Thursday, June 23, 2011

Perunding parti untuk kanak-kanak


Aida Huzairi bersama suaminya, Alfian Mustafa menawarkan perkhidmatan menganjurkan parti untuk kanak-kanak.


BILA bercakap mengenai perunding perkahwinan, mungkin ramai di kalangan kita telah mengetahui dan menggunakan perkhidmatan pihak-pihak ini untuk menguruskan majlis perkahwinan.

Kini terdapat pula perunding atau pengurusan khas untuk majlis bagi kanak-kanak pula. Majlis kanak-kanak tidak kurang pentingnya bagi ibu bapa yang mahukan kehebatan majlis anak mereka menjadi satu sejarah yang menjadi kenangan kepada individu yang dirai dan tetamu jemputan.

Memikirkan mengenai permintaan yang tinggi daripada pihak ibu bapa yang mahukan parti hari jadi, kenduri akikah, mahupun berkhatan dan sebagainya meriah untuk meraikan anak kesayangan bersama rakan-rakan, pasangan muda Aida Huzairi, 30, bersama suaminya, Alfian Mustafa, 30, merebut peluang itu.

Lovely Gifts, syarikat yang mengendalikan urusan parti atau majlis khas untuk anak-anak ditubuhkan sejak dua tahun lalu.

''Kami melihat potensi untuk tempahan majlis ini apabila ramai di kalangan rakan-rakan yang dijemput ke majlis hari jadi anak kami menawarkan kami untuk mendapatkan majlis sebagaimana yang kami lakukan," katanya.

Setakat ini permintaan untuk penawaran mereka amat menggalakkan iaitu tidak kurang daripada sepuluh majlis dalam masa seminggu. Kira-kira 85 peratus daripada tempahan dilakukan menerusi talian dalam facebook mereka.

''Jika mendapat tempahan yang banyak itu, rasanya kami tidak cukup tangan untuk melakukannya. Namun kami akan mendapatkan perkhidmatan daripada ibu bapa dan adik-beradik untuk membantu," jelas Aida yang berasal dari Perak dan bekas penuntut Universiti Malaya.

Bekas pekerja bank itu nekad berhenti dari sektor perbankan khusus untuk memberi tumpuan kepada syarikatnya kerana minat terhadap barang-barang kreatif dan memberi perhatian sepenuhnya kepada anaknya, Putera Aijaz, 4.

Aida berkata, suaminya, Alfian yang banyak mengendalikan reka bentuk bahan-bahan yang diperlukan manakala dirinya lebih kepada pembuatan coklat, kek, bengkel coklat, hamper-hamper, cookies, membungkus dan mencantikkan tempahan.

Alfian yang berasal Perak, merupakan graduan lepasan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bekerja sebagai pereka bentuk di salah sebuah syarikat sebelum meletakkan jawatan bagi menumpukan perhatian pada syarikat ini.

Katanya, setiap pakej yang diuruskan bergantung kepada permintaan dan apa yang dikehendaki pelanggan. Ini termasuklah kek, cenderahati, hiasan meja, barang-barang untuk parti seperti belon, topeng mata, banner dan sebagainya.

''Sekiranya pelanggan mahukan parti itu lengkap dengan makanan, biasanya kami akan sediakan makanan yang bersesuaian seperti nuget, mihun atau apa sahaja yang bersesuaian mengikut permintaan pelanggan.

''Kami juga menyediakan badut sekiranya diperlukan begitu juga pakej penghantaran ke tempat majlis. Jika ibu bapa mahukan majlis diraikan di sekolah juga, kami boleh lakukannya," katanya.

Jelasnya, Pakej parti untuk hari jadi bermula dari RM280 sahaja untuk 50 orang jemputan dan RM500 sekiranya untuk majlis besar.

Pelanggan juga boleh menempah gambar anak yang diraikan untuk dilekatkan pada kek, T-shirt, air botol, gula-gula, kek dan sebagainya pada hari bersejarah itu.

Selain majlis untuk kanak-kanak, Aida dan Alfian juga menerima tempahan untuk barangan perkahwinan dan bertunang.

Sekiranya anda berminat dengan Lovely Gifts boleh melayari www.lovelygifts.my atau talian 017-3665040.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: