DAMAI dan tenang, itu yang dapat dirasakan sebaik saja kaki melangkah ke Kompleks Hutan Belum-Temengor dengan mata dijamu dengan pemandangan indah, ditambah pula kehijauan air Tasik Temengor.
Kehijauan hutan berusia 130 juta tahun itu bagai melambai-lambai, seolah-olah meraikan kedatangan 166 ahli pengakap sempena 1st Malaysian Rainforest Scout Challenge 2011, baru-baru ini.
Hutan yang kaya dengan khazanah dan hidupan flora dan fauna itu menyimpan 1,001 cabaran dan pengalaman yang bakal ditimba oleh peserta.
Program anjuran Pergerakan Pengakap Malaysia (PPM) Perak itu julung kali diadakan dan mendapat penajaan sepenuhnya Yayasan Emkay.
Berbeza dengan kem yang pernah dianjurkan sebelum ini, program ini lebih memberi kesedaran kepada peserta mengenai kepentingan memelihara alam sekitar.
Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan Emkay, Mohd Roslan Ali berkata, Kumpulan Emkay menyambut baik penganjuran program itu dan dilihat selari dengan enam teras utama penubuhan Yayasan Emkay.
Enam aspek berkenaan adalah kesihatan, pendidikan, keagamaan, sukan, bantuan pembangunan kemasyarakatan dan ihsan serta usaha ke arah peningkatan kesedaran terhadap perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar.
“Yayasan Emkay sentiasa menganjurkan pelbagai program dan aktiviti dapat memberi manfaat mengikut semua aspek itu, malah aktiviti kemasyarakatan juga diberi perhatian.
“Program ini dilihat mampu memberi pendidikan dan kesedaran mengenai pemeliharaan alam sekitar kepada peserta selain memberi pengalaman yang pastinya berbeza,” katanya.
Setiap aktiviti diselitkan dengan unsur pendidikan dan pada masa sama mereka menikmati keseronokan meneroka Hutan Belum seluas 300,000 hektar itu.
Program berkenaan diadakan di dua lokasi iaitu Kompleks Hutan Belum-Temengor dan Bukit Merah Laketown Resort yang memberi dua pengalaman berbeza kepada peserta.
“Hutan Belum sememangnya terkenal dengan keunikannya dan menjadi aset negara yang perlu dipelihara. Perkara itu diterapkan kepada peserta dan di bahu merekalah terpikul tanggungjawab itu.
“Kumpulan Emkay sentiasa menggalakkan pembabitan mana-mana pihak untuk turut sama menganjurkan aktiviti yang memberi kebaikan kepada alam sekitar,” katanya.
Malah menurutnya, Pengerusi Kumpulan Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar mementingkan soal penjagaan alam sekitar dan seboleh-bolehnya meminimumkan penebangan pokok untuk tujuan pembangunan.
Program berkenaan yang berlangsung seminggu bermula 1 Jun lalu turut disertai lapan peserta dari Gerakan Pramuka Indonesia.
Empat kem disediakan iaitu Tanjung 1, Sungai Enam, Sungai Kejar dan Pulau Pendidikan, di mana peserta yang dibahagikan kepada empat kumpulan menjalankan aktiviti di setiap kem secara bergilir-gilir.
Ketua Pesuruhjaya PPM Perak, Mohd Azam Shah Abdul Majid berkata, setiap peserta merasai pengalaman di setiap kem, yang mana setiap satunya berbeza.
Katanya, ramai peserta pertama kali meneroka Hutan Belum dan rata-rata mereka meluahkan rasa kagum kepada keindahan dan keistimewaan hutan yang mempunyai keluasan empat kali ganda saiz Singapura itu.
“Peserta merasai pengalaman berbeza di setiap kem kerana lokasi itu terletak dalam kawasan berlainan dan peserta perlu menggunakan bot dari satu tempat ke tempat lain.
“Walaupun ada di antara jarak kem berkenaan memakan masa lama, peserta tidak sempat berasa bosan kerana dihidangkan dengan pemandangan indah,” katanya.
Menurutnya, kem Tanjung 1 dan Sungai Enam lebih bersifat ilmiah dan pendidikan, malah pengisian aktivitinya turut mendapat pembabitan secara langsung daripada Yayasan Emkay.
Dua kem selebihnya menguji kemahiran peserta sebagai ahli pengakap dan aktiviti disediakan lebih menekankan kekuatan fizikal dan mental peserta.
Sepanjang program berkenaan, paras air Tasik Temengor susut, menyebabkan beberapa kawasan tidak boleh dimasuki bot.
Keadaan itu secara tidak langsung memaksa bot ‘diparkir’ di lokasi yang jauh dari jeti asal bagi kem Sungai Enam dan peserta perlu berjalan di tepian tasik untuk ke kem berkenaan.
Walaupun penat, ia sebenarnya pengalaman berharga kerana sepanjang perjalanan 15 minit itu banyak pengetahuan dikutip selain melihat kesan ditinggalkan penghuni rimba seperti gajah, kijang dan babi hutan.
Mohd Azam Shah berkata, tema program itu adalah ‘Hijaukan Dunia Menerusi Pengakap’ dan sebagai simbolik kepada tema berkenaan, peserta akan menanam pokok gaharu.
Malah, katanya, mereka juga memeterai Deklarasi Belum-Temengor yang akan memperjuangkan lima perkara di dalam deklarasi itu dan sebulat suara memperjuangkannya iaitu mengekalkan Hutan Belum-Temengor sebagai khazanah negara yang unggul.
Keduanya, menghalang kemasukan anasir buruk yang boleh mengancam kepelbagaian biodiversiti dan peranan alam sekitar secara semula jadi.
Ketiga, memelihara hutan supaya sentiasa unik dan tidak terancam dengan masalah pembalakan, pemburuan haram dan kemusnahan hutan.
Keempat, mengawal hutan secara lestari dan mempraktikkan langkah alternatif penggunaan sumber bukan hutan untuk tujuan pembangunan masa depan, dan yang terakhir adalah memastikan keindahan alam terjaga dengan menerapkan nilai kasih sayang dan tanggungjawab.
Diharap penganjuran program ini memberi kesedaran kepada peserta mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan bersama-sama memperjuangkan kepentingan hutan yang menjadi khazanah negara itu.
Malah, katanya, kejayaan program itu akan menjadi penanda aras kepada PPM untuk menganjurkan program bersifat ‘hijau’ itu pada masa datang.
NAMA: Syed Ahmad Fadzrool Syed Mohd Fadzil
UMUR: 22 tahun
ASAL: Tampin, Negeri Sembilan
PASUKAN: Pasukan Pengakap Institut Pendidikan Guru kampus Ipoh
YURAN sebanyak RM150 yang dikeluarkan tatkala menyatakan persetujuan untuk menyertai program itu dilihat sangat berbaloi.
Malah, katanya, jumlah itu sebenarnya terlalu rendah jika dibandingkan pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang seminggu program itu berlangsung.
“Ini pengalaman saya memasuki Hutan Belum dan pelbagai pengalaman yang saya timba sepanjang program ini yang saya rasa terlalu berharga.
“Antara pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan adalah belajar membuat rakit dan menyertai ‘night walk’ selain belajar mengenal pelbagai jenis pokok dalam hutan itu,” katanya.
Sebelum menjejakkan kaki ke hutan itu, dia menganggap Hutan Belum sama dengan hutan lain namun sebaik kaki melangkah masuk, dia dapat rasakan kelainan.
“Keadaan pokoknya yang berbentuk kanopi dan unik menimbulkan suasana redup, malah saya dapat mendengar dan melihat hidupan di dalam hutan yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Keistimewaan dimiliki hutan itu membuatnya jatuh cinta dan tidak akan melepaskan peluang jika ada lagi program diadakan di hutan itu.
NAMA: Mohd Afiq Imam
UMUR: 25 tahun
ASAL: Kulai Jaya, Johor
PASUKAN: Pemimpin Pengakap Kontinjen Johor
DIA boleh dilabelkan sebagai ahli pengakap yang setia. Mana tidaknya, sejak sekolah rendah hinggalah ke institusi pengajian tinggi, dia memilih menyertai persatuan pengakap.
Baginya, pengakap mendedahkan dirinya dengan aktiviti mencabar dan dilihat sebagai badan beruniform paling aktif.
“Ramai beranggapan pengakap hanya sesuai disertai ketika di bangku sekolah tetapi mereka tidak menyedari badan itu tiada had umur.
“Malah, ada ahli pengakap yang memasuki usia emas tetapi semangat dan kesetiaan mereka tetap pada pengakap,” katanya.
Bercerita mengenai program itu, dia berkata, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah membina rakit.
“Selama ini saya tidak pernah menaiki rakit apatah lagi membuatnya tetapi dalam program ini, saya belajar bagaimana menyusun buluh dan mengikatnya.
“Selain itu, pengalaman meredah sungai dalam keadaan melawan arus juga antara cabaran terbesar dan ia memerlukan kekuatan fizikal yang tinggi,” katanya.
Sama seperti peserta lain, dia terpesona dan terpegun dengan kecantikan dan keindahan Hutan Belum yang tiada bandingannya.
NAMA: Fatin Zulkifli
UMUR: 22 tahun
ASAL: Kuala Kubu Bharu, Selangor
PASUKAN: Pasukan Pengakap Institut Pendidikan Guru kampus Ipoh
MINATNYA pada badan beruniform itu lambat berputik iaitu ketika di institusi pengajian tinggi, di mana ketika itu setiap pelajar diwajibkan menyertai satu pasukan beruniform.
Pada mulanya dia beranggapan pengakap sama seperti badan beruniform lain, namun selepas menyertainya, dia sedar pengakap mempunyai keistimewaannya.
“Pengakap bukan sekadar melakukan kawad kaki dan belajar mengenai ikatan tali, malah pelbagai aktiviti menarik dan mencabar turut dianjurkan,” katanya.
Gadis manis ini berkata, antara empat kem dalam program itu, dia menggemari kem Pulau Pendidikan kerana banyak perkara dapat dipelajari.
“Di sana, saya belajar menghasilkan bakul anyaman daun nipah dan ia pengalaman baru bagi saya.
“Selain itu, saya terpaksa membuang jauh-jauh perasaan takut dan mencabar diri saya untuk melakukan ‘flying fox’ dan ia membuatkan saya sangat teruja,” katanya.
Tambahnya, panorama di kem berkenaan cantik dan menarik, seolah-olah berada di dunia lain.
INFO
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: