
Penerbitnya, Hartini Abdullah berkata, Alunan Warisan adalah sebuah potpuri tarian tradisional dan etnik yang jarang ditonton masyarakat hari ini.
Menurutnya, persembahan tersebut akan diselang-selikan dengan pelbagai jenis gabungan muzik seperti, lagu asli, joget, ghazal dan gamelan yang diberi nafas baru.
Diilhamkan sendiri olehnya, persembahan yang terdapat dalam Alunan Warisan akan membawa para penonton ke seluruh negeri di Malaysia.
“ Keunikan rentak (Tari Pelanduk dari Pahang), pakaian yang menghasilkan bunyi (Mengarang Kaba dari Negeri Sembilan) dan dondang sayang (Nona Manis dari Melaka) adalah sebahagian daripada yang akan dipersembahkan dalam Alunan Warisan.
“Manakala ‘Mengadap Rebab’, teater Mak Yong dari Kelantan menjadi pembuka tirai pada malam persembahan dan Dikir Warisan akan menjadi penutup acara,” katanya ketika sidang media yang diadakan di Menara Berkembar Petronas, baru-baru ini.
Tambahnya, untuk menarik lebih ramai penonton remaja, persembahan teater Mak Yong nanti akan diselitkan dengan unsur komedi moden seperti penggunaan laman sosial mahupun peralatan canggih.
Sementara itu, antara persembahan dalam Alunan Warisan adalah seperti Tandak Berinai dari Perlis, hasil koreografer, Anas Firdaus, Layang Si Burung Mas, Kedah (Albar), Kurung-kurung, Sabah, (Ag M Ridzuan), Rodong, Selangor (M Suwandi), Ngajat Serumpun, Sarawak (Rozilah A Rahman) dan Mak Yong, Kelantan, (Zahari Hamzah).
Persembahan oleh artis budaya KSPP tersebut bakal berlangsung di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), Menara Berkembar KLCC pada jam 8.30 malam, pada 5 dan 6 Julai ini.
Tiket persembahan juga sudah mula dijual pada harga RM60 (premium), RM50 (A Reserve), RM30 (B Reserve) dan RM15 (C Reserve).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: