Friday, June 24, 2011

Pastri, kek taruhan ibu tunggal


Sebahagian daripada peserta bersama kek yang dihasilkan melalui Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal 2011 bagi Bengkel Pembuatan Kek, Pastri dan Kuih Tradisional bersama D Flowers Cake Akademi.


PELBAGAI cara boleh dilakukan terutama oleh golongan ibu tunggal bagi menjana pendapatan untuk keluarga mereka sekali gus melupakan kesedihan atau kekecewaan akibat kehilangan orang tersayang.

Antaranya dengan menyertai pelbagai program latihan yang disediakan oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Program-program ini bagi membimbing ibu-ibu tunggal dan wanita kurang bernasib baik menjana sumber pendapatan berdasarkan minat masing-masing.

Terbaru bertempat di D Flowers Cake Akademi, Rawang Mutiara Business Centre 2, Rawang, Selangor, seramai 15 ibu tunggal sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya telah dipilih untuk menyertai Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal 2011 bagi Bengkel Pembuatan Kek, Pastri dan Kuih Tradisional.

Menurut Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Norhafiza Halim Faisal, ia merupakan program khas di bawah Rancangan Malaysia sejak 2008 bagi membantu ibu-ibu tunggal meningkatkan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang .

''Selain pastri dan kek, pihak kami turut menganjurkan beberapa program lain seperti perbidanan, jahitan busana muslimah, gubahan pengantin dan sebagainya.

''Tujuannya agar ibu tunggal yang berperanan sebagai ketua keluarga dapat meningkatkan pendapatan isi rumah mereka, seterusnya membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan," jelas beliau.

Tambah Norhafiza, memandangkan kecenderungan masyarakat hari ini kepada bidang pastri dan kek, pihaknya telah memilih bengkel pembuatan kek, pastri dan kuih tradisional sebagai salah satu program untuk tahun ini.

''Peserta yang terpilih akan mempelajari kaedah-kaedah asas penghasilan kuih tradisional talam pada hari pertama , penghasilan krim puff dan anika tatlet pada hari kedua manakala pelbagai jenis ban pada hari ketiga.

''Kelainan program kali ini, peserta berpeluang untuk mempelajari cara membuat dan menghias kek cawan dengan krim mentega dan fondant manakala hari terakhir peserta akan diajar menghias kek fondant yang amat popular sekarang," jelas beliau.

Menurut Norhafiza lagi, pemilihan peserta dibuat berdasarkan beberapa faktor antaranya taraf pendapatan yang di bawah paras kemiskinan.

Bagi memastikan program ini mencapai matlamatnya, Norhafiza berkata, pihaknya akan memantau aktiviti dan pendapatan para peserta agar sasaran kerajaan untuk melahirkan 4,000 usahawan wanita menjelang tahun 2012 akan tercapai.

Sementara itu, salah seorang peserta dari Bandar Baru Sentul, Khayati Hashim, 47, berkata, dia cukup teruja dan seronok apabila berpeluang menyertai program yang dianjurkan oleh JPW itu.

''Sebagai ibu tunggal kepada tiga orang anak, saya menjalankan perniagaan kecil-kecilan membuat kuih-muih di rumah. Ilmu yang diperolehi kali ini besar maknanya memandangkan sebelum ini saya berniaga talam.

''Cara pembelajaran yang menyeronokkan dan petua-petua yang diberikan oleh tenaga pengajar D Flowers Cake amat membantu untuk mempelbagaikan hasil produk saya," ujarnya.

Bagi Sharipah Hafizah Mat Jali , 48, dari Taman Melati, Gombak, pula, peluang menyertai program tersebut secara tidak langsung mengubat kisah dukanya yang baru kehilangan suami tercinta beberapa bulan lalu.

''Amat menyeronokkan dan saya dapat lihat dunia baru saya sekarang. Selepas ini saya mempunyai lebih keyakinan untuk membuat dan menghias kek untuk jualan. Bayangkan daripada tak tahu, saya sudah tahu membuat roti," ujarnya yang pernah mengusahakan perniagaan kraftangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: