Thursday, June 23, 2011

Mencari hala tuju sendiri


ANAK muda berusia 20 tahun ini akan terus berkarya selagi nyawanya dikandung badan.


APABILA nama David Archuleta digugurkan daripada syarikat rakaman, Jive Records, peminat penyanyi comel itu mula mempersoalkan hala tujunya dalam bidang muzik.

Memang perkara yang cukup menggemparkan apabila keputusan itu dibuat oleh syarikat rakaman yang sebelum ini dinaungi ramai penyanyi popular antaranya Backstreet Boys, 'N Sync dan Allison Iraheta.

Bagi mereka, adalah menjadi satu kerugian besar untuk syarikat rakaman popular seperti Jive Records untuk melepaskan bakat istimewa seperti Archuleta.

Apatah lagi dengan gelaran naib juara American Idol musim ketujuh yang disandangnya, sudah pasti ia menjadi satu kelebihan buat Archuleta untuk terus bernaung sebagai artis naungan Jive Records.

Alasan yang diberikan oleh Jive Records berhubung pengguguran Archuleta itu adalah kerana album ketiganya, The Other Side of Down gagal mencapai penjualan yang membanggakan.

Setakat 18 Februari lalu, album berkenaan yang diedarkan oleh Sony Music Entertainment itu hanya mencatatkan penjualan sebanyak 67,000 salinan sahaja.

Angka itu hanya meliputi penjualan di Amerika Syarikat (AS) sahaja dan sudah pasti ia sangat jauh berbeza dengan album pertamanya, David Archuleta yang berjaya terjual hampir satu juta unit sekali gus diiktiraf sebagai platinum.

Bukan itu sahaja, berbanding dengan album sulungnya yang berjaya menduduki tangga kedua dalam carta Billboard 200, album The Other Side of Down hanya mampu berada di posisi ke-13 sahaja.

"Saya sedar ramai yang terkejut dengan berita ini tetapi saya melihatnya dari sudut yang positif. Sebenarnya, pihak Jive ada menawarkan kontrak baru untuk saya terus bersama mereka.

"Tetapi, saya menolaknya kerana dua tahun kebelakangan ini, saya tidak begitu gembira bersama mereka. Ini kerana hala tuju yang saya inginkan dalam bidang muzik ini tidak tercapai seperti mana yang saya harapkan.

"Buat masa ini, saya perlukan masa untuk saya duduk dan fikir semasak-masaknya tentang perancangan seterusnya.

"Walaupun begitu, saya masih lagi menganggap saya sebagai seorang yang bertuah kerana diberi peluang bekerja dengan mereka yang cukup berpengalaman dalam industri," katanya dalam satu temuramah menerusi telefon yang diatur oleh Sony Music Entertainment Malaysia baru-baru ini.

Selepas menyertai American Idol pada 2008 dan mengikat kontrak bersama Jive Records, Archuleta telah merakamkan tiga buah album termasuk sebuah album Krismas berjudul Christmas From The Heart (2009).

Menyambung bicara, Archuleta yang berusia 20 tahun itu memberitahu dia tidak berpeluang menentukan hala tujunya dalam bidang muzik kerana terpaksa mengikut arahan syarikat rakamannya.

Atas alasan itu, dia merasakan dirinya tidak bebas untuk membuat sebarang keputusan yang dirasakan terbaik untuk karier seninya.

Lalu, apabila tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman ketika ini, Archuleta menganggapnya sebagai satu pembebasan untuknya mencari peluang yang lebih baik selepas ini.

Bukan tidak ada syarikat yang mahu mengambilnya menjadi artis rakaman mereka tetapi buat masa ini, kata Archuleta, dia lebih selesa bergerak sendiri.

"Buat apa menjadi artis rakaman tetapi hasilnya tetap sama? Adakah mereka bersedia untuk mendengar dan menerima idea saya dengan terbuka?

"Jadi, adalah lebih baik untuk saya fokus kepada bidang penulisan lagu dan kumpulkan sebanyak mungkin material sebelum saya merakamkan album seterusnya.

"Saya hanya bersedia seandainya lagu-lagu saya diterima dengan baik dan muzik yang saya mahukan bagi memastikan saya terus bertahan sebagai seorang karyawan," jelasnya dalam nada yang sedikit tegas namun penuh diplomasi.

Walaupun berdepan dengan masalah yang dilihat hampir meranapkan kerjaya seninya itu, Archuleta melihatnya sebagai hikmah dan percaya akan ada sinar terang yang menanti di penghujung jalan kelak.

Tidak pernah menyesal dengan jalan yang dipilihnya itu, anak kepada pasangan Jeff Archuleta dan Lupe Marie Mayorga itu menyifatkan perjalanannya sepanjang empat tahun ini penuh dengan warna-warni.

Suka, duka, pahit dan manis semuanya sudah ditempuhinya. Apa yang penting bagi Archuleta apabila mendapat sokongan padu daripada peminat yang tidak henti lelah menyokong dari awal kerjayanya.

Seiring dengan kematangannya itu, pemilik nama penuh David James Archuleta ini mahu memberikan semangat baru dan impak positif kepada dirinya serta untuk peminatnya sendiri.

"Banyak lagu yang saya hasilkan sekarang lebih terarah kepada mesej positif. Semua ini sudah saya lakukan sejak dari album ketiga lagi di mana saya menulis 10 daripada 12 buah lagu dalam album tersebut.

"Walaupun saya sedikit kecewa dengan penjualan album tersebut, sebagai karyawan dan seorang yang melibatkan diri secara langsung dalam penerbitan album itu, saya memang berpuas hati.

"Album The Other Side of Down menampilkan kematangan saya dari segenap aspek dan saya gembira kerana peminat juga dapat menerimanya dengan baik. Malah, saya lebih teruja kerana saya dapat mengumpul peminat baru menerusi album itu.

"Rata-rata komen yang saya terima semuanya tidak menyangka saya menghasilkan muzik seperti mana dalam album itu. Justeru, ia membuktikan usia bukanlah satu halangan untuk menghasilkan muzik yang dapat berbekas di hati pendengar," kata Archuleta yang cukup masyhur dengan lagu-lagu seperti Crush dan A Little Too Not Over You.

Dalam temuramah itu juga, anak muda yang dilahirkan pada 28 Disember 1990 itu turut memberitahu perancangannya menghasilkan lagu baru yang sedang diciptanya sebagai pembuka selera sebelum album terbarunya diterbitkan.

"Saya mempunyai strategi sendiri dalam memajukan karier seni saya. Apa yang boleh saya katakan tiada perancangan untuk album terbaru tetapi berkemungkinan besar sebuah lagu baru.

"Baru-baru ini, saya bertemu beberapa pihak di Los Angeles berhubung perkara ini. Dalam masa yang sama, saya mahu berhijrah ke Nashville dan menghasilkan muzik di sana.

"Ramai yang bertanya apakah saya kini beralih ke genre country . Sudah pasti tidak kerana saya masih kekal dengan identiti saya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: