Saturday, June 11, 2011

Program celik asnaf LZS


Junaidah Md. Zain bersama kelima-lima anaknya yang mengikuti ‘Program JOMbaca’, baru-baru ini.


IQRA’! Itulah kalimah wahyu pertama yang dititahkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW di gua Hira’, lebih 1,400 tahun dahulu.

Iqra’ atau dalam Bahasa Melayu bermakna bacalah membawa konotasi penting, bahawa Islam amat menitikberatkan budaya membaca kepada umatnya.

Dengan membaca, akan terkuaklah jendela dunia. Membawa cahaya perubahan yang menjanjikan seribu harapan. Menghilangkan kezulmatan yang menghalangi kemajuan.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyedari antara hambatan kepada perubahan total dalam kalangan asnaf zakat adalah kurangnya ilmu dan pendidikan.

LZS juga sedar, salah satu jalan terbaik bagi menimba ilmu dan memperolehi jangkauan pendidikan terbaik, adalah menerusi membaca. Bak kata pepatah, membaca itu jambatan ilmu.

Tanpa kebolehan membaca, peluang bagi mereka merencanakan perubahan pasti sukar dilaksanakan.

Hakikatnya, kegagalan generasi kedua asnaf dalam persekolahan juga turut disumbang oleh ketidakupayaan mereka membaca. Pernah kala penulis menjadi guru ganti di sebuah sekolah suatu ketika dahulu, pelajar yang tidak boleh membaca akan mengganggu kawan-kawannya di dalam kelas.

Mereka tidak mampu mengikuti pelajaran bahkan sebaliknya berpotensi mengganggu proses pembelajaran. Akibatnya, mereka dimarahi guru, disisihkan kawan-kawan yang lebih cerdik dan berakhir dengan kegagalan.

Tidak pelik, ramai dalam kalangan mereka berakhir dengan terkandas dalam persekolahan, gagal dalam peperiksaan utama, meninggalkan alam persekolahan dalam usia yang begitu muda. Akhirnya terjebak ke dalam kancah tingkah laku negatif dan berisiko.

Misalnya menjadi mat dan minah rempit, peragut jalanan, terjebak dengan salah guna dadah, mencuri dan pelbagai salah laku lain.

Bersifat pro-aktif, baru-baru ini LZS mengambil langkah positif apabila bersama-sama Global Peace Mission (GPM) yang merintis inisiatif ‘Program JOMbaca’ kepada anak-anak kurang kemampuan (golongan miskin).

Natijahnya, lahirlah Program Literasi Anak Asnaf kepada mereka yang tidak mampu membaca dengan baik. GPM yang bergabung dengan Akademi I-Sina diasaskan oleh Rahmalizah Ali, 41, berusaha membebaskan anak-anak asnaf ini daripada belenggu buta huruf.

“Kaedah ini adalah atas hasil penyelidikan saya sendiri yang saya aplikasi kepada anak-anak saya yang pada mulanya gagal membaca.

“Melihat kemajuannya, saya kembangkan kepada masyarakat. Akhirnya, ramai ibu bapa yang mahu agar program ini dilebarkan lagi.

“Program ini bersifat jangka pendek, iaitu dalam tempoh 30 hari. Bagi saya, makin cepat anak-anak itu boleh membaca, lagi baik. Saya juga menumpukan usaha ini kepada anak-anak orang miskin dengan sifat tidak mengutamakan keuntungan.

“Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kami juga bergerak dengan kalangan sukarelawan yang banyak menyumbangkan tenaga dan kewangan. Keprihatinan LZS membiayai program ini amat bermakna.

“Melihat anak-anak boleh membaca juga, hakikatnya adalah satu kepuasan tidak terhingga bagi kami,” kata Rahmalizah.

Beliau adalah lulusan Sains Komputer yang kini menumpukan usahanya membasmi masalah literasi dalam kalangan orang miskin.

Makin bersemangat belajar

Beberapa orang ibu yang ditemui pada majlis penutupan rasmi program berkenaan turut melahirkan rasa teruja dengan pencapaian anak-anak mereka.

Wan Fatimah Rusidi, 40, mengakui bahawa anaknya kini bertambah bersemangat belajar.

“Sebelum mengikuti program ini, anak saya langsung tidak kenal huruf dan tidak boleh membaca.

“Sekarang dia sudah boleh membaca walaupun tidak begitu lancar. Dia suka kelas ini, sehari pun dia tidak pernah bercuti,” katanya yang merupakan asnaf di LZS.

“Memang berbeza. Cikgu tidak garang dan saya juga seronok belajar di sini,” akui anaknya, Muhammad Hakimi Mat Isa, 9.

Bagi ibu tunggal, Junaidah Md. Zain, 35, program ini amat bermakna kepadanya kerana kelima-lima orang anaknya telah terlibat sama.

“Dahulu, hanya anak saya yang ketiga, keempat dan kelima yang boleh membaca sedikit-sedikit. Anak pertama dan kedua langsung tidak tahu membaca.

“Bila di rumah, mereka lebih suka membuat kerja sendiri, kerana tidak tahu membaca dan menyiapkan tugasan sekolah.

“Alhamdulillah, sejak mereka mengikuti program JOMbaca anjuran LZS ini, perubahan paling ketara adalah, di rumah mereka semua sudah rajin membuat kerja sekolah dan sudah saling membantu dalam pelajaran,” katanya.

Menurut Junaidah, anak-anaknya juga tidak pernah ketinggalan walaupun sehari mengikuti kelas ini.

Malah, katanya, perubahan positif itu turut mendapat pujian guru-guru di sekolah.

“Paling saya tidak sangka, anak kelima saya, Intan Nur Syafikah, murid Tahun 1 di Sekolah Kebangsaan Sg. Tua, ditukarkan ke kelas yang lebih baik selepas dia mampu membaca dengan lebih baik,” tambahnya.

Sementara itu, Najah Saaban, 40, juga seorang ibu tunggal beranak lima turut melahirkan kegembiraan kerana seorang daripada dua anaknya yang mengikuti program ini, dinobatkan sebagai pelajar paling cemerlang.

“Anak saya Nurul Balqis, 8, kini dijadikan pelajar terbaik kerana kebolehannya membaca dengan begitu baik melibatkan tiga suku kata.

“Sebagai ibu, ini amat membanggakan saya. Apa yang saya dambakan, mereka terus belajar sehingga cemerlang, bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.”

Dalam pada itu, Rahmalizah dalam pesanan terakhir kepada semua anak didiknya berharap mereka terus memupuk budaya membaca secara positif.

“Bacalah buku-buku cerita, akhbar dan majalah. Baca satu-satu, jangan meneka-neka. Biarlah lambat asalkan betul.” Pesan beliau sebelum mengakhiri ucapan dan detik perpisahan dengan anak-anak asnaf didikannya.

Beliau turut menghargai usaha LZS, justeru aktif membasmi masalah literasi dalam kalangan orang-orang miskin, khususnya kalangan asnaf zakat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: