Thursday, June 23, 2011

Didik anak jadi diri sendiri


Pemantauan ibu bapa amat penting supaya anak tidak tersasar dari landasan yang sepatutnya. - Gambar hiasan


BIASANYA ibu bapa mahu mendidik anak-anak menjadi seperti mana diri mereka. Realitinya, walaupun anak itu adalah darah daging mereka tetapi ibu bapa kena mendidik anak-anak supaya menjadi diri sendiri.

Ini kerana kedua ibu bapa perlu ingat, tidak semestinya anak akan menjadi seperti yang dikehendaki sekalipun kedua-duanya diibaratkan sebagai model terbaik oleh anak-anak.

''Contohnya saya sebagai seorang doktor juga mahukan anak meneruskan kesinambungan karier ini. Tetapi itu semua bukan jaminan anak saya akan memilih pekerjaan ini,'' kata Pakar Pediatrik dan Penjagaan Intensif Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Dr. Sharmila Kylasam ketika menyampaikan ceramah bertajuk Pembangunan Otak Kanak-Kanak Peringkat Awal.

Dr. Sharmila antara penceramah dalam forum awam bertajuk Pemahaman Peringkat Awal Perkembangan Kanak-Kanak anjuran PCMC di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sehubungan itu, katanya, setiap kanak-kanak sebenarnya unik dan mereka begitu berbeza antara satu sama lain.

''Masing-masing dianugerahkan dengan otak yang sama dengan pelbagai fungsi termasuk dapat merakam perkara lampau, belajar menangani ketakutan, tahu untuk membezakan perasaan takut dan berhati-hati untuk mengelak dari jatuh dan sebagainya,'' katanya

Biasanya di peringkat awal perkembangan anak kecil, kata Dr. Sharmila, mereka akan menjadi tingkah laku ibu bapa sebagai panduan.

Jelasnya, ibu bapa cuma berusaha membantu mengawasi mereka supaya menjadi manusia yang berguna.

Di sini kata beliau letaknya cabaran kepada ibu bapa untuk membaca dan menilai setiap tingkah laku anak semenjak kecil lagi.

''Pemantauan yang teramat penting supaya anak tidak tersasar dari landasan yang sepatutnya,'' katanya.

Setiap anak kecil juga ujarnya, menganggap ibu bapa sebagai tempat untuk berlindung sekali gus merasa begitu selamat.

Seperti mana orang dewasa curiga dengan orang yang tidak dikenali, kata Dr. Sharmila, anak kecil juga akan bertindak demikian sehingga kadangkala boleh membuatkan mereka menangis.

Bagaimanapun katanya, keupayaan ibu bapa mendidik anak kecil itu supaya dapat membiasakan diri dengan kenalan baru penting kerana daripada situ bermulanya cara memahami pergaulan dalam masyarakat.

Sementara itu, Ketua Pakar Diet, Perubahan Gaya Hidup PCMC, Datin Farah Diba Khan menasihatkan ibu supaya sekalipun telah tiba masa untuk memberikan makanan tambahan untuk bayi, tetapi ia bukan alasan menceraikan susu.

''Teruskan penyusuan seperti biasa. Tetapi mula mengajar anak anda untuk makan secara perlahan-lahan,'' katanya.

Menurut beliau, ini kerana kandungan nilai pemakanan dalam susu ibu adalah yang terbaik.

''Jangan sesekali percaya untuk menggantikannya dengan susu formula yang sering didakwa oleh pengeluarnya memenuhi segala khasiat tumbesaran seorang kanak-kanak yang luar biasa,'' katanya.

Dalam pada itu, katanya, setiap ibu yang menyusukan anak diingatkan supaya tidak mengabaikan pemakanan berkhasiat.

Farah Diba juga mengingatkan setiap ibu supaya jangan ghairah memberi anak makan sebelum tempoh sepatutnya.

Katanya, sudah menjadi sikap semulajadi kepada anak kecil yang pastinya akan menolak makanan baru.

Begitu juga apabila sampai ke peringkat untuk memberikan anak-anak makan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Sebaiknya buah dan sayur dipotong dalam bentuk kecil yang disediakan dalam pelbagai warna untuk menarik perhatian anak kecil.

''Mungkin peringkat awal anak ini hanya memerhati dan cuba bermain-main dengan makanan yang masih baru padanya,'' katanya.

Jadi ibu perlu membiarkan anak berbuat demikian sekalipun perbuatan itu akan mengotorkan muka, tangan, baju dan meja.

Farah Diba berkata, ia cuma akan berlaku pada peringkat awal sahaja kerana anak kecil tadi akan perlahan-lahan menyuapkan makanan ini ke dalam mulutnya.

Bagaimanapun, kata Farah Diba ibu tidak boleh kecewa sebaliknya memberikan semangat dan peluang untuk anak mempelajari makanan baru di dalam hidup selain dari susu ibu.

Dalam pada itu, Farah Diba mengingatkan para ibu supaya jangan ghairah untuk melihat badan anak menjadi gemuk.

''Orang Asia sering membuat tanggapan yang salah apabila mengatakan anak kecil yang gemuk itu sihat dan comel,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya ibu perlu mengikut panduan diet yang sepatutnya supaya isu anak gemuk yang kini menjadi masalah utama di kalangan pelajar di negara ini dapat diatasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: