Saturday, June 11, 2011

Terkeliru dengan ‘halal’


Premis atau hotel yang mempunyai sijil halal pasti akan menjadi pilihan masyarakat untuk menjamu selera.


DI mana tempat yang sedap nak makan? Sedap ke makanan tu…” Itu antara dialog yang biasa kita dengar tentang. Jarang sekali kita dengar: “Di mana tempat yang halal nak makan? Halal ke makanan tu…”

ini menunjukkan bahawa pengguna Islam di Malaysia sentiasa bersangka baik tentang status halal sesuatu produk.

Lebih-lebih lagi kecanggihan teknologi makanan dunia menyebabkan umat Islam keliru dengan status halal sesuatu produk terutama setelah dijenamakan semula.

Sering timbul pertanyaan bolehkah menggunakan perkataan ‘halal’ untuk bak kut teh, hamburger, hot dog, beef bacon, turkey ham, bir dan lain-lain.

Akhir-akhir ini, media massa juga banyak membangkit isu menggabungkan nama ‘halal’ dengan istilah yang mengelirukan dan haram. Terutamanya isu bir halal yang menjadi polemik kepada orang Islam.

Begitu juga dengan nama beef bacon, hamburger, chicken ham digunakan oleh restoran dan hotel untuk menarik golongan bukan Islam atau pelancong asing.

Walaupun ia adalah daging lembu atau ayam tetapi dengan nama tersebut dapat menunjukkan ia seolah-olah atau coraknya seperti daging babi.

Sebenarnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah lama mengharamkan nama-nama ini kepada industri halal untuk mendapatkan sijil halal.

Semua ini bertentangan dengan Prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan Malaysia Standard MS 1500:2009 yang menjadi asas kepada Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam pengurusan pensijilan halal.

Ini bermakna Jakim dan JAIN tidak akan mengeluarkan sijil halal kepada mana-mana syarikat atau produk yang menggunakan nama-nama yang dikaitkan dengan perkara haram.

Dalam perkara 4.5 (g) Prosedur Pensijilan Halal Malaysia menyatakan: “Permohonan pensijilan halal ditolak sekiranya mengunakan perkataan atau nama yang sinonim dengan perkara yang haram seperti bak kut teh dan sebagainya.”

Dalam klausa 3.7.4 MS 1500:2009 juga menyebut: “Makanan halal dan bahan perasa tiruan halal, hendaklah tidak menggunakan nama atau nama yang sinonim dengan istilah yang mengelirukan atau merujuk kepada makanan tidak halal seperti ham, bak kut teh, bacon, bir, rum dan sebagainya.”

Sebab itu Jakim tidak boleh memberi sijil halal kepada bir yang didakwa halal. Tidak semestinya tidak mabuk itu adalah halal. Haramnya kerana ia adalah najis.

Pengharaman sesuatu produk mengambil kira banyak perkara termasuk bahan yang digunakan, cara proses, peralatan dan kesan kepada pengguna selain sumber al-Quran dan hadis.

Sheikh Dr. Yusof Al-Qaradaawi (Tokoh Maal Hijrah 2009) dalam bukunya Halal wal Haram fil Islam (Halal dan Haram Dalam Islam) menjelaskan dalam prinsip ketujuhnya, akan ada manusia akan membuat tipu daya dengan menggambarkan perkara yang haram itu dengan ditukar namanya kepada halal.

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Nanti akan ada segolongan dari umatku yang menganggap minuman khamar itu halal dengan menamakannya dengan nama-namanya yang lain”. (riwayat Ahmad).

Nabi SAW bersabda lagi yang bermaksud: Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Lantaran itu, peranan Jakim bukan hanya mengeluarkan sijil halal kepada produk atau syarikat semata-mata tetapi juga melihat kesan ke atas generasi Islam yang memakan produk tersebut.

Jika diberikan sijil halal kepada nama-nama tersebut di Malaysia maka apabila ke luar negara nanti generasi ini juga beranggapan nama-nama tersebut adalah halal.

Atas alasan itu Jakim memainkan peranan tanggungjawab agama dan sosial tidak mengeluarkan sijil halal kerana mencegah adalah lebih baik daripada berubat.

Kita tidak harus merosakkan fikiran generasi yang telah rosak kini dengan nama haram yang dihalalkan.

Justeru dicadangkan agensi lain yang terlibat seperti Kementerian Pelancongan, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain yang terlibat supaya tidak membenarkan nama-nama haram digabungkan dengan perkataan halal untuk tujuan promosi atau sebagainya supaya pengguna tidak terkeliru.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: