempertikaikan perihal hobinya. Namun anak muda itu tidak peduli. Baginya mereka tidak tahu faktor utama mendorong jiwa mudanya memiliki mainan itu. Tidak siapa pun tahu betapa Transformers menjadi pembakar semangat untuk mencapai impian dalam kehidupan. Apatah lagi ia berkait rapat dengan bidang kejuruteraan yang diminatinya itu.

Pemegang Diploma Elektronik, Informasi dan Teknologi lulusan Institut Jerman Malaysia (GMI) 2010 ini memberitahu permainan itu cukup signifikan dengan kerjayanya sekarang. Transformers juga menjana fikirannya agar lebih serius menyelesaikan masalah terutama merobah aplikasi satu benda kepada unsur robotik.

Mohd. Termizi Mohd. Nor juga mengkaji kejuruteraan yang digunapakai dalam rancangan Transformers sepanjang mengikuti pembelajaran di institusi pengajian tersebut.

"Transformers bukan berorientasikan permainan sahaja. Dia ada cabang kejuruteraan tersendiri. Boleh menjana daya imaginasi seseorang untuk menjadi lebih inovasi," katanya.

Anak kedua dari tiga beradik ini bagaimanapun mengakui kewangan tidak mengizinkannya untuk memiliki permainan jenama itu.

Apatah lagi selepas dihalang oleh kedua ibu bapanya, Mohd. Nor Puteh dan Rogayah Abu Bakar sejak kecil. Alasan mereka, pelaburan untuk membeli barangan berkenaan adalah satu pembaziran.

Menjadi realiti

Justeru, bilangan Transformers yang dikumpul Mohd. Termizi tidak banyak. Ia berjumlah antara 40 hingga 50 biji sahaja meliputi Transformers Masterpiece edisi satu hingga sembilan.

Kesempatan untuk memulakan siri himpunan permainan jenama berkenaan bermula Oktober tahun lepas sewaktu dia tamat pengajian dari GMI.

Gajinya bulan pertama di tempat kerja baru dimanfaatkan sepenuhnya. Seboleh-bolehnya Mohd. Termizi mahu sebuah permainan Transformers yang telah lama diidamkan menjadi hak milik kekal.

Akhirnya, Transformers jenis Leader Class Buster Optimus Prime menjadi miliknya. Dan amalan mengasingkan wang gaji itu diteruskan setiap bulan sehingga hari ini.

Ditanya punca maklumat terbaru tentang robot tersebut, dia memberitahu kebanyakannya dari forum Collector's Hangout (CShot) di http://c-shots.com/forum.

Minat Mohd. Termizi juga bercambah setiap kali berpeluang berjumpa rakan-rakan sealiran di Kedai Haji di pusat membeli belah Amcorp di Petaling Jaya, Kuala Lumpur.

Di situ, mereka akan duduk berjam-jam membincangkan apa juga jenis pembaharuan berkaitan Transformers.

Jejaka berusia 25 tahun ini tidak dapat menyembunyikan rasa teruja untuk menonton wayang Tranformers musim ketiga pada 29 Jun ini.

Hujahnya, dia mahu melihat kewujudan fungsi robot baru yang boleh dijadikan pelengkap koleksi peribadinya itu.

Selain itu tidak sabar untuk melibat lebih banyak aksi yang didedahkan oleh Optimus Prime berbanding dua filem yang pernah ditayangkan sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: