Tuesday, June 7, 2011

Tangan seni Chai Tiam




SEPASANG mata tuanya begitu teliti melihat hasil calitan berusnya. Dia mewarnakan motif bunga sakura di atas sepasang terompah kayu.

Siapa sangka daripada sepasang terompah kosong yang langsung tidak dipandang orang, ia dilukis indah dengan cat berwarna-warni sehingga menjadi hasil seni yang mengagumkan.

Walaupun suasana di Makan Kitchen

di DoubleTree, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sibuk dengan tetamu yang mahu menjamu selera, Ng Chai Tiam, 70, tekun melukis pelbagai motif di atas terompah. Adakalanya dia menulis kaligrafi di atas lembaran kertas.

Keghairahan lelaki yang sudah beruban kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu terhadap seni lukisan dan kaligrafi Cina membuatkannya nekad mengembara jauh untuk mendalami seni tersebut lima dekad lalu.

Ketika usianya 21 tahun, Chai Tiam meninggalkan tanah tumpah darahnya dari tahun 1962 hingga 1966 semata-mata mahu mempelajari seni mengecat terompah, kaligrafi dan ukiran Cina di New Asia College di Kowloon, Hong Kong.

Menyelami hatinya untuk membongkar cerita di sebalik kebolehannya itu agak sukar. Dia juga kurang fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Sebaliknya, Chai Tiam lebih selesa berbicara dalam dialek Hokkien dan Mandarin.


PROSES melukis corak di atas terompah memerlukan ketelitian pelukisnya.


Mujur anak perempuannya yang kebetulan menemaninya, Ng Sin Tean, 34, dengan bantuan daripada Eksekutif Komunikasi dan Pemasaran DoubleTree, Lim Chi Yee, memudahkan urusan menterjemah.

“Tiada siapa yang mendorong saya untuk berkecimpung dalam bidang seni lukisan dan kaligrafi Cina. Semunya didorong oleh minat saya sendiri. Ibu dan ayah juga tidak menunjukkan minat yang sama, begitu juga dengan sembilan adik-beradik lain,” katanya yang mempunyai 10 adik-beradik.

Motif

Chai Tiam memberitahu, terompah yang dihias dengan motif menarik itu bergantung kepada permintaan. Ada yang mudah dilukis dan ada yang sukar bergantung pada motif yang dikehendaki dan saiz terompah.

“Ia memerlukan ketekunan, kesabaran, ketelitian dan yang paling penting kemahiran,” ujarnya sambil memberitahu perkara paling penting ialah lukisan itu perlu nampak hidup dan bukan kusam.

Untuk mendapatkan kesan hidup itu, sesebuah lukisan pada terompah mahupun pada lembaran kertas memerlukan kombinasi warna yang betul.

“Sepasang terompah yang siap diwarna dan dilukis indah mengambil masa di antara tiga hingga empat jam untuk disiapkan kerana ia melibatkan beberapa proses yang memerlukan ketelitian dan kesabaran,” jelasnya.

Antara peralatan yang diperlukan ialah berus Cina pelbagai saiz, kertas pasir, syelek dan cat air.

Katanya, sesebuah terompah sebelum diwarnakan perlu digosok permukaannya dengan menggunakan kertas pasir sebelum dicat dengan warna asas.

“Selepas ia kering, proses melukis dilakukan secara berperingkat-peringkat. Mula-mula ranting dan kelopak-kelopak bunga dilukis dan dikeringkan sebelum membuat perincian lukisan seperti daun dan sebagainya.

“Selepas ia kering, barulah terompah tersebut disapu dengan syelek bagi mengilatkan kayu sekali gus menjadikan lukisan itu tahan lama,” terangnya bersungguh-sungguh sambil memberitahu kayu terompah biasanya diperbuat daripada kayu pokok durian dan pokok getah.


SALAH seorang pelanggan mencuba terompah hasil kerja tangan Chai Tiam.


Terompah hasil kerja tangannya sering dijadikan cenderamata dan digunakan dalam perkahwinan masyarakat Cina.

Menurutnya, dalam kepercayaan kaum Cina, terompah tersebut akan diletakkan di atas katil bertujuan memijak segala unsur jahat bagi membolehkan perjalanan sesebuah perkahwinan itu lancar dan harmoni.

“Kini, tiada lagi yang memakai terompah. Dahulu, terompah digunakan sebagai alas kaki bagi mengelakkan seseorang itu tergelincir apabila melalui kawasan licin kerana tapaknya kesat yang mencengkam.

“Bagi mengembalikan kegemilangan terompah supaya ia lebih dikenali, kini permukaannya dilukis dengan pelbagai motif seperti bunga sakura, buluh, ikan dan sebagainya,” katanya yang mempunyai kedainya sendiri di Tian Hua Arts & Antique di 85, Carnarvon Street, George Town, Pulau Pinang.

Terompah Chai Tiam yang indah dijual pada harga antara RM38 hingga RM58 mengikut saiz manakala terompah mini dijual pada harga di antara RM12 hingga RM28.

Walaupun lima dekad mengabdikan dirinya dalam seni melukis terompah dan kaligrafi, dua orang anaknya, Sin Tean, 34 dan Ng Weng Leng, 38, sedikit pun tidak menunjukkan minat yang sama seperti bapa mereka.

Namun, Chai Tiam tidak terguris malah tidak pernah memaksa anak-anakmengikut jejaknya itu. Begitupun, hatinya mungkin berbunga riang apabila cucunya, Laurel Soo Zhi Ying, 7, menunjukkan minat melukis.

Selain melukis pada terompah, Chai Tiam turut membuat kaligrafi dan mengukir cop mohor.

Kaligrafi memerlukan seseorang itu mahir mengendalikan berus untuk melukis dan menulis. Ia nampak mudah tetapi bagi yang pernah mencubanya pasti sukar untuk mengawal pergerakan tangan.

Bagi Chai Tiam yang suka membaca buku dan menonton televisyen, dia hanya memerlukan masa antara lima hingga 10 minit untuk menyiapkan sesuatu hasil kaligrafi mengikut saiz.

Katanya, sesuatu motif yang dilukis membawa maksud yang tersendiri. Kura-kura membawa maksud panjang umur, buluh membawa maksud peningkatan dalam karier, udang sebagai simbol kegembiraan dan bunga sakura pula diertikan sebagai tabah, tekun dan kesungguhan.

“Cop mohor seperti ini juga jarang digunakan. Ia adalah pengganti tandatangan yang seringkali digunakan oleh seseorang pelukis pada hasil seninya.

“Ia sukar ditiru dan diukir pada batu dengan penuh cermat. Tulisan perlu ditulis dengan pensel terlebih dahulu sebelum diukir dan sesuatu cop mohor itu disiapkan dalam tempoh dua jam yang dijual pada harga antara RM150 hingga RM300,” katanya yang mendapat tempahan dari tokong dan orang perseorangan.

Ditebak soalan sampai bilakah dia mahu meneruskan minatnya itu, Chai Tiam menjawab: “Saya akan melakukannya selagi tangan masih kuat dan mata boleh melihat,” katanya yang gemar mengisi masa lapang dengan membaca buku dan menonton televisyen.

Ketekunan


TEROMPAH mini sesuai dijadikan cenderamata.


Walaupun Sin Tien tidak menunjukkan minat untuk mendalami bakat bapanya, namun dia berbangga dengan penglibatan ayahnya itu kerana tidak ramai individu yang mahir dalam seni tersebut.

“Sungguhpun tidak mewarisi bakat bapa, tetapi semasa kecil saya suka menolong bapa di kedai dan menemaninya ke mana sahaja.

“Ayah seorang yang tekun melukis tetapi untuk mengikut jejak langkahnya adalah mustahil kerana saya tidak mahir melukis,” katanya.

Walaupun bapanya itu mempunyai minat yang mendalam terhadap seni lukisan dan tulisan kaligrafi, dia tidak pernah memaksa anak-anaknya untuk melakukan perkara yang sama.

“Ayah lebih suka jika kami mempunyai minat yang lahir daripada diri kami sendiri,” katanya.

Rakan baik Chai Tiam, Lee Chee Cheng, 48, turut memuji ketekunan rakannya itu walaupun jarak umur mereka jauh berbeza.

“Kedai kami berhampiran sahaja. Kami dalam aliran yang sama iaitu membuat seni tradisional Cina. Minat saya lebih kepada kaligrafi dan ukiran kayu.

“Kami selalu berbincang dan bertukar-tukar pandangan selain memenuhi jemputan membuat demonstrasi ke seluruh negara bagi mempromosikan hasil seni yang semakin jauh dari hati masyarakat terutamanya anak-anak muda,” ujarnya yang mendapat tunjuk ajar daripada seorang guru di Ayer Hitam, Pulau Pinang tujuh tahun lalu.

Chee Cheng memberitahu, mereka yang benar-benar berminat sahaja akan melibatkan diri dalam seni lukisan dan kaligrafi Cina.

“Ramai anak muda kini tidak mahu membuat kerja-kerja ini sebab tidak boleh jadi kaya. Memang benar, kerana kami mahu menjadikan apa yang kami lakukan sebagai karier memang sukar.

“Kami berkorban kerana sangat meminati bidang seni ini,” akuinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: