![]() |
| Bawah: Ruang makan ringkas tapi mempesona, perhatikan jam dinding unik yang menjadi antara barangan kesayangan Syukur. |
PERJALANAN menuju kediaman yang menghiasi ruangan Tata Hias minggu ini pada mulanya terasa seakan jauh. Selain perlu melalui kawasan berbukit-bukau, ladang kelapa sawit dan ladang getah, penulis yang tidak pernah sampai ke situ beberapa kali tersasar laluan dari arah yang ditunjukkan.
Setelah berpusing berkali-kali, akhirnya sampai juga ke tempat yang dicari. Seawal melangkah keluar dari kenderaan, sebuah rumah teres dua tingkat dengan laman menghijau kemas mencuri tumpuan.
Seorang lelaki berusia awal 30-an menyapa mesra: "Memang kalau pertama kali datang rasa jauh, tapi kalau dah biasa sebenarnya dekat saja," kata pemilik kediaman, Mohd. Syukur Sahim.
Walaupun terletak di daerah Sepang, namun ia sebenarnya hanya beberapa kilometer saja dari pusat pentadbiran negara, Putrajaya.
Melihat lamannya sahaja, sudah menggambarkan betapa pemilik kediaman itu seorang yang teliti dan kemas.
"Mungkin disebabkan kawasan kejiranan ini baru, pemilik masing-masing masih mengekalkan bentuk asal kediaman tanpa sebarang tambahan di bahagian laman, sebab itu nampak kemas dan tenang," kata Syukur.
Dia yang bertugas sebagai seorang guru berkata, kawasan paling disukainya adalah laman hijau yang dianggap satu terapi terutama tatkala waktu petang dan tiada aktiviti di sekolah. Dari proses menentukan konsep hingga bercucuk tanam, semuanya dilakukan sendiri tanpa bantuan pakar landskap. Sebuah mini pancuran daripada tiga biji tempayan mencipta irama harmoni yang cukup mendamaikan.
Menjengah ke dalam rumah, sekali lagi terpegun dengan susun letak perabot dan aksesori yang cukup kemas serta teratur. Kata Syukur, dia gemar kepada warna semula jadi seperti coklat dan krim. Justeru warna asal kediaman tersebut sudah begitu, lalu dia tidak banyak berhabis untuk proses pengubahsuaian.
"Saya cuma tambah plaster siling, kabinet dapur dan sedikit kerja-kerja elektrik untuk pencahayaan," katanya.
Pada ruang tamu yang menawan, sofa jenama Red Apple dipadankan dengan katil sofa berwarna coklat pekat mencipta suasana eksklusif. Lantai kayu dipasang pada bahagian ruang tamu yang menurutnya dimenangi melalui satu pertandingan kediaman anjuran sebuah majalah.
Sebuah kabinet unik di tepi televisyen menjadikan ruang itu kelihatan sangat bergaya. Bagi Syukur, kabinet tersebut dan sebuah lagi jam dinding merupakan barangan yang paling disukainya.
Semula jadi
Beberapa tumbuhan segar menghiasi dalam kediaman. Kata Syukur, selain sebagai terapi mata, kehadiran pokok-pokok itu menjadikan ruang dalaman kediaman benar-benar 'hidup.'
Selain itu, dia turut menyerikannya dengan tumbuhan plastik namun seakan pokok sebenar atas faktor.
Pada ruang dapur yang bersaiz sederhana, Syukur memilih warna putih sebagai latar.
"Sebab dapur saya agak sempit, jadi saya pilih warna putih supaya ia kelihatan luas dan kemas," katanya.
Naik ke ruang atas, kawasan tangga tidak dibiarkan kosong begitu saja. Syukur memilih warna merah melatari dinding dan digantung bingkai bercorak bunga abstrak yang menarik.
Pada bahagian atas, sebuah sofa kayu jati yang dimenangi dalam satu pertandingan menghias kediaman mewarnai ruang. Di situ tersusun rapi majalah dan buku-buku. Begitu juga dengan artikel melibatkan beliau yang pernah tersiar dalam akhbar atau majalah. Beberapa bingkai himpunan setem turut digantung. Kata lelaki itu, ia merupakan himpunan peribadi yang sangat disayangi.
Bilik tidur utama di tingkat atas dihias ringkas. Menempatkan beberapa buah beg bean berwarna terang, ia dipadankan dengan sebuah katil kayu sederhana. Di situ juga terletaknya almari pakaian berwarna putih. Kata Syukur, bilik itu sebenarnya dibiarkan kosong kerana dia lebih selesa tidur di bilik bawah.
Bingkai-bingkai kosong yang dilekat pada dinding tidak dibiar begitu saja, guru yang pernah berkhidmat di Labuan itu meletakkan gulungan tali leher menjadikan ia kelihatan bak sebuah perhiasan yang unik.
Secara keseluruhan, walaupun Syukur tinggal sendirian, namun kediaman itu tidak kaku dan kosong begitu saja. Tambahan pula lokasinya yang terletak di kawasan berbukit-bukau hijau, menjadikan ia sebuah tempat yang cukup tenang dan selesa. Benar kata orang, "rumah itu ibarat syurga."

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: