![]() |
| PISTOL yang pernah dimiliki oleh Al Capone (gambar kecil) dilelong pada harga lebih RM327,000 di London, kelmarin. |
LONDON 23 Jun - Sepucuk revolver milik gengster terkenal Amerika Syarikat, Al Capone dijual di pusat lelongan di London semalam pada harga 67,250 pound (RM327,536).
Revolver jenis .38 'Police Detective' keluaran 1929 itu digunakan Capone atau nama sebenarnya, Alphonse Gabriel Capone, semasa menjadi raja dunia jenayah di Chicago pada zaman di mana undang-undang tidak diendahkan.
Jualan senjata api dan antik perisai yang dianjurkan oleh firma lelongan, Christie's turut melelong 209 barangan antik yang diperoleh dari abad ke-10 dan 20, dengan kutipan hasil sebanyak 634,825 pound (RM3.1 juta).
"Jualan kali ini menunjukkan minat dari seluruh dunia dengan kehadiran beberapa pelanggan baru serta kejayaan pembelian revolver milik Al Capone.
"Permintaan terhadap barangan berkualiti, keadaan barang dan yang jarang ditemui menunjukkan pembida mahu barang yang sempurna dalam kategori ini," kata pengarah jualan, Howard Dixon.
Capone yang dilahirkan di New York, menjadi terkenal selepas penglibatannya dalam kes pembunuhan beramai-ramai pada hari St. Valentine pada 1929, mengorbankan tujuh orang gengster lawannya.
Penjenayah juga turut dikenali dengan penampilan berpakaian kemas dan bertopi sekali gus menjadi imej stereotaip kumpulan gengster selepas itu.
Dia yang turut dikenali sebagai Scarface pernah berkata, "Anda boleh melangkah lebih jauh dengan berkata manis dan sepucuk senjata, berbanding sekadar berkata manis sahaja."

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: