Thursday, June 23, 2011

Radhi OAG bebas dadah


Radhi berazam untuk menjadi orang yang bebas daripada gejala dadah.


TAKUT jika masa depan tunggalnya, Muhammad Rifdhi Muslim, 6, terikut dengan gaya hidup tidak sihat seperti mana yang dilaluinya hari ini, vokalis kumpulan Radhi Old Automatic Garbage (OAG), Radhi, mengambil keputusan menjalani rawatan pemulihan dadah.

Dia yang mahukan kehidupan lebih sihat secara sukarela mendaftar nama sebagai pelatih di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) Januari lalu.

Menurut Radhi atau nama sebenarnya, Muhammad Radhi Razali, 33, sebelum ke Pengasih, dia telah lama mengisi pakaian ke dalam beg tetapi langkahnya terbantut kerana ada sahaja yang menghalangnya.

"Pada hari saya datang ke Pengasih, ia sememangnya tidak dirancang. Dalam perjalanan saya terfikir, kalau hari ini saya tidak pergi ke sana, mesti saya tidak akan berubah.

"Alhamdulillah, provokasi daripada seorang teman akhirnya berjaya membuat saya sedar dan menyerah diri kepada Pengasih dan sekarang ini saya rasa lebih tenteram," katanya pada sidang akhbar di Pengasih, baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Urusan KL Downtown Night Market, Mohd. Rustam Roshandin dan Setiausaha Kehormat Pengasih, Roslan Yahya.

Radhi berkata, sebelum bebas daripada pengaruh najis dadah, dia pernah berusaha untuk menjauhkan diri namun usahanya itu tidak kekal lama.

Akui Radhi, hampir sebulan berada di Pengasih, dia berjaya mengikis tabiat merokok.

Justeru, perubahan positif itu ingin dikekalkan, bagaimanapun untuk bersih daripada dadah, dia perlu berada lama di rumah Pengasih.

"Masalahnya, saya sendiri tidak pasti berapa lamakah saya akan berada di rumah Pengasih.

"Di sini, proses pemulihan bergantung kepada individu. Mungkin orang nampak saya sudah bebas daripada dadah tetapi dalam diri saya, belum sempurna lagi," katanya jujur.

Mengimbas semula detik dia boleh terlibat dalam kancah najis dadah, Radhi berkata, dia mula berjinak dengan benda itu ketika menghasilkan album kedua, Experimental Playground pada tahun 1997.

Menjadikan mendiang Kurt Corbain, vokalis Nirvana sebagai idolanya, Radhi berharap remaja tidak memilih artis yang terbabit dengan dadah sebagai ikon.

"Menyanyi dalam keadaan diri waras lebih merdu berbanding di bawah pengaruh dadah.

"Sebenarnya tanpa benda itu pun kita boleh menyanyi. Tidak benar kalau ada yang berkata, ambil dadah lagi sedap suara. Itu semua bohong.

"Sekarang baru saya sedar, kita boleh menceburi bidang muzik tanpa dipengaruhi dadah.

"Kepada yang ingin mencuba dadah, lupakanlah kerana banyak yang buruk daripada perkara baik yang kita lalui jika terperangkap dengan benda itu," katanya.

Radhi turut menyeru rakan-rakan artis yang terlibat dengan gejala tidak sihat ini agar segera mengambil langkah pencegahan kerana setiap gerak laku artis menjadi perhatian.

"Artis sebagai public figure sering menjadi perhatian ramai dan menjadi ikutan peminat.

"Kalau kita tidak tunjuk contoh yang baik, pasti remaja akan ikut. Saya sedar apa yang saya lakukan sebelum ini tidak memberi sebarang kebaikan kepada diri sendiri dan juga orang lain" katanya yang mahu mengubah nasibnya agar menjadi insan yang lebih berguna.

Persembahan bersama Outlet

Kali terakhir Radhi mengadakan persembahan di tempat terbuka bersama OAG ialah pada Disember tahun lepas.

Sabtu ini, bersama kumpulan Outlet yang terdiri daripada pelatih dan bekas pelatih Pengasih, mereka akan mengadakan persembahan di bazar malam Downtown Bukit Dukung, Kajang, pukul 8.30 malam.

Menurut Radhi, rakan-rakan dalam Outlet terdiri daripada Hafizi Harun, 34, (drum) dan Muhammad Kamil Mohd. Muaazam, 26, selaku gitaris.

"Outlet ditubuhkan di rumah Pengasih sebagai platform untuk penghuninya berkarya kerana di sini, ramai yang berbakat dalam seni.

"Untuk persembahan nanti, sebenar ada rasa berdebar untukberdepan dengan orang ramai. Manalah tahu persepsi mereka terhadap saya setelah mengetahui cerita sebenar," akuinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: