Monday, June 6, 2011

Penunjuk perasaan rai Presiden Yemen cedera


SEJUMLAH penduduk meraikan kegembiraan di bandar Taez semalam selepas Presiden Yemen, Ali Abdullah Salleh dirawat di sebuah hospital di Riyadh, Arab Saudi kerana cedera terkena serpihan kayu akibat bedilan roket.


SANAA, Yemen – Sejumlah penunjuk perasaan semalam menari, menyanyi lagu dan menyembelih lembu setelah Presiden Yemen, Ali Abdullah Salleh dihantar ke Arab Saudi untuk menerima rawatan selepas cedera dalam serangan roket di pekarangan istananya.

Ali dirawat di sebuah hospital tentera di Riyadh dan menjalani satu pembedahan yang berjaya di dadanya untuk mengeluarkan serpihan kayu akibat bedilan roket di sebuah masjid di pekarangan istananya pada Jumaat lalu.

Naib Presiden, Abed Rabbo Mansour Hadi kini menjadi pemangku presiden semasa ketiadaan Ali yang dirawat di Riyadh.

Timbalan Menteri Penerangan, Abde al-Janadi berkata, presiden itu akan pulang ke Yemen dan menyambung semula tugasnya selepas dia menjalani rawatan perubatan.

“Ali akan pulang semula. Dia berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan dia mungkin akan menyerahkan kuasa tetapi ia perlu dilakukan mengikut perlembagaan,” katanya.

Menurutnya, rampasan kuasa gagal dilakukan oleh kumpulan kabilah yang menentang pemerintahannya.

Bagaimanapun, di jalan-jalan raya di sini, para penunjuk perasaan bergembira kerana mengenggap Ali akan berada di luar Yemen buat selama-lamanya selepas hampir 33 tahun memerintah.

Ketiadaan Ali di Yemen mencetuskan kebimbangan bahawa perebutan kuasa bakal berlaku di antara kabilah yang setia kepadanya dan yang taat kepada tentera.

Pergolakan di Yemen berlaku sejak empat bulan lalu selepas rakyat bangkit menuntut Ali meletakkan jawatan.

Ali menegaskan dia akan meletakkan jawatan hanya jika kalah dalam pilihan raya sebelum bersetuju untuk berundur mengikut perlembagaan.

Bagaimanapun, sehingga kini Ali masih belum meletakkan jawatan seperti yang dijanjikannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: