BERBALOI...Raja Azhar berdiri megah di depan banglonya di Bukit Antarabangsa.
KETIKA melukis di kaki lima sekitar 1970-an, lukisannya pernah dirampas oleh pihak berkuasa tempatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Bukan itu saja, saat leka melukis, ada kalanya dia dan rakan seangkatan dikejutkan dengan laungan “DBKL datang! Cepat! Cepat!” Isyarat itu segera membuatkan dia dan pelukis jalanan lain membungkus lukisan dan segera beredar dari tempat dia melukis dan berjualan itu.
Pengalaman melukis di kaki lima di Jalan Munshi Abdullah antara kenangan tidak mungkin dilupakan pelukis itu setelah puluhan tahun berlalu, malah setiap kali mengingati momen itu dia tersenyum sendirian.
“Yang penting kita mesti rajin. Selain kreatif, mesti pandai menyimpan duit. Walaupun lima sen, nilainya sangat berharga pada saat terdesak. Usah ingat masa senang saja, jangkaan waktu susah perlu difikirkan,” kata pelukis terkenal Raja Azhar Idris ketika ditanya rahsia kejayaannya selama bergelar pelukis tersohor hari ini.
Lelaki berusia 59 tahun turut mengakui resipi penting dirinya sepanjang menjadi pelukis adalah bijak mencari peluang demi memasarkan lukisan, selain motivasi diri harus kuat. Baginya, melukis membuatkan dia memiliki kesenangan hidup, bahkan mampu mengelilingi dunia.
Dengan sekeping lukisan bernilai rat
usan ribu bahkan pernah hampir sejuta, tetapi atas dasar beramal dia kemudian memikirkan kelebihan yang Allah berikan sebenarnya harus dikongsi supaya mendapat pahala untuk akhirat kelak.
Motif lukisan di atas kaca dipopularkannya pada awal 1990-an dianggap pencetus dalam seni dan beberapa ‘sculpture’ dihasilkannya sering menjadi rujukan pengkarya lain. Katanya, kesungguhan memang taruhan penting untuk terus membina nama gah sebagai pelukis.
Bercerita pengalaman awalnya dalam merintis lukisan di atas kaca, dia mengakui semua itu berlaku secara kebetulan.
Pertemuan dengan usahawan dari Hong Kong yang mahukan arca sedemikian membuatkan Raja Azhar mempelajari teknik melukis atas kaca itu bersungguh-sungguh.
Bukan hanya teknik melukis di atas kaca harus tetapi penguasaan menyeluruh mengenai pemotongan, pembakaran serta bekalannya, elemen yang boleh merosakkannya dan pelbagai aspek lagi sehingga mendorong lelaki ini ke luar negara bagi mengkajinya dengan lebih mendalam.
“Paling membanggakan, karya pertama saya atas arca kaca ditempah sebuah syarikat perbankan dengan nilai ratusan ribu ringgit ketika itu, lalu mendorong saya terus bekerja keras. Setiap kali rakan atau peminat memperkatakan mengenai lukisan saya yang terpampang besar di menaranya, saya bukan riak. Sebaliknya saya ingin membuktikan kepada masyarakat umum bahawa menjadi pelukis juga boleh hidup senang.
“Misalnya, Masjid di Bukit Antarabangsa saya ukirkan pokok memanjat pada tiang setinggi 1.57 meter dengan empat tiang seri salut dengan ayat zikir berbentuk pokok memanjat dengan emas 18 karat.
“Begitu juga arca kaca di Institut Jantung Negara (IJN), Jalan Tun Razak dengan tajuk ‘Tree of Life’ dan tingginya 3.4 meter bersama sejumlah 360 kepingan kaca berbentuk air, bunga burung dan awan, memakan masa tiga bulan untuk disiapkan dan ia dicatat dalam Buku Rekod Guinness sebagai gelas kaca dan sculpture terbesar dan kedua terbesar di dunia.
“Sejujurnya, saya ingin menyatakan yang tanggapan bahawa melukis tidak membawa kita ke mana-mana itu adalah silap,” katanya bagi melenyapkan tanggapan negatif segelintir orang mengenai dunia lukisan.
Meninjau ke banglo miliknya di Ukay Perdana, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini, ia sarat dengan lukisan menarik dan membuatkan sesiapa tenang dengan elemen seni dihasilkannya.
Kini berbahagia menerusi perkahwinan kedua sesudah rumah tangga pertamanya menemui kegagalan, dia berkahwin dengan Shareena Shahridan, 33, dan berbahagia dengan kehadiran dua permatanya.
Matang melalui pameran seni
BERASAL dari Ipoh, Perak Darul Ridzuan, Raja Azhar tidak menafikan berhijrah adalah pengalaman penting seseorang dalam apa jua bidang. Justeru, dia melakukan penghijrahan ke Australia memandangkan lukisan di Malaysia ketika itu belum popular dan sukar mencari ‘makan’.
Menurut pelukis tersohor ini, keputusan untuk ke Melbourne ketika usianya mencecah 25 tahun dengan satu keazaman kuat iaitu mencuba nasib mempelajari seni dengan lebih mendalam lagi di negara orang.
Baginya, perjalanan sebagai pelukis tidak semudah disangka dan di negara itulah bermula era baru dalam kerjaya seninya. Apa yang tersemat di dadanya hanya ingin mencari ilmu sedalam-dalamnya.
Antara dipelajarinya adalah bergelar penuntut universiti bermula di negara itu apabila membuat keputusan melukis dan dalam masa sama belajar di Victorian College of The Art, Melbourne.
Sekembalinya ke negara kelahiran selepas 17 tahun di perantauan, dia melihat banyak ruang perlu diisi bagi membolehkan perjalanan seninya semakin hebat lalu terdorong menubuhkan Art Case Gallery yang beroperasi di Hotel Crown Princess, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Di situ dia bertemu ramai pelukis serta ahli perniagaan dan ia peluang terbaik yang harus dimanfaatkan.
Turut mengakui jiwa dan tenaganya sentiasa berkobar-kobar untuk mencetus idea bagi mengolah seni sebagai kepuasan dan ketenangan dalam hidupnya dan persekitaran.
Dia tidak menafikan, selepas perceraiannya dengan wanita Afrika, Shaheema Idris, di mana mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Raja Nor Azam, 29, dan Raja Nadiah, 24, masing-masing memilih bidang diminati.
“Bagi seorang pelukis, antara pengalaman terbaik mematangkan diri adalah mengadakan pameran sama ada secara beramai-ramai atau solo. Pengalaman menyertai St Kilda Art Festival dan beberapa lagi pameran ketika tahun dua pengajian iaitu pameran disertai seluruh pelukis di Australia, sungguh bermakna buat saya.
“Saya pernah meraih anugerah terbesar yang sememangnya ditunggu-tunggu kebanyakan pelukis iaitu ‘The Gold Medallion’ sebanyak dua kali, manakala anugerah lain yang saya menangi adalah ‘The Lord Mayor Prize, Autum Prize dan Sand Downe Competition’ dan pemenangnya diundi oleh peminat yang datang ke pameran diadakan.
“Apapun, ‘politik’ dalam seni lukis juga banyak dan sesudah menguasai ilmu mengenainya, saya pulang ke tanah air dengan nekad untuk lebih berjaya.
“Lagipun saya merasakan di negara sendiri adalah lebih baik dan yang penting saya mesti gigih,” katanya yang kini turut menggalakkan isterinya memanfaatkan lukisan kaca untuk terus dikomersialkan, selain menubuhkan syarikat produksi yang dikenali sebagai Silverscreen Entertainment Sdn Bhd.
PROFIL
NAMA: Raja Azhar Idris
LAHIR: 4 September 1952
ASAL: Ipoh, Perak
ADIK-BERADIK: Kedua daripada empat beradik
JAWATAN: Pemilik Art Case Gallery, Silverscreen Entertainment Sdn Bhd & pelukis profesional
AKADEMI: Ijazah Sarjana Seni Halus, Victorian College of The Art, Melbourne, Australia
ISTERI: Shareena Shahridan
ANAK: Raja Nor Azam (29), Raja Nadiah (24), Raja Muhamad Shakir (14 bulan), Raja Intan Azalea (tiga minggu)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: