jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Tuesday, June 14, 2011

Airmata saudara baru Studio Muallaf


PROGRAM Studio Muallaf ditayangkan di TV AlHijrah setiap Sabtu, 10.30 malam, sejak 11 Jun lalu.


PERTAMA kali bertemu Studio Muallaf (SM) hanyalah satu kebetulan. Diperkenalkan kenalan yang pernah melihat mereka berlatih di Darul Fikrah - tempat pertemuan saudara baru di Damansara.

"Kami baru bergabung. Hajat nak nyanyikan sebuah lagu pada majlis pelancaran TV AlHijrah," kata Xifu Nasir, pengasas kumpulan ini.

Selain Xifu, SM turut disertai Ryoby Zaid, Divesh Kumar, Ustaz Ng, Leia Zahra, JV dan Alex Liew - semuanya saudara baru dengan latar belakang pelbagai kaum dan etnik. Setiap mereka mempunyai kisah kehidupan tersendiri.

Memandangkan Malam Pelancaran TV AlHijrah berprofil tinggi kerana dilancarkan Perdana Menteri dan dihadiri lebih 500 tetamu VIP, beberapa aspek harus diambil kira, terutama keupayaan SM untuk mengadakan persembahan setaraf dengan Yassin, Inteam dan Al Mawlid yang turut mengadakan persembahan.

"Kami ada lagu yang digubah khusus berdasarkan hadis Rasulullah," kata Xifu cuba meyakinkan.

Kepelbagaian latar kaum dan etnik serta wajah-wajah anggota SM menang menepati hasrat TV AlHijrah dalam usaha memperkenalkan Islam yang merangkumi pelbagai wajah dan budaya.

Apatah lagi lagu Hijrah yang digubah khusus oleh SM untuk persembahan malam pelancaran itu pula mengukuhkan lagi tema malam pelancaran.

"Beri kami satu peluang… kami akan buktikan," kata Xifu Nasir tanpa mahu mengalah.

Akhirnya, setelah mendengar pita demo lagu Hijrah serta bertemu dengan SM, jawatankuasa TV AlHijrah bersetuju untuk menyediakan ruang persembahan bukan setakat tempelen tetapi persembahan pembukaan khusus di depan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Segalanya bermula di sini," kata Alex Liew apabila memikirkan peluang yang diberikan menyebabkan TV AlHijrah akhirnya menawarkan kepada SM untuk menerbitkan program 13 episod mengenai aktiviti dakwah, muzikal dan kisah hidup kumpulan SM.

Di sinilah kehidupan dan perjalanan hidup mereka menambat rasa, malah menyentuh perasaan setelah mengetahui latar hidup anggota SM.

"Saya lahir dalam Islam walaupun berketurunan Cina tetapi disebabkan penceraian ibubapa, saya dibesarkan dalam keluarga bukan Islam," cerita Xifu Nasir.

Akhirnya dengan hidayah Allah, setelah dewasa dan melalui hidup yang membingungkan, Xifu Nasir kembali kepada Islam, ketika mencari erti ketenangan dalam hidup yang sementara.

Lea Zahra satu-satunya wanita dalam SM, aktif menyanyi di gereja ketika kecil dan remaja. Sebagai gadis Katolik yang membesar dalam keluarga Dusun di Sabah, Lea banyak menghabiskan masa menyanyi dengan koir gereja.

"Saya menyanyi dari kecil," kata Lea yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk melanjutkan pelajaran.

Di Kuala Lumpur, kehidupan yang mencabar membuatkan Lea tersasar hidup, selalu berserabut dan bingung. Ketika itu, dari gadis yang lemah-lembut dia berubah menjadi liar dan sukakan minuman keras.

"Arak tidak menyelesaikan masalah dan kemurungan yang saya alami. Satu hari dalam keadaan mabuk saya merayu semoha Tuhan tunjukkan saya jalan untuk ketenangan," cerita Lea.

Setelah terlelap dalam keadaan mabuk dan terjaga, Lea mendengar suara azan. Waktu itu dirinya terasa sayu kerana dia tidak pernah berfikir mengenai Islam.

"Saat itu saya sedar, Allah sudah tunjukkan jalan," ujarnya.

Sebaik tamat pengajian, Lea memilih untuk menetap di ibu kota dan aktif sebagai pendakwah.

Cuma konsep dakwahnya berbeza dari kebiasaan definisi dakwah dalam Islam.

JV ketika dizaman remajanya pernah menyertai kumpulan X-Factor memilih seni untuk berdakwah.

"Saya ikut macam-macam agama, tapi akhirnya Islam yang saya pilih," katanya.

Kini bersama SM dan melalui siri bual bicara semua kisah hidup mereka serta 28 lagu yang digubah khusus akan dapat dinikmati penonton.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: