TIDAK banyak diketahui mengenai Vietnam, kecuali ketika di bangku sekolah dulu dalam buku geografi, penulis sering membaca bahawa Lembah Mekong adalah lembah subur dan menjadi pengeluar beras utama dunia.
Selain itu, Vietnam sering dikaitkan dengan kegigihan rakyat Vietnam menentang kuasa besar Amerika Syarikat.
Apabila berpeluang mengikuti rombongan bersama Majlis Guru Besar Pahang baru-baru ini, penulis teruja untuk melihat gambaran sebenar bumi Vietnam itu.
Hanya sejam penerbangan dari Kuala Lumpur, kami tiba ke Ho Chi Minh, bandar raya terbesar di Vietnam yang dulunya dikenali dengan nama Saigon dan kini menjadi pusat kewangan dan ekonomi negara itu.
Bandar raya dihuni kira-kira lapan juta orang itu sentiasa sibuk terutama dengan motosikal, khususnya buatan Jepun, yang boleh dilihat di mana-mana.
Dilaporkan lebih lima juta penduduknya menggunakan kenderaan beroda dua itu sebagai pengangkutan utama, lalu tidak hairan ia digelar ‘bandar motosikal’.
Kami yang pertama kali menjejak kaki ke situ, pening kepala dan takut untuk melintas jalan, apabila motosikal bertali arus, apatah lagi persimpangan jalannya tidak dilengkapi lampu isyarat, tetapi jarang berlaku kemalangan kerana penggunanya bertolak ansur.
Tiada bingit bunyi hon atau maki hamun dihamburkan, sebaliknya penunggang motosikal seakan-akan faham lantas tersenyum sambil memberi laluan kepada pejalan kaki melintas jalan.
Sebaik menjejakkan kaki, anda pasti terpesona dengan keindahan bandar raya ini hasil gabungan silam era kolonial, tamadun yang kaya tradisi dan budaya, walaupun tidak banyak bangunan pencakar langit.
Ho Chi Minh ibarat ‘Paris Timur’ dengan beberapa tinggalan seni bina Perancis masih tersergam indah, termasuk Pejabat Pos Besar, Reunification Palace, City Hall, Municipal Theatre dan Notre-Dame Basilica.
Rata-rata rakyatnya, sama ada lelaki atau wanita, semuanya kecil molek dan berbadan ramping seperti kita sering lihat pada pekerja Vietnam di Malaysia.
Sukar sekali melihat insan berbadan gempal di negara berkenaan dan jika ada pun, cubalah bertanya, pasti jawapan yang akan anda peroleh ialah mereka bukan penduduk Vietnam, sebaliknya dari negara lain, termasuk Malaysia.
Menurut jurupandu kami, rahsia mereka ialah menjaga pemakanan iaitu tidak suka makan makanan berlemak kecuali sup.
Peluang berkunjung ke Vietnam membawa penulis menjejak kaki di Delta Mekong yang terkenal kerana kesuburannya, terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Ho Chi Minh.
Delta berkenaan meliputi sebahagian besar tenggara Vietnam dengan keluasan 39,000 kilometer persegi serta terkenal dengan padinya yang sangat subur.
Penulis bersama rombongan juga sempat singgah di bandar My Tho dan kami dibawa menaiki bot kayu menyusuri Sungai Mekong ke Pulau Unicorn, pulau terbesar dari empat pulau di sungai berkenaan.
Di Unicorn, pengunjung berpeluang melihat aktiviti penduduk kampung seperti menternak lebah madu dan menikmati makanan tradisi seperti kerepek pisang, halwa buah-buahan serta air madu lebah dicampur limau kasturi.
Sepanjang lawatan ke perusahaan membuat coklat daripada kelapa serta kraftangan, tetamu berpeluang menikmati kelazatan buah-buahan tempatan sambil disajikan alunan muzik dan nyanyian tradisional oleh penduduk tempatan.
Kami juga dibawa ke sebatang sungai kecil dipenuhi nipah dengan air sungai berwarna coklat tapi cukup bersih tanpa dicemari sampah sarap atau bau kurang menyenangkan.
Di sungai ini, pengunjung dibawa menaiki sampan kecil yang boleh memuatkan empat penumpang dan dikendalikan dua pengayuh, kebanyakannya wanita yang mengenakan pakaian tradisional.
Rata-rata rakyat Vietnam tidak fasih berbahasa Inggeris kecuali segelintir pekerja pusat beli-belah, namun negara ini tetap menarik hati pelancong yang ramai berkunjung kerana sikap rakyatnya ramah dan mudah tersenyum.
Antara tarikan di bandar ini ialah Muzium Ho Chi Minh yang dulunya istana Maharaja Vietnam, Gia Long pada 1802 hingga 1820 sebelum berubah fungsi sebagai pusat pentadbiran tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua.
Bangunan tersergam indah itu kemudian dijadikan kediaman perdana menteri dan pusat pentadbiran sebelum kini menjadi muzium menyimpan pelbagai khazanah tidak ternilai berkaitan Vietnam.
Terowong Cu Chi yang menjadi destinasi wajib dilawati jika ke Ho Chi Minh, terletak kira-kira satu jam setengah perjalanan dari bandar raya ini.
Tinggalan sejarah itu yang pernah dijadikan laluan penduduk menyelamatkan diri jika penempatan mereka dibom, dibina hanya dengan penyodok dan bekas anyaman buluh untuk mengangkut keluar tanah.
Rangkaian terowong sepanjang 121 kilometer ini adalah komponen Taman Peringatan Perang dan di situ pengunjung boleh cuba merangkak melalui terowong berkenaan, merasai makanan yang pernah mengisi perut pejuang Viet Kong satu ketika dulu serta mencuba kemahiran menembak di lapang sasar.
Laluan sempit bawah tanah yang hanya cukup memuatkan seorang dewasa itu juga digunakan untuk menyerang hendap tentera Amerika ketika perang dan dilengkapi dewan makan, dewan mesyuarat, kilang senjata, hospital dan bilik bedah.
Tarikan lain adalah Muzium Perang selain Pasar Ben Thanh yang menjual pelbagai produk buah-buahan, hasil kraf, lukisan, pakaian, beg, kasut hinggalah kain sutera.
Yang pasti, pengunjung khususnya wanita bukan setakat rambang mata tetapi masa diperuntukkan pastinya tidak mencukupi.
Menariknya, peniaga di pasar ini rata-ratanya wanita dan ramai boleh berbahasa Melayu selain Inggeris, lalu jangan terkejut jika anda mendengar mereka memanggil ‘abang’ atau ‘kakak’.
Lebih menarik, selain mata wang Dong Vietnam, dan Dolar AS, Ringgit Malaysia (RM) juga boleh digunakan di situ, cuma dalam soal tawar menawar harga, mesin kira adalah alat terpenting jika peniaga tidak boleh berbahasa Inggeris.
Selain itu, jangan terkejut jika secara tiba-tiba diserbu di jalanan kerana mereka adalah penduduk yang membawa pelbagai barangan untuk dijual, termasuk khidmat menggilap kasut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: