
KOTA BHARU 21 Jun - Kementerian Pengajian Tinggi akan membina dua buah lagi hospital di universiti tempatan sebagai tempat rujukan dan penyelidikan perubatan di negara ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa berkata, dua hospital pengajar itu akan dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Beliau berkata, setakat ini penuntut Fakulti Perubatan universiti berkenaan membuat rujukan dan penyelidikan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan Hopspital Petrajaya, Kuching.
"Tiga universiti yang mempunyai hospital pengajar sendiri sekarang adalah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia yang terbukti mampu memberi perkhidmatan, rujukan dan penyelidikan bertaraf dunia.
"Pembinaan dua buah lagi hospital pengajar menjadikan jumlah keseluruhan hospital berkenaan di negara ini sebanyak lima buah," katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Bicara Tokoh di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, semalam.
Hadir sama Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed; Pengarah HUSM, Datuk Dr. Zaidun Kamari dan Ketua Jabatan Neurosains Pusat Pengajian Sains Perubatan USM Kampus Kesihatan, Prof. Dr Jafri Malin Abdullah.
Rujhan berkata, penubuhan hospital berkenaan penting supaya penuntut mendapat latihan yang berkesan sebagai persediaan untuk memberi perkhidmatan setelah bergelar doktor.
"Mereka juga mampu mendapatkan pengalaman serta membuat kajian dan penyelidikan kerana hospital pengajar dilengkapi dengan pelbagai peralatan moden," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: