|
|
SEBUAH model seni bina Kompleks Masjid Sheikh Zayed yang terletak di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah dihadiahkan kepada Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) awal tahun ini.
Ia telah menarik perhatian pengunjung walaupun baru dipamerkan di galeri seni bina MKIM. Model ini memperlihatkan hampir kesemua ciri hiasan yang terdapat di bangunan tersebut.
Masjid Sheikh Zayed adalah masjid yang diilhamkan oleh Almarhum Sheikh Zayed bin Sultan Al- Nahyan yang merupakan pemerintah Abu Dhabi pada tahun 1980-an.
Kompleks masjid itu merupakan antara bangunan yang penting di Abu Dhabi dan merupakan salah satu seni bina Islam moden paling cantik di dunia.
Rekaan seni bina masjid sebenar menggabungkan hampir kesemua ciri seni bina, rekaan dan bahan dari setiap benua.
Bahan binaannya didatangkan khas dari negara seperti Itali, Jerman, Morocco, India, Turki, Iran, China, United Kingdom, New Zealand dan Greece.
Bahan-bahan semulajadi yang digunakan berkualiti tinggi dan tahan lama seperti batu marmar, emas, batu separa berharga, kristal dan seramik.
Cetusan idea untuk membina kompleks masjid itu bermula pada tahun 1980-an. Tetapi ia mula dibina pada November 1996. Kerja-kerja pembinaan menggunakan lebih 3,000 tenaga buruh dan melibatkan kerjasama 38 syarikat pembinaan.
Kerja pembinaan merangkumi kawasan seluas 22,412 meter persegi yang menyamai saiz lima padang bola sepak.
Walaupun kompleks itu belum siap dibina sepenuhnya, dewan sembahyang masjid tersebut telah dibuka kepada orang ramai buat pertama kalinya pada hari raya tahun 2007 untuk jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri. Kompleks itu boleh memuatkan 41,000 orang pada satu-satu masa.
Bangunan kompleks masjid dihiasi dengan gabungan hiasan gaya moden dan tradisional.
Ia mempunyai halaman tengah yang mempunyai laluan masuk bermotif bunga-bungaan yang direka oleh Kevin Dean.
Rekaannya memperlihatkan gabungan motif tradisional geometri dan simetri Islam. Lantai halaman utama dihiasi dengan motif bunga-bungaan yang boleh ditemui di sekitar wilayah Teluk. Hiasan-hiasan ini diperbuat daripada batu marmar dengan menggunakan teknik tatahan dan ukiran.
Masjid itu mempunyai lebih 1,000 tiang yang diperbuat daripada batu marmar putih dan ditatah dengan batu separa berharga seperti lapis lazuli, batu akik, batu ametis, kulit kerang dan cengkerang ibu mutiara. Sementara 96 tiang di dalam dewan sembahyang utama dihiasi dengan tatahan ibu mutiara.
Selain itu, dewan sembahyang utama turut dihiasi dengan lampu candelier terbesar di dunia. Dengan diameter 10 meter, tinggi 15 meter dan berat melebihi sembilan tan.
Bahagian lantai pula dilapisi dengan permaidani tenunan tangan yang terbesar di dunia yang direka khas oleh seorang artis dari Iran, Ali Khaliqi dan disiapkan oleh 1,200 penenun.
Bagi hiasan kaligrafi seperti naskh, thuluth dan kufi, ia dihasilkan oleh beberapa penulis kaligrafi terkenal seperti Mohammed Mandi dari UAE, Farouk Haddad (Syria) dan Mohammed Allam (Jordan).
Bagi tulisan kaligrafi tughra di atas jubin seramik, ia dihasilkan oleh Sheikh Hasan Celbi penulis kaligrafi Turki yang ternama.
Keindahan dan keunikan seni bina Islam kompleks masjid yang menggabungkan seni hiasan Islam tradisional dan moden ini bukan sahaja menarik minat umat Islam di seluruh dunia, malah ia turut menarik minat Ratu Elizabeth II yang melawat kompleks masjid ini sempena lawatan baginda ke Abu Dhabi pada November 2010.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: