Tuesday, June 14, 2011

Mohd. Puzi layan panggilan kecemasan


Mohd. Puzi menerima panggilan di Pusat Kawalan IPPKL sambil dibantu oleh Mohd. Azri.


DEMI tugas dan amanah yang dipikul, Lans Koperal Mohd. Puzi Omar, 55, sentiasa setia mendengar beribu-ribu panggilan kecemasan daripada kejadian jenayah yang mendapat perhatian umum atau sehingga kejadian kecil seperti pergaduhan suami isteri.

Walau apa jua aduan dan ragam orang ramai yang diterima, beliau akan memastikan dirinya dalam keadaan bersedia dan fokus sepanjang tempoh tujuh tahun berkhidmat di MERS 999, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

Bayangkan purata setiap bulan, panggilan kecemasan yang diterima pusat kawalan IPKKL sebanyak 3,000. Bagaimanapun, 10 peratus daripadanya merupakan panggilan palsu ataupun maklumat kurang tepat.

Menurut Mohd. Puzi, ada segelintir aduan yang diterima mengenai masalah rumah tangga dan pergaduhan suami isteri atau ibu bapa dengan anak-anak mereka.

"Pengadu kebanyakannya terdiri daripada jiran-jiran dan komuniti setempat yang tidak tahan kerana bising dan mengganggu ketenteraman awam.

"Pusat kawalan IPKKL menerima panggilan di sekitar Lembah Klang sahaja, bagaimanapun kadang-kadang terima aduan dari luar juga sekiranya dua lagi talian kecemasan di pusat kawalan di Melaka dan Sarawak sedang sibuk," katanya yang ditemui Gaya Polis minggu ini.

Mohd. Puzi memberitahu, setiap panggilan yang diterima perlu diurus sekurang-kurangnya tiga minit untuk ditentukan ibu pejabat polis daerah atau jabatan mana terlibat.

Katanya, bantuan atau kereta peronda perlu tiba di lokasi kejadian sekurang-kurangnya lapan minit.

"Selain aduan jenayah jalanan, jenayah berat atau kebakaran, ada juga aduan mengenai masalah terkunci dalam rumah atau binatang peliharaan seperti kucing terperangkap atas pokok atau bumbung.

"Ada pelbagai kejadian setiap hari, tetapi apa yang penting sebagai petugas di pusat kawalan, kena sentiasa bersedia setiap masa," katanya lagi.

Beliau yang sudah berkhidmat hampir 29 tahun di Polis Diraja Malaysia (PDRM) menceritakan satu panggilan kecemasan yang tidak akan dilupakan.

"Panggilan yang diterima dari seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu mengenai seorang lelaki bunuh diri.

"Saya tidak sangka panggilan tiga minit itu mengenai seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) iaitu Ahmad Sarbani Mohamad yang dikatakan jatuh dari bangunan SPRM, Jalan Cochrane, Cheras, April lalu," jelasnya lagi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai panggilan yang diterima itu dan menceritakan adalah menjadi tugasnya mengawal keadaan serta menenangkan pengadu yang rata-ratanya cemas sekiranya berlaku kejadian jenayah.

Hasil pemantauan dan pemerhatian daripada pengalamannya, kebanyakan jenayah ada musim, trend dan mengikut kaum pada satu-satu masa.

"Sebagai contoh, jika hari ini ada aduan buang bayi, esok lusa juga akan ada aduan sama dilaporkan. Seperti jenayah ragut dilaporkan paling kerap berlaku beberapa tahun lalu, bagaimanapun jumlah itu semakin jarang dilaporkan tahun ini.

"Kebanyakan kes pergaduhan warga asing pula biasanya membabitkan warga Afrika, Bangladesh dan Indonesia," katanya lagi.

Mohd. Puzi yang pernah menjadi polis pengawal selama lapan tahun di lebih 20 kediaman orang-orang kenamaan termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru sahaja mendapat sijil perkhidmatan cemerlang dari Ketua Polis Kuala Lumpur, April lalu.

"Syukur dan bangga sumbangan kecil saya untuk negara dihargai sebelum bersara pada Jun tahun depan," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: