Sunday, June 26, 2011

Ruhani insan bersemangat kental


Datin Ruhani Ibrahim disahkan menghidap sejenis penyakit sendi sejak lahir lagi.


KESEMPATAN bertemu wanita ini di Seminar Orang Kelainan Upaya (OKU) Peringkat Selangor baru-baru ini membuatkan penulis kagum dengan semangat juang yang dimilikinya.

Hadir bertongkat, dia masih mampu melemparkan senyuman dan bersemangat mendengar setiap bait ucapan penceramah.

Datin Ruhani Ibrahim, 61 disahkan menghidap sejenis penyakit sendi sejak lahir lagi.

Tidak pernah berputus asa, dia mahu memperjuangkan nasib golongan OKU menerusi Majlis Pemulihan Malaysia (MPM) yang ditubuhkan sejak 39 tahun lalu.

Daripada kecil, Ruhani telah dididik oleh keluarganya untuk berdikari.

"Melihat adik-beradik dan kanak-kanak bermain, saya mahu jadi seperti mereka. Walaupun saya tidak mampu berlari, melompat dan berjalan lancar seperti mereka, keinginan itu tetap ada. Pada usia tiga tahun, saya mendekati dunia kanak-kanak walaupun terpaksa mengesot. Emak saya pula sudah mengajar saya untuk pergi ke klinik sendiri.

"Kadang-kadang saya berasa sakit tatkala punggung melecet tetapi itu tidak mematahkan semangat saya," ujarnya yang kini bertugas di KOLEJ Universiti MAHSA (MAHSA).

Bersyukur

Ruhani bersyukur kerana dia mempunyai ibu bapa yang sangat memberi sokongan. Kebetulan bapanya seorang polis dan berpelajaran. Begitu juga ibunya yang tidak pernah patah semangat untuk memastikan Ruhani mendapat didikan yang sempurna.

"Alhamdulillah Allah masih menyayangi saya. saya dapat bersekolah hingga melanjutkan pelajaran ke England. Jika dikenangkan masa kanak-kanak dan remaja saya amat menyedihkan, Disebabkan penyakit yang saya hadapi, sendi saya membengkak. Masa itu, arwah datuk saya mengipas kaki saya yang bengkak hingga kulit pecah," katanya.

Dalam kesibukan kerjaya dan badan bukan kerajaan, Ruhani diuji pula dengan tumor otak pada usia 45 tahun.

Pada masa itu, rakan-rakannya menggalakkan dia untuk berdiam di rumah.

Tetapi itu bukan cara hidupnya kerana dia tidak

boleh berdiam di rumah tanpa memberi sumbangan kepada masyarakat.

"Jika dikenangkan apa yang saya alami sebelum ini, sebenarnya terlalu banyak sehingga tidak mampu saya tanggung. Semasa bertugas di Universiti Malaya, saya pernah dijangkiti Hepatitis B. Saya tidak menyalahkan keadaan pada masa itu (era 70-an) kerana pada waktu itu aspek kesihatan kurang dititik beratkan.

Justeru itu, sebagai OKU kita tidak boleh mengalah dengan takdir tetapi perlu banyak berdoa dan sabar," kata Naib Presiden MPM ini.

Dia yang sudah lama menggunakan tongkat untuk berjalan sebenarnya kini berhadapan dengan masalah buah pinggang rosak dan banyak lagi anggota dalamannya yang sudah tidak berfungsi.

Reda dan pasrah dengan ketentuan Allah, Ruhani tidak pernah lupa memperjuangkan nasib golongan OKU yang lain.

Nasihat Ruhani pada ibu bapa yang mempunyai anak OKU supaya tidak malu dan perlu dapatkan maklumat yang betul.

"Ramai menjadi OKU apabila mereka meningkat dewasa atau memasuki alam kanak-kanak. Misalnya, kanak-kanak yang mengalami sawan menjadi OKU akibat ibu bapa mereka tidak tahu mengawal demam panas anak mereka. Ada juga yang tidak mahu memakan ubat anti sawan sebaliknya mempercayai cara rawatan lain. Ilmu atau pembelajaran tentang sesuatu penyakit itu penting untuk memastikan anak anda yang OKU membesar dengan sempurna," katanya.

Kerjasama

Dalam pada itu, Ruhani meminta golongan pemimpin sama ada kampung atau negara lebih peka dengan isu OKU seperti menganjurkan program belia, masjid dan sebagainya.

Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan pendidikan golongan OKU lebih terjamin.

Menerusi Seminar OKU, badan bukan kerajaan dapat menjadi orang tengah untuk membantu golongan OKU.

"Sepanjang 40 tahun, saya dan rakan-rakan yang lain dan MPM mengharapkan segala fasiliti yang diharapkan dapat dilaksanakan. Penganjuran seminar seperti ini diharap dapat memupuk kesedaran bagi semua yang terlibat dalam perancangan dan pembangunan dalam bandar ke atas konsep dan prinsip-prinsip Reka bentuk Universal (Universal Design) serta garis panduan-garis sedia ada.

Justeru penglibatan golongan arkitek dan jurutera diharap dapat sama-sama mengenalpasti n aspek-aspek kritikal yang perlu diberi penekanan dan diambil kira dalam pelaksanaan "Barrier Free City", ujarnya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: