Tuesday, June 14, 2011

Persamaan antara Kate, Mildred


KATE Winslet dalam salah satu babak drama mini bersiri Mildred Pierce yang ditayangkan setiap hari Khamis di HBO.


KEHEBATAN aktres yang seorang ini memang sudah termaktub dalam direktori seni hiburan dunia sebagai salah seorang aktres terbaik dalam generasinya.

Berilah apa sahaja watak kepadanya, Kate Winslet tidak pernah gagal melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang anak wayang.

Untungnya menjadi Kate, dia boleh dianggap bertuah kerana sering kali mendapat naskhah hebat dan berat sekali gus mencabar dirinya untuk memberikan lakonan berkesan.

Lihat sahaja bagaimana impak yang terhasil menerusi watak Rose DeWitt Bukater dalam filem Titanic (1997) yang sehingga kini masih terus dikenang oleh peminat filem seluruh dunia.

Dan, penangan hebat daripada filem itu jugalah telah membawa nama Kate melangkah setapak langkah lagi dan meletakkan namanya di puncak populariti.

Rentetan daripada populariti filem paling berjaya di dunia itu, Kate telah diberi peluang membintangi filem-filem yang memiliki nilai estetika yang sangat tinggi.

Dalam erti kata lain, filem-filem lakonannya itu semuanya mempunyai nilai anugerah yang sangat tinggi dan mendapat kritikan positif daripada pengkritik filem.

Buktinya, dia sudah lima kali dicalonkan untuk Oscar di mana tiga daripadanya adalah untuk Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Titanic, Eternal Sunshine of the Spotless Mind (2004) dan Little Children (2006).

Manakala selebihnya bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik yang diterimanya untuk filem Sense and Sensibility (1995) dan Iris (2001).

Kemuncak karier seni Kate apabila dia menerima Oscar pertamanya pada tahun 2009 sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem The Reader.

Yakin dengan bakat Kate yang tidak pernah mengecewakan, saluran HBO dengan kerjasama Metro-Goldwyn-Mayer (MGM) telah sepakat untuk memilihnya membintangi sebuah drama mini bersiri berjudul Mildred Pierce.

Mula ditayangkan pada 27 Mac lalu di Amerika Syarikat (AS), Mildred Pierce telah mendapat kritikan positif selain rating yang sangat menggalakkan.

Rata-rata memuji lakonan Kate sebagai Mildred Pierce iaitu wanita, isteri dan ibu yang mengharungi kepayahan dan kesungguhan dalam menghadapi era kemelesetan ekonomi sekitar tahun akhir 20-an hingga awal 40-an.

Bahkan penulis novel terkemuka, Stephen King seperti mana ulasannya dalam The Daily Beast dan Newsweek mengatakan lakonan Kate sememangnya berada di kelas pertama.

Tidak hanya Kate, dua orang bintang drama mini itu, Evan Rachel Wood dan Guy Pearce juga mendapat pujian penulis novel seram tersohor itu.

Dengan lambakan pujian yang diterima, secara tidak langsung ada yang sudah mula membuat ramalan apabila mengatakan Kate akan menerima pencalonan pertamanya untuk Anugerah Emmy sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

Kata mereka lagi, dengan lakonan hebat yang diberikan Kate itu memang tidak mustahil juga untuk dia membawa pulang trofi yang menjadi idaman setiap anak seni bergelar pelakon di Hollywood.

Dengan penuh rendah diri, Kate menganggap semua ramalan dan pujian sebagai satu penghargaan. Seiring dengan prinsip hidupnya, dia tidak mahu leka dan hanyut dengan apa yang diterimanya kerana bimbang akan menjadi seorang yang lupa diri.

Baginya, apa yang penting adalah mutu lakonan yang diberikannya mampu berbekas di hati penonton.

Seperti Mildred Pierce kata Kate, ia bukanlah calang-calang watak yang pernah dibawakannya memandangkan ia diadaptasi daripada sebuah novel yang cukup hebat.

Walaupun pernah membawakan watak yang lebih berat daripada itu, namun ia tetap mempunyai cabarannya yang tersendiri.

"Mildred seorang yang pandai berpura-pura untuk menunjukkan dia cukup tabah untuk mengharungi kehidupannya. Sedangkan dia berdepan dengan masalah yang bukan semua wanita seusianya mampu memikul tanggungjawab itu.

"Bukan itu sahaja, dia juga terpaksa menyakinkan anak perempuannya, Veda bahawa segala masalah yang membelenggu keluarganya akan dapat ditangani dan diselesaikan dengan baik.

"Apabila saya menyelami watak ini, barulah saya sedar bahawa Mildred tidak sedar betapa mudah dirinya untuk dilukai di sebalik ketabahan yang ditonjolkan," ulas Kate atau nama sebenarnya Kate Elizabeth Winslet mengenai siri mini arahan Todd Haynes itu.

Di sebalik ketabahan Mildred itu, kata Kate yang berusia 35 tahun itu lagi, dia tetap memiliki ego dan keangkuhannya sendiri kerana tidak mahu meletakkan dirinya setaraf dengan orang kebanyakan.

Tambahnya, semua perasaan bangga itu lahir dari dalam hatinya sendiri kerana dia mahu menjaga prestijnya sebagai seorang wanita yang terhormat.

"Dia melakukannya kerana terpaksa dan tidak mahu dua orang anak perempuannya juga merasai kesusahan seperti mana yang Mildred alami.

"Dek kerana egonya terlalu tinggi itu, sehinggakan bekerja itu juga dianggapnya sebagai sesuatu yang menjatuhkan martabat.

"Mahu atau tidak, dia harus melakukannya kerana dia tahu dan percaya dengan bekerja itulah mampu membawanya keluar daripada kemiskinan sekali gus memberinya limpahan kemewahan," kata Kate yang mula menempa nama sebagai pelakon filem menerusi Heavenly Creatures pada tahun 1994.

Atas alasan itu, Mildred bangkit dengan semangat juang yang tinggi untuk mengubah hidup keluarganya dan menempuhi segala-galanya dengan perit sekali.

Jelas Kate, Mildred berazam menempuhi sehala kepayahan itu kerana dia mahu membuktikan wanita sepertinya mampu melakukan apa yang dianggap mustahil selama ini terutama ketika zaman kemelesetan.

"Untuk itu, dia menceburi bidang perniagaan dengan tiada apa di dalam tangan namun, dia memiliki kebijaksanaan iaitu idea yang unik.

"Siapa sangka dengan idea itu, ia perlahan-lahan mengubah hidupnya seperti orang lain dan dia juga telah membuktikan bahawa semuanya memerlukan kecekalan dari dalam hati.

"Sesungguhnya risiko yang diambilnya memang begitu besar dan saya mahu melihat semangat Mildred ini mampu dicontohi oleh wanita zaman ini yang barangkali senasib dengan Mildred," jelas ibu kepada sepasang anak ini penuh teruja.

Tambah Kate lagi, dia melihat ada perwatakan Mildred yang sama dengan dirinya terutama dari segi prinsip perjuangan hidupnya.

Begitu juga dengan kehidupan Kate sendiri yang hidup dalam kedaifan kerana datang dari keluarga seni yang tidak pernah menjanjikan kemewahan.

Kerana itulah, Kate memberitahu dia cukup memahami jiwa Mildred yang gigih bekerja keras demi memperbaiki kehidupannya.

Namun di sebalik itu, Mildred perlu juga berhadapan dengan masalah perkahwinan yang berpunca daripada suaminya, Bert Pierce yang merupakan seorang kaki perempuan dan juga pemalas.

Dalam masa yang sama, membintangi Mildred Pierce juga telah menjadikan impian Kate menjadi realiti apabila dapat berlakon di samping aktor pujaannya, Guy Pearce.

Tanpa segan-silu dia menjelaskan, dia memang meminati Guy sejak berusia belasan tahun dan menganggap pelakon kelahiran England itu sebagai lelaki pertama yang bertakhta di hatinya.

"Ketika itu, dia membintangi siri popular Neighbours dan saya sering berpura-pura sakit untuk ponteng sekolah kerana mahu menonton siri itu pada tengah hari.

"Bukan itu sahaja, saya juga tidak pernah melepaskan peluang menonton siaran ulangannya pada petangnya pula. Malah, kami juga berkongsi tarikh hari jadi yang sama iaitu 5 Oktober.

"Siapa sangka, akhirnya kami ditemukan dalam Mildred Pierce dan dia menjadi kekasih saya dalam siri ini. Apabila difikirkan memang melucukan," kata Kate sambil disulami ketawa kecil.

Siri mini yang diterbitkan dalam lima episod itu ditayangkan di HBO setiap hari Khamis sejak 9 Jun lalu bermula pukul 10 malam.

Bagi pelanggan Astro B.yond pula, Mildred Pierce juga dapat ditonton menerusi HBO HD pukul 9 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: