Saturday, June 11, 2011

Belia pemangkin transformasi


Generasi muda hari ini adalah pemimpin negara pada masa hadapan.


DALAM perutusan sempena Hari Belia 2011 baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak para belia terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kearah kecemerlangan diri untuk bersaing di zaman kompetitif ini.

Perangkaan penduduk Malaysia tahun 2010 menunjukkan hampir separuh daripada penduduk negara ini adalah remaja dan belia yang berusia antara 15 hingga 39 tahun.

Bayangkan potensi belia ini yang jika dibangunkan secara holistik dan seimbang akan menghasilkan sebuah negara yang stabil, maju dan berdaya saing.

Justeru, tema ‘Pemangkin Transformasi’ adalah untuk menyatakan kepentingan sokongan golongan muda ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif.

Ini juga menunjukkan pentingnya membangun dan memperkasakan peranan belia dalam proses transformasi negara. Perubahan dan transformasi adalah kemestian dalam usaha menuju negara yang maju dan dinamik dalam kerangka kita sendiri. Ia memerlukan asas-asas dan pendekatan yang transformatif bagi mencapai cita-cita tersebut.

Transformasi bermula dengan asas dan dasar pendidikan yang menyemangati prinsip dan falsafah pendidikan kebangsaan dalam melahirkan insan yang seimbang dan harmoni.

Pendekatan pendidikan yang holistik adalah perlu dalam melahirkan potensi yang maju, berdayasaing dan kompeten. Tumpuan tidak sahaja diberi ke arah memperkasa akal budi manusia tetapi ia dapat diterjemahkan dengan akhlak yang baik.

Pendidikan di Malaysia hari ini harus melalui proses transformasi yang terancang untuk mencapai cita-cita negara maju. Orientasi peperiksaan semata-mata tidak seharusnya menjadi agenda utama dalam pendidikan.

Kegiatan kokurikulum dan kokurikular harus diperkasakan supaya proses pembentukan diri dan pasukan dapat disuburkan di kalangan pelajar dan mahasiswa. Ini bermaksud supaya sistem pendidikan kita tidak hanya melahirkan insan robotik semata-mata.

Sebaliknya, teknologi tinggi (high-tech) harus diseimbangkan dengan sentuhan keinsanan (high-touch) supaya kemajuan yang bakal dibina memiliki etika dan adab yang tinggi.

Mempertingkatkan diri dengan ilmu dan kemahiran harus seiring dengan meningkatkan kualiti insan dan ihsan dalam diri. Pendidikan yang beretika yang berasaskan nilai-nilai sejagat harus disuburkan dalam sistem pendidikan kita.

Kepemimpinan negara kini dan masa depan memerlukan pemimpin berilmu, memiliki daya strategik yang tinggi di samping pekerti teladan yang baik.

Oleh itu, kurikulum yang dibina harus memberikan fokus yang seimbang terhadap kekuatan kognitif, afektif (spiritual) dan psikomotor. Pendidikan di negara Malaysia yang berorientasikan pendekatan transformatif sewajarnya menjadikan nilai dan etika sebagai landasan.

Amat penting untuk belia merasakan bahawa diri mereka yang asalnya adalah tapak-tapak penting sesebuah negara, akan menjadikan tiang-tiang harapan yang akan menyokong dan mengemudi negara di masa hadapan.

Saidina Ali ada menggambarkan bahawa remaja dan belia pada hari ini adalah cermin sesebuah negara pada masa hadapan. Kata-kata ini menggambarkan bahawa belia adalah kumpulan sokongan yang kuat dalam memacu proses transformasi dan kemajuan negara.

Jika masyarakat muda pada hari ini dibina secara berkualiti, maka corak kepimpinan dan kepengikutan negara juga berkualiti. Ia bergantung kepada corak pendidikan di rumah, sekolah dan pengukuhan dalam masyarakat.

Belia yang mempunyai kesedaran penuh terhadap sikap dan tindakan dirinya untuk menjayakan transformasi akan berupaya membentuk momentum transformasi yang memberangsangkan.

Remaja dan belia yang berkemahiran dan berilmu tinggi yang insaf akan peranannya untuk terus berusaha mempertingkatkan kecemerlangan diri dan memanfaatkannya untuk keperluan masyarakat dan negara.

Dalam Islam, transformasi atau perubahan adalah sesuatu yang dituntut. Zaman akan pantas berlalu dan sentiasa berubah. Perubahan zaman yang memerlukan manusia menjadi lebih dinamik, progresif, aktif dan berfikiran terbuka dalam menghadapinya.

Orang yang ketinggalan dalam menuntut ilmu-ilmu terkini seringkali dikatakan orang yang ‘ketinggalan zaman’. Perubahan zaman adalah sesuatu yang tidak dapat ditahan-tahan, seiring dengan keperluan manusia yang semakin bertambah.

Justeru, sebagai remaja dan belia Islam, kita memerlukan suatu kemahiran dan kebijaksanaan untuk melakukan perubahan seiring dengan syariat Islami.

Pedoman ini menjadikan Islam terus hidup dan berperanan walau apa zaman pun ia berada, kerana pada prinsipnya, zaman harus menyesuaikan diri bergerak dan berubah mengikut faktor syarak yang Islami.

Ini memungkinkan kurikulum di sekolah dan di universiti menjadikan al-Quran sebagai sumber ilmu yang sifatnya merentasi. Ilmu yang diajarkan di sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi harus berlandaskan faktor-faktor syariat yang Qurani.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: