
Namun, sejak siaran minggu pertama lagi, siapa yang dapat menafikan impak dibawa program tersebut sehingga menjadi topik bualan seluruh peringkat usia.
Setiap hari Jumaat, bukan saja Studio Finas tempat berlangsungnya program dibanjiri penonton, malah ribuan yang lain setia menunggu di depan kaca televisyen semata-mata mahu menyaksikan gelagat mencuit hati peserta ML.
Melihatkan sambutan luar biasa penonton, Astro menambah bilangan episod dan membawa program itu ke luar Lembah Klang iaitu di Pulau Pinang, Pahang dan Johor.
Bagaikan sudah dijangka, penonton memenuhi ketiga-tiga lokasi membuktikan fenomena dibawa peserta ML sudah ‘berjangkit’ ke seluruh negara.
Malam ini, seperti diketahui empat peserta bertuah iaitu Jozan, Jambu, Sepah dan Nabil akan berentap di gelanggang akhir ML yang diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam.
Sebenarnya bukan mudah untuk kesemua peserta layak ke peringkat akhir, apatah lagi 13 minggu diharungi penuh tekanan.
Ia dapat dilihat dengan jelas dari prestasi tidak menentu kebanyakan peserta dan tiada yang betul-betul konsisten sepanjang minggu.
Kumpulan Jozan misalnya, memulakan saingan sambil lewa sehingga mendapat amaran keras daripada juri tetap dibarisi Mamat Khalid, Ahmad Idham dan Saiful Apek.
Hanya selepas beberapa minggu, baru Jozan yang dianggotai Johan dan Zizan ini bangkit menambat hati penonton.
Paling ketara adalah persembahan Nabil sering turun naik sehingga nyaris tersingkir akibat beberapa kali berada di kedudukan terbawah.
Walaupun kesemua peserta pernah merasai pengalaman di pentas akhir Raja Lawak (RL), namun perlu diingatkan ‘standard’ ML jauh lebih tinggi.
Namun, pujian harus diberikan kepada semua peserta kerana berjaya mengangkat komedi ke tahap lebih baik melalui program ini.
Sekurang-kurangnya ada di antara mereka bukan sekadar tampil dengan lawak menggeletek perut, namun mengandungi pengajaran tersirat di sebaliknya.
Maka, terlalu sukar untuk meramalkan pertembungan seorang peserta solo dengan tiga peserta berkumpulan ini akan berpihak kepada siapa.
Pola undian yang begitu berbeza setiap minggu menunjukkan penonton semakin bijak menilai dan tidak sekadar mengundi peserta pilihan berdasarkan nama dan populariti.
Sebaliknya, populariti akan mengiringi sekiranya komedi yang dipersembahkan berjaya memikat hati penonton.
Sama-sama kita nantikan siapa yang berjaya memegang takhta ML sekali gus bawa pulang wang tunai RM300,000.
ML akan bersiaran secara langsung di saluran 132 Astro Warna dan saluran HD (188).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: