Friday, June 24, 2011

Rasuk mendebarkan!

Filem genre seram masih mempunyai golongan peminatnya tersendiri dan sentiasa mendapat sambutan di pawagam. Pelbagai formula disuntik dalam pembikinan filem seram agar ianya dapat menepati cita rasa khalayak penonton.

Terbaru, filem terbitan White Merpati Entertainment, Rasuk arahan oleh S Baldev Singh menemui penonton di pawagam bermula 23 Jun lalu dengan suntikan elemen baru dalam filem genre seram.

Menariknya meskipun pengarahnya bukan beragama Islam, Baldev menitik beratkan penggunaan ayat-ayat al-Quran dalam filem arahannya kali ini.

Malah kebanyakan babak diberi suntikan ayat-ayat al-Quran bagi memberi pedoman. Ia ternyata jauh berbeza dari filem seram yang pernah dihasilkan oleh penggiat Melayu sendiri.

Rasuk tidak menampilkan jalan cerita yang stereotaip dengan kehadiran babak seram meleret-leret. Sebaliknya penggunaan teknik janaan komputer (CGI) dilakukan untuk menampilkan entiti makhluk halus.

Kelainan filem ini adalah ia menceritakan mengenai kejahatan syaitan yang merasuk manusia kerana dendam dan tidak seperti kebanyakan cerita hantu lain.

Malah jalan cerita yang tersusun dari mula hingga akhir membuatkan penonton dapat memahami apa yang cuba disampaikan oleh pengarah namun agak sukar meramalkan apa akan terjadi seterusnya.

Gandingan mantap Iqram Dinzly dan Fouziah Gous berjaya menghidupkan jalan cerita ini dengan elemen cinta dan kekeluargaan. Pujian harus diberikan kepada Fouziah kerana dapat melakonkan adegan dirasuk dengan berkesan.

Filem ini mengisahkan misteri sebuah banglo Melayu lama terbina sejak dari zaman pemerintahan Jepun kelihatan indah dan teguh dengan keceriaan penghuni silih berganti tanpa sebarang gangguan sehinggalah dengan kehadiran sepasang suami isteri Arman dan Melati.

Misteri bermula apabila Melati secara tidak sengaja telah mengalihkan batu tanda yang terletak di kawasan rumah tersebut. Setelah kejadian itu, Melati berada dalam keadaan lemah dan mudah pengsan.

Zaiton, ibu Melati yang datang melawat Melati dan Arman telah meninggal dunia secara mengejut. Peristiwa itu juga �umpama menghidupkan sesuatu yang sudah lama ‘mati’.

Setelah kejadian itu, Melati banyak mengelamun dan berkhayal sendiri. Keadaan bertambah rumit apabila Melati diganggu makhluk itu semasa ketiadaan Arman, Melati telah di cabul tanpa disedari.

Akibat dari itu, Melati tidak bermaya dan tubuh badannya terdapat kesan-kesan lebam. Doktor berpendapat yang Melati memiliki dua personaliti yang mana dia mampu mencederakan dirinya untuk kepuasan.

Arman sama sekali menyangkal dakwaan itu. Arman yang keliru lalu menuduh semua yang berlaku adalah angkara Mail si tukang kebun. Apakah sebenarnya yang berlaku pada Melati? Dapatkah Melati diselamatkan dari gangguan?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: