Keakraban Rohaizad dengan medium cat air yang digunakannya hampir 18 tahun berkarya, membuatkan beliau mudah meneroka, mengolah warna, menyusun ruang serta bijak menterjemahkannya kepada sebuah lukisan.
Karya-karya beliau banyak menyentuh kepada nilai estetik seni berlatar belakang kehidupan sebagai isi utama yang dipersembahkan kepada tatapan umum seperti pengalaman hidup, pengamatan persekitaran fizikal dan kehidupan petani.
Antara kedamaian dan pembangunan
Menghayati karya-karya Rohaizad membawa penulis untuk menoleh kepada keindahan kampung, pergaulan sosial dan pemikiran masyarakatnya dalam pelbagai keadaan serta suasana.
Menyentuh di sebalik pameran solo, Pohon Cemara yang diadakan di Arti Fine Art Studio, 23-2A, Tingkat 2, Jalan 2/4C, Desa Melawati itu, Rohaizad memberitahu beliau mengambil masa selama setahun setengah untuk menyiapkan 15 buah lukisan di atas kanvas.
Lulusan seni halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu bagaimanapun menongkah arus kerana ketika ramai pelukis-pelukis muda berlumba mencipta nama di Kuala Lumpur, beliau bertekad untuk kembali ke kampung halamannya di Jitra, Kedah pada akhir 1990.
Baginya, kebahagiaan dan kesusahan orang kampung, bau tanah bendang, gemersik angin meniup jerami padi dan bau kampung seolah-olah telah sebati.
"Ini merupakan kekuatan untuk saya terus berkarya secara gigih dan merakam keindahan alam daripada pengalaman yang pernah dilihat serta dirasai," katanya.
Menurutnya, karya bertajuk Pohon Cemara banyak menunjukkan kesan luahan emosi yang bersifat peribadi.
"Saya memilih dan menyusun objek yang pernah dilihat, dipegang dan dirasai suatu ketika dahulu untuk digabungkan dalam karya yang agak sentimental dan ia membawa kita untuk mengimbau kenangan lalu terutamanya masa kecil yang terlalu indah dan menghiburkan.
"Malah kenangan membesar dan dimanjakan oleh datuk, tinggal di pondok beratapkan rumbia, dikelilingi sawah padi, bermain dengan jerami-jerami padi bersama pistol kayu, membawa saya untuk berhenti sejenak dan menoleh tentang kenangan-kenangan lampau yang indah," ujarnya.
Kenangan masa kecil
Katanya, kenangan masa kecil perlu disimpan secara rapi tetapi selalunya ia disimpan di suatu kawasan yang jauh tersembunyi dan kita hanya akan mencarinya kembali ketika kesunyian atau ketika ia diperlukan.
Maksud yang ingin disampaikan oleh Rohaizad boleh dilihat dalam pemilihan imej sebagai perlambangan.
Contohnya, jika dihayati melalui karya Patung-Patung, ia melambangkan simbol kepada kerakusan individu mengejar pembangunan tanpa mengira batas dan hak orang lain.
"Patung-patung (orang-orang) yang biasanya diletakkan di tengah sawah bertujuan menakutkan burung-burung daripada merosakkan padi, tetapi kini ia menjadi igauan ngeri kepada petani yang akan kehilangan tanah sawah dan mata pencarian mereka yang dirampas atas nama pembangunan.
"Begitu juga karya-karya Tewas dan Arus Pembangunan. Saya memprotes secara tepat kepada isu-isu semasa dan penderitaan golongan petani yang tertindas.
"Pembangunan memang diperlukan tetapi dengan menidakkan hak orang lain untuk hidup adalah sesuatu yang sukar diterima oleh fitrah manusia," katanya.
Karya-karya itu seolah-olah meminta kita berfikir secara kritis tentang keadaan dan masa hadapan yang dihadapi oleh warga petani.
Karya-karya lain seperti Rimba, Lembah dan After AB Ibrahim 2 menunjukkan penggunaan simbol-simbol lalu lintas yang biasa kita lihat di jalan raya.
Tetapi jika diperhatikan, beliau meletakkan satu titik fokus yang meninggalkan sebuah persoalan untuk kita mencari jawapannya sendiri.
Secara kita tidak sedar, perubahan yang berlaku di hadapan landskap sebuah dimensi baru itu, bukan lagi berkisar kepada rakaman keindahan alam semula jadi tetapi lebih kepada pemikiran Rohaizad mengenai keindahan tersebut yang semakin hilang atau dilupai.
"Proses perubahan persekitaran ini dirasai kerana saya hidup bersama masyarakat petani kampung.
"Perjuangan untuk satu identiti budaya menetapkan bahawa para karyawan kita perlu mengkaji secara ikhlas perubahan-perubahan yang sentiasa berlaku di sekitar kita.
"Masa hadapan seni tampak negara hanya dapat berterusan sebagai aktiviti yang bermakna jika ia berteraskan satu pandangan dan perasaan yang ikhlas," jelasnya.
Tambahnya, pembangunan memang baik untuk negara tetapi ia perlulah terancang dan jangan pula kita membangun sehingga kita kehilangan kedamaian dan suasana ceria di kampung demi kerakusan mengejar pembangunan semata-mata.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: