Wednesday, June 22, 2011

PTPTN hanya dapat kutip RM2.45b


TAJUL Urus Md. Zain (kanan) menyampaikan sumbangan Komputer 1Malaysia kepada salah seorang pelajar di Sungai Petani, Kedah, semalam.


SUNGAI PETANI 21 Jun - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya menerima bayaran balik pinjaman berjumlah RM2.45 bilion berbanding RM5.04 bilion yang sepatutnya diterima sehingga bulan lalu.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Tajul Urus Md. Zain berkata, sejumlah RM2.59 bilion lagi gagal dikutip daripada kira-kira 228,000 peminjam yang telah tamat pengajian dan sudah bekerja.

"Kita hanya mendapat balik sebanyak 48.56 peratus atau RM2.45 bilion daripada jumlah yang sepatutnya iaitu RM5.04 bilion. Ini berlaku kerana masih ramai peminjam yang sudah tamat pengajian, malah yang mendapat kerja bagus tidak bayar balik pinjaman.

"Tindakan peminjam liat ini amat dikesali kerana bukan sahaja menyusahkan kerajaan, tetapi turut menjejaskan peluang bakal peminjam lain," katanya selepas menyampaikan komputer riba 1Malaysia kepada 1,500 pelajar dari Parlimen Merbok di sini hari ini.

Tajul Urus yang juga Penyelaras Parlimen Merbok berkata, PTPN telah melakukan pelbagai usaha untuk memastikan peminjam membayar balik wang berkenaan.

Katanya, antara usaha yang dilakukan ialah menghantar notis amaran, menggalakkan mereka memotong gaji melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mempermudahkan urusan bayaran melalui perbankan online.

"Walaupun pelbagai usaha dilakukan, namun masih ada segelintir yang terus berdegil dan ia memaksa kami mengambil tindakan tegas termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa menyenaraihitamkan mereka," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, sehingga 30 April lalu, PTPTN telah membelanjakan RM25.3 bilion untuk memberi pinjaman kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) sejak 14 tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Tajul Urus menjelaskan, PTPTN hanya akan menahan pembiayaan untuk semester berikutnya bagi pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan dengan Purata Nilai Gred Semester (PNGS) di bawah 2.0.

"Bayaran akan dibuat semula pada semester seterusnya sekiranya pelajar terbabit kembali mendapat keputusan PGNS 2.0 ke atas. Bagaimanapun, tiada bayaran tunggakan dibuat untuk semester pengajian yang ditahan bayarannya itu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: