Monday, June 27, 2011

Tak jual mahal

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Liyana Jasmay pentingkan filem bermutu dmei mempertahan namanya sebagai pelakon

BARANGKALI kerana saiz tubuhnya kecil, kredibiliti Liyana Jasmay sering dibayangi penampilan keanak-anakannya hingga ada segelintir pihak kurang mengambil serius siapa sebenarnya gadis berjiwa besar ini. Namun, jika diberi peluang menyelami apa yang terbenam di dasar hatinya, khalayak akan melihat keutuhan semangat gadis berusia 23 tahun yang tidak gentar diancam kemerosotan populariti.
Pernah dijulang sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-22, manakala menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 juga mengangkat Liyana sebagai Pelakon Filem Wanita Popular.
Bagaimanapun, gadis kelahiran Kuantan, Pahang itu tidak terlalu terdorong untuk mengejar dan mempertahankan takhta yang pernah menjadi miliknya. Sepanjang tahun ini, baru sekali Liyana ke lokasi untuk menyempurnakan sekuel Papadom 2 dan situasi itu tidak sedikit pun membuatkan dia gentar.

Bukan jual mahal tetapi kata Liyana, keutamaannya kini ialah produk berkualiti yang memberi jaminan untuk dia bertahan lama dalam industri.
“Untuk apa muka keluar di sana sini tetapi semua itu tidak membawa saya ke mana-mana. Saya tidak mahu hal itu terjadi kepada saya,” kata Liyana menjelaskan pendiriannya.

Mungkin ada beranggapan Liyana cuba menutup peluangnya sendiri daripada berkembang, apatah lagi pembabitannya sebagai pelakon masih belum diuji pelbagai watak mencabar. Liyana mengakui hakikat itu, namun pendirian diambil bukan sekadar menurut kata hati.
Sebaliknya, Liyana turut mendapatkan pandangan pelbagai pihak yang jauh lebih berpengalaman kerana enggan tersalah percaturan.

Liyana menjelaskan, kehadirannya dalam arena lakonan membawa misi yang berbeza daripada pelakon wanita lain kerana tidak mahu selamanya bergelar aktres dan selesa pada tempat yang sama. Sering juga katanya, orang beranggapan bakat lakonan seseorang itu akan diasah dengan latihan yang berterusan tetapi Liyana mempunyai pandangan sebaliknya.

“Jiwa dan nyawa sesuatu watak yang dilakonkan itu harus datang dari dalam diri. Mengawal pergerakan saraf dan olah tubuh itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Disebabkan itu, saya sering mengingatkan diri kuantiti lakonan bukan menjamin kualiti dan kemantapan persembahan yang mahu saya persembahkan kepada khalayak.

“Industri sendiri sudah membuktikan perkara itu. Lihat saja nama seperti Sofia Jane, Umie Aida, Soffi Jikan dan Khir Rahman. Mereka tidak selalu berlakon tetapi sehingga hari ini industri menghargai dan mengangkat bakat mereka,” katanya.

Liyana juga mengakui, industri filem di negara ini perlu berlaku adil dan memberi peluang kepada ramai anak muda berbakat untuk menghasilkan karya mereka. Bergaul dengan mereka yang berwawasan membuka mata pelakon yang mula diperkenalkan menerusi filem Castello itu kepada pelbagai perkara baru.

“Ramai anak muda yang memiliki banyak idea bernas, malangnya langkah mereka terhalang kerana kekangan kewangan selain tidak diberi kepercayaan untuk mengetengahkan karya sendiri. Barangkali juga belum masanya kerana ketika ini, ramai pemain industri cuma memikirkan mengenai bisnes. Bukan tiada pengkarya yang mahu mengangkat nilai seni, cuma kita perlu tahu di mana haluan yang ingin dituju.

“Kita tidak boleh pantas menilai atau menjatuhkan hukum jika ada yang cuma mencari hiburan kerana mereka juga perlukan survival untuk terus berkarya,” katanya.

Memberi contoh Syamsul Yusof sebagai pengarah muda yang berjaya dalam dunia showbiz, Liyana berkata, industri perlukan lebih ramai bakat baru seperti jejaka itu untuk terus maju.

Barangkali apa yang diimpikannya itu tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini, tetapi Liyana percaya, sedikit waktu lagi industri perfileman tempatan akan mengalami perubahan besar.

“Saya melihat diri saya sebagai wanita kuat kerana saya berdepan cabaran besar apabila memasuki sebuah dunia yang didominasi lelaki.

Ketika ini, saya cuma menerima segala idea dan menyerap segala kepandaian orang lain tetapi pada masa sama, membentuk acuan mengikut cara saya sendiri. Berikan saya sedikit masa untuk memperkukuhkan kedudukan dan mantapkan segala kekurangan, baru saya bersedia berkongsi segala-galanya dengan peminat,” katanya.

Bukan lagi Liyana dulu

ENTAH kenapa, tingkah laku gadis yang petah melontarkan bicara ini sering disalahertikan oleh segelintir masyarakat yang seperti sentiasa mencari kesalahannya.

Malah, gurauan Liyana dengan pelakon, Fizz Fairuz di laman sosial Twitter, turut menjerat dirinya dalam kancah kontroversi sedangkan perbualan mereka itu jelas membayangkan ia sekadar senda gurau.

Liyana nyata terkesan dengan andaian membuta tuli segelintir pihak, lantas membuatkan dia semakin berhati-hati menyusun perkataan supaya tidak mengguris perasaan orang lain. Cukup sudah apa yang berlaku dan isu itu kata Liyana, tidak perlu diperbesarkan lagi kerana seluruh jiwa dan raganya kini disandarkan kepada filem, Tolong Awekku Pontianak yang menemui penonton bermula 7 Julai ini.

Cuma memegang watak pembantu, Liyana akui, dia sanggup menerima tawaran diberikan kerana ingin kembali bekerjasama dengan James Lee yang pernah bersamanya dalam produksi Histeria.

“Saya selesa dengan kerjanya. Biarpun ramai yang mempertikai apabila dia mengambil keputusan memasuki dunia komersial tetapi bagi saya, tiada salah dia mencuba.

“Kerja pengarahan seninya cukup bagus, malah saya senang bekerja dengan pengarah dan pasukan kerja yang sentiasa mengharapkan yang terbaik,” katanya yang bergandingan dengan Sazzy Falak, Zahiril Azim dan Nurul Wahab dalam Tolong Awekku Pontianak.

INFO: Liyana Jasmay

Nama Komersial: Liyana atau Nana
Tarikh Lahir: 28 Mac 1988
Tempat Lahir: Kuantan, Pahang
Kerjaya: Pelakon, model, penyanyi
Pengiktirafan: Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-22 dan Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009
Filem: Castello, Syaitan, Papadom, Histeria, Kami The Movie, Malaikat Maut, Gadoh, Pisau Cukur, Duhai Si Pari-Pari, Niyang Rapik, Histeria, Misteri Jalan Lama, Khurafat & Senjakala
Drama: Kami, Cinta Si Rempit, Laila Sari, Puaka Niyang Rapik dan Ponti Anak Remaja
Album: Aku Tak Percaya Cinta

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: