DISEBUT sebagai projek pembangunan muzium terbesar di dunia, cadangan pembinaan 'rumah' baru yang bakal menyimpan lebih 160,000 artifak Mesir purba dan khazanah firaun, The Grand Egyptian Museum (GEM) di Kaherah, Mesir, amat dinantikan masyarakat antarabangsa.
Mengapa tidak, mengikut perancangan, setiap segmen pameran direkabentuk berpandukan kronologi ketamadunan Mesir iaitu dari zaman awal Mesir hingga masa kini, dengan kesan khas atau efek kerajaan Mesir kuno melatari mood keseluruhan.
Mengikut gambaran yang dikongsi secara eksklusif oleh pengurusan Muzium Mesir kepada sisipan Rona yang melawat Kaherah bersama rombongan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) baru-baru ini, ‘rumah’ baru Firaun menjanjikan pengalaman hebat sesuai dengan status muzium moden yang dibangunkan dengan teknologi ‘state of the art’ malah diperkukuhkan dengan elemen realiti maya.
Keseronokan meneroka muzium baru ini bermula sebaik saja pelawat menaiki tangga utama kompleks hebat ini. Dari tangga ini, pelawat dibawa menjejaki salasilah kerajaan Mesir serta melihat sendiri betapa gahnya ketamadunan dan keunikan sejarah Mesir yang hingga hari ini masih terus diperdebatkan dalam pelbagai forum ilmiah, malah tidak kurang juga ada yang terus dilingkari misteri. Apabila tiba di puncak, sebuah galeri berdinding kaca menanti pelawat. Di sini, perhatian pelawat pasti tertumpu kepada pemandangan hebat tiga piramid dari jauh - suatu visual memukau yang memberi makna tersendiri terhadap magis peradaban Mesir. Galeri ini tidak syak lagi akan menjadi antara tumpuan utama GEM yang dijangka dibuka pintunya kepada pelawat, selewat-lewatnya menjelang 2015.
“Piramid dan Mesir tidak boleh dipisahkan. Sebut saja Mesir, siapa saja pantas mengaitkannya dengan piramid. Atas konsep mahu menonjolkan ketamadunan Mesir di lokasi tidak jauh dari piramid, projek GEM dibangunkan di tapak ini. Ia dianggap lokasi paling sesuai dan selayaknya bagi muzium segah ini dalam merungkai kisah ketamadunan Mesir,” kata Ketua Jabatan Penyelidikan, Majlis Tertinggi Antikuiti (SCA) Mesir merangkap Pengarah Muzium Mesir, Dr Tarek El Awady dalam sesi temuramah di pejabatnya di bangunan asal Muzium Mesir.
Muzium berusia 110 tahun ini terletak tidak jauh dari lokasi demonstrasi yang tercetus Januari lalu, Tahrir Square, di tengah-tengah bandaraya Kaherah.
Kunjungan MATTA ke bandaraya Kaherah dan Iskandariah atas undangan syarikat pelancongan terkemuka di Kaherah, Star Gold Travel bertujuan meninjau industri pelancongan Mesir selepas revolusi yang menyaksikan Presiden Hosni Mubarak, diguling, Januari lalu.
Menurut Dr Tarek, selain keunikan ruang galeri berdinding kaca yang menghadap tiga piramid, kompleks baru GEM memberi lebih kepuasan kepada pengunjung terutama dalam konteks interpretasi dan penghormatan sewajarnya terhadap lebih 160,000 artifak terkumpul melewati pelbagai era dalam zaman kegemilangan Mesir dengan artifak terawal berada dalam simpanan dipercayai berusia 10,000 tahun lalu.
Misalnya, khazanah peninggalan salah seorang raja termuda iaitu Tutankhamun atau King Tut yang mencecah 5,000 jenis artifak dalam simpanan pihak berkuasa Mesir, akan dipamerkan di ruang berukuran lebih 4,000 meter persegi di GEM. Berbanding sekarang, khazanah salah seorang Firaun itu sekadar memenuhi bilik khas seluas kira-kira 700 meter. “King Tut bakal mendapat ruang khas dengan lebih banyak artifak dan maklumat berhubung Firaun termuda ini dapat dikongsi bersama pengunjung,” kata Dr Tarek.
Ini diakui penulis ketika rombongan MATTA dan media dibawa melihat sendiri ruang pameran King Tut yang memenuhi bilik berkeluasan sederhana di tingkat dua bangunan Muzium Mesir. Faktor kesempitan ruang memaksa pengurusan muzium meletakkan syarat supaya lawatan ke kamar King Tut hanya boleh dibuat secara bergilir-gilir. Apabila ruang itu mula dipenuhi pengunjung, kakitangan bertugas terpaksa menutup sementara kamar King Tut sehingga pelawat keluar.
Senario ini pasti tidak akan berlaku di ‘rumah’ baru King Tut dan tentunya, lebih banyak artifak peninggalannya yang mungkin sebelum ini terperuk dalam stor, dapat dipertontonkan kepada orang ramai.
Dalam kepelbagaian artifak tinggalan King Tut, sudah pasti topeng emas yang disarung pada mumia pewaris termuda takhta ini paling mencuri tumpuan. Diletak dalam kotak kaca, topeng emas yang dianggap ikon kepada sejarah ketamadunan Mesir amat teliti pembikinannya - dengan seni pertukangan halus dan aura yang hingga hari ini bagai mengundang misteri dan pesona kepada sesiapa saja yang berpeluang melihat artifak ini dari dekat.
Mengikut sejarah, King Tut adalah antara raja terakhir Firaun dinasti ke-18 Mesir dan memerintah ketika tempoh penting dipenuhi pergolakan apabila fahaman Akhenaten berakhir dan kuasa dikembalikan kepada paderi lama yang memuja pelbagai dewa.
“Projek GEM amat penting bagi rakyat Mesir kerana ia dianggap suatu projek besar yang akan meletakkan kembali sejarah ketamadunan Mesir ke tempat asal dan sewajarnya,” jelas Dr Tarek menceritakan apresiasi rakyat Mesir terhadap projek mega ini. Kecintaan rakyat Mesir terhadap sejarah peradaban negara itu usah dipertikaikan kerana ketika revolusi, rakyatnya membuat kubu manusia di sekeliling Muzium Mesir bagi membentuk benteng pertahanan mengelak bangunan itu dimasuki perompak atau pencuri harta karun.
Dr Tarek berkata, keadaan di Muzium Mesir sekarang cukup ‘sesak’ untuk mempamerkan keseluruhan artifak dalam simpanannya. Malah, katanya, masih banyak lagi khazanah lama terperuk dalam setor kerana tidak cukup ruang untuk mempamerkannya kepada pengunjung.
“Kerja-kerja pengubahsuaian utama tidak pernah dapat dilakukan di Muzium Mesir kerana masalah menempatkan lebih 160,000 artifak dalam simpanan kami.
“Jadi, amat mustahil untuk memindahkan semua artifak kecuali dengan pembinaan GEM. Mengikut perancangan, setiap artifak yang akan dipamerkan di GEM akan dipindahkan satu persatu secara sistematik. Kita menganggarkan tempoh antara setahun dan dua tahun untuk menyempurnakan tugas penting itu,” katanya sambil menambah pelbagai aspek termasuk keselamatan, kaedah perpindahan dan kerja-kerja makmal termasuk pemulihan perlu dilakukan sebelum setiap artifak dipamerkan di ruang baru kelak.
Dr Tarek berkata, sekurang-kurangnya 30,000 artifak akan ditinggalkan di muzium lama manakala sebahagian besar bahan pameran yang dianggap masterpiece seperti khazanah King Tut akan dihantar ke GEM sebaik proses perpindahan bermula sekali gus mengambil alih fungsi gedung asal Muzium Mesir yang dibuka pada 1902. Menyoroti sejarah, Muzium Mesir juga menjadi kemudahan pertama di dunia yang dibina khusus bagi memenuhi konsep muzium, bukannya mengubahsuai istana atau bangunan lama untuk dijadikan muzium seperti yang banyak dilakukan kerajaan dan pemaju projek pembangunan pada era berkenaan.
Mengikut perancangan, Muzium Mesir akan menjalani proses pengubahsuaian pada skala besar yang tidak pernah dilakukan sejak muzium itu dibina pada 1898 dengan mengekalkan ciri-ciri asal bangunan ini - termasuk dari aspek pemilihan warna dinding berpandukan kajian pakar termasuk profesional yang didatangkan dari Eropah. Menurut Dr Tarek, Muzium Mesir akan dijadikan muzium kesenian seni kuno dengan fokus mempamerkan pelbagai artifak membabitkan tinggalan atau warisan kesenian Mesir. Kos pengubahsuaian ini dijangka bernilai antara RM60 hingga RM90 juta.
Fakta menarik projek The Grand Egyptian Museum (GEM)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: