
Keputusan untuk menyertai Imam Muda musim pertama adalah langkah permulaan jejaka ini untuk mempersiapkan diri dengan dunia realiti lebih mencabar.
Walaupun terkandas di saat-saat akhir program, namun Aran optimis membina kariernya dan terus berdakwah ke jalan Allah SWT.
“Memang saya berharap untuk ke final, tetapi rezeki tidak menyebelahi saya. Walaupun tersingkir pada semi final, saya berpuas hati dengan apa yang saya pelajari menerusi Imam Muda memandangkan saya dikelilingi oleh mereka yang berpengalaman dalam bidang ini dan saya pula baru bertatih.
“Sepanjang bersama Imam Muda, saya amat mengagumi pendakwah, Syed Norhisham Tuan Padang Al-Idrus kerana pendekatan yang digunakan amat berkesan dan memudahkan urusan kami sepanjang program itu,” katanya.
Bertanya mengenai Imam Muda musim kedua, Aran, menyokong sepenuhnya program itu kerana menurutnya seorang imam bukan terletak pada suara yang merdu, tetapi harus mendalami ilmu agama dan hukum-hakam Allah SWT.
“Ada yang memiliki kepetahan bercakap, tapi gagal untuk menjadi imam yang betul. Selain itu, pemilihan haruslah tepat dan jangan sesekali memilih mereka yang ingin mengejar populariti.
“Bila niat dah salah, kesudahannya akan parah. Mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas dan hanya mengharapkan imbuhan semata-mata,” katanya yang kurang pula bersetuju dengan program pencarian ustazah anjuran Astro Oasis memandangkan ia boleh mengundang pelbagai isu kelak.
Selain Nabi Muhammad SAW, Aran menjadikan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai idola. Bagi Aran, kewibawaan Umar sebagai pemimpin yang adil dan saksama adalah ilham untuknya meneruskan perjuangan.
“Saya ingin jadi sepertinya kerana beliau dikenali sebagai seorang pemimpin yang tawaduk, ikhlas, merendah diri dan sukar dicari pada zaman sekarang,” katanya yang bakal melanjutkan pelajaran dalam Sarjana al-Quran dan Sunnah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada September ini.
Terus berdakwah
Menyusuri latar belakangnya, Aran berkata, dia bukanlah berasal dari keluarga yang handal dalam bidang agama. Namun di atas didikan ibu bapa yang mahu anaknya mendalami ilmu agama, maka dia semakin cenderung ke arah itu. Bermula dengan pengajian di Institut Tahfiz Gemencih, Negeri Sembilan, Aran kemudiannya melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar dalam bidang Takhassus Al-Quran Wal Qiraat.
Kepulangannya pada November 2009 dari Mesir membawa peluang yang cerah untuk masa depannya dan pada awal tahun 2010, Aran menyertai Bank Islam dengan menjawat tugas sebagai Penolong Pengurus Bahagian Syariah yang beroperasi di Bukit Damansara.
Namun, tugasnya hanya bertahan lima bulan sahaja setelah tertarik menyertai program realiti Imam Muda di Astro Oasis. Sejak itu, bermulalah dunia Aran bersama Imam Muda dengan pengalaman yang sangat berharga.
Optimis meluaskan kariernya, Aran, menubuhkan syarikat, Aran Management, pada bulan Februari lalu bagi memantapkan lagi usaha penganjuran program-program yang berunsur keagamaan terutama untuk meningkatkan kesedaran anak-anak muda �mengenai al-Quran.
“Program motivasi ini diadakan di sekolah-sekolah. Antara program yang kami anjurkan ialah Kem Pelapis Imam dan Kem Sahsiah Diri.
“Selain aktif menguruskan syarikat sendiri, saya juga dilantik sebagai ‘Ikon Pelancongan Remaja Muslim’ bersama Sanabil Holiday Sdn Bhd yang berperanan mengajak remaja Muslim melancong atau bermusafir melihat keindahan dunia bersama saya,” katanya yang akan berangkat ke Beijing, hujung tahun ini.
Rancang kahwin November
Tidak berahsia mengenai jodohnya, kata Aran, dia sudah pun bertemu dengan calon isteri yang sesuai dan akan mendirikan rumah tangga pada November ini.
“Calon sudah ada cuma tarikhnya belum ada yang sesuai. Biarlah ambil masa sikit, saya tidak mahu terburu-buru membuat pilihan yang boleh mendatangkan penyesalan di kemudian hari.
“Saya tidak mahu mengikat tali pertunangan dan mahu segera menunaikan apa yang wajib sahaja seperti akad nikah. Calon itu semestinya bukan dari kalangan artis, saya mahukan yang sekufu dengan saya.
“Selain dari empat ciri yang ditetapkan, wanita itu haruslah pandai memasak, penyayang dan paling utama, dia seorang pembersih,” katanya kini aktif menerima undangan ceramah dan motivasi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: