Thursday, June 23, 2011

Pengalaman pertama jadi bapa


Jimmy Lee bersama isteri dan bayi mereka sempena sambutan Hari Bapa baru-baru ini.


TERHARU, bangga dan cemas, semuanya menjadi satu. Setelah sembilan bulan menunggu, akhirnya hari ini saya dapat melihat wajah anak sulung saya," ujar Harry Fawcett, 37.

Begitulah reaksi seorang bapa sebaik menyaksikan kelahiran anak pertamanya, Alden Smith Fawcett di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur baru-baru ini.

Alden yang dilahirkan secara pembedahan caesarean pada 7 Jun lalu di hospital itu merupakan cahaya mata pertama buat Harry dan isterinya.

"Setiap bapa mempunyai pelbagai pengalaman yang berbeza-beza, begitu juga dengan saya. Ia adalah satu perasaan yang sangat menakjubkan.

"Sepanjang proses kelahiran, saya berada di belakang skrin. Apabila doktor bakal menarik bayi keluar, mereka memanggil saya untuk masuk ke dalam bilik pembedahan dan saya dapat melihat Alden buat kali pertama. Saya tidak dapat menggambarkan bagaimana perasaan saya ketika melihat wajahnya buat kali pertama.

"Ketika di dalam bilik bedah, saya berasa proses untuk kelahiran berlaku dengan begitu pantas. Mungkin kerana saya teruja dengan keadaan itu," ujarnya lagi.

Harry yang merupakan seorang wartawan dari United Kingdom berkata, dia telah mengikuti kelas-kelas antenatal dan berbincang dengan beberapa kenalan yang baru memperolehi cahaya mata sebagai persediaan untuk peranan barunya sebagai seorang bapa.

Apabila ditanya mengenai harapan beliau dan aspirasi untuk bayinya yang baru lahir, Harry hanya inginkan anaknya untuk menjalani kehidupan yang sejahtera dan sihat.

"Kami akan biarkan dia untuk memilih apa yang terbaik untuknya," kata Harry.

Bagi ahli perniagaan Jimmy Lee, 29, menjadi bapa buat kali pertama merupakan suatu pengalaman yang penuh emosi dan sememangnya merupakan anugerah Tuhan yang paling tidak ternilai. Anak lelaki Jimmy dilahirkan pada 9 Jun lalu di hospital sama.

"Saya benar-benar tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaan saya sebagai seorang ayah buat kali pertama. Satu-satunya perkara yang boleh saya katakan adalah bahawa saya benar-benar gembira.

"Saya berada di bilik pembedahan untuk menyaksikan hampir keseluruhan proses. Ia sangat istimewa.

"Saya agak takut untuk memegang bayi buat kali pertama, tetapi mengetahui bahawa dia kini selamat dalam pelukan saya memberikan saya keyakinan," ujarnya yang tidak lekang dengan senyuman ketika ditemubual.

Seperti semua bapa, keutamaan Jimmy kini adalah untuk menyediakan keperluan yang terbaik untuk anaknya.

Untuk memperingati Hari Bapa pada tahun ini, kedua-dua Harry dan Jimmy telah menerima baucer pemeriksaan kesihatan yang bernilai RM391 setiap seorang sumbangan Gleneagles Kuala Lumpur.

Manakala bayi dan ibu-ibu turut menerima hamper barangan bayi.

Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles Kuala Lumpur, Amir Firdaus Abdullah, berkata sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa telah menjadi salah satu agenda tahunan untuk hospital ini.

"Bapa seharusnya diiktiraf setiap hari. Bagi kami di Gleneagles, ini adalah salah satu cara untuk menghargai kaum bapa pada hari istimewa mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: