Friday, June 24, 2011

Derita digantung tak bertali

TANPA diduga Hazizah (bukan nama sebenar), rumah tangga yang dibina selama enam tahun atas dasar suka sama suka akhirnya musnah tanpa ada penyelesaian.

Ini kerana, selain tidak dilepaskan (diceraikan) oleh suami, Hazizah dibiarkan gantung tidak bertali. Sudahlah suaminya tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa, Hazizah dikejutkan pula dengan berita bahawa suaminya juga merupakan seorang penagih dadah.

Kerana tidak tahan 'dikejar' tuan rumah menuntut sewa rumah yang tertunggak, Hazizah akhirnya terpaksa 'lari' apabila dia sendiri tidak mampu menjelaskan jumlah tunggakan tersebut.

Hazizah bersama dua anaknya, seorang lelaki (empat tahun) dan seorang perempuan (lima tahun) akhirnya mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur.

Hazizah bernasib baik kerana ibu saudaranya, Asmah (bukan nama sebenar) yang tinggal di Kuala Lumpur sedia menerima dia anak beranak untuk tumpang berteduh sementara mendapat pekerjaan.

Demi melihat kesusahan serta derita yang dilalui Hazizah, Asmah telah membawa anak saudaranya itu berjumpa dengan seorang peguam syarie.

Ini kerana Asmah ingin melihat anak saudaranya mendapat pembelaan yang sewajarnya selain 'dilepaskan' agar Hazizah dapat menjalani kehidupan yang lebih sempurna.

Dengan itu, Hazizah telah menuntut fasakh daripada suaminya melalui peguam yang diupah Asmah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Apabila kes tersebut dibawa ke mahkamah, segala-galanya terbongkar dan sudah pasti Asmah dan keluarga terkejut dengan pendedahan yang dibuat.

Setelah disoal-siasat, barulah semua mengetahui bahawa suami Hazizah bukan sahaja merupakan seorang penagih dadah, malah nafkah isteri dan anak-anaknya juga tidak diberikan sejak dua tahun lalu.

Apa yang lebih mengejutkan, suami Hazizah juga merupakan seorang suami yang suka melakukan seks luar tabii (liwat) selain 'mendera' Hazizah apabila setiap kali melakukan hubungan kelamin dan akibat daripada perbuatan tersebut, Hazizah telah menghidap buasir.

Apa yang lebih menyedihkan, Hazizah turut mendedahkan bahawa anak perempuannya turut menjadi mangsa cabul bapa yang tidak bertanggungjawab itu.

Melalui saman yang dikeluarkan, suami Hazizah telah hadir di mahkamah bagaimanapun dia tidak bersetuju dan menafikan segala dakwaan Hazizah.

Disebabkan itu, kes tersebut terpaksa dibicarakan.

Mungkin sudah tertulis nasib Hazizah, semasa kesnya sedang berjalan di peringkat keterangan saksi, Hazizah meninggal dunia akibat dilanggar kereta pacuan empat roda semasa hendak pergi bekerja.

Peguam yang diamanahkan hadir ke mahkamah semasa tarikh perbicaraan dan memaklumkan kepada hakim bahawa Hazizah telah meninggal dunia dan mengemukakan sijil kematian Hazizah.

Suasana sedih menyelubungi mahkamah apabila diberitahu kematian Hazizah tetapi defendan (suami Hazizah) yang hadir kelihatan bersahaja tanpa ada riak kekesalan di wajahnya.

Setelah dimaklumkan perkara tersebut, hakim bertanya kepada defendan: "Kamu tahu ke isteri kamu sudah meninggal dunia?"

Jawab defendan: "Tahu yang arif."

Hakim menambah: "Ha, kamu susah sangat nak ceraikan isteri walaupun kamu yang buat silap. Tengok sekarang arwah dapat juga cerai walaupun cerai mati. Allah itu Maha Adil."

Hakim kemudiannya bertanya kepada peguam, apa yang hendak dipohon.

Peguam kemudian membacakan peruntukan Seksyen 22 Akta Tatacara Mal yang memperuntukkan, dalam hal perkahwinan, kematian atau kebangkrapan mana-mana pihak- (a) jika kuasa tindakan itu tidak menakat (berterusan) menurut Hukum Syarak, prosiding itu hendaklah terhenti dan mohon kes ditutup.

Defendan kemudian menyatakan kepada hakim dia hendak menuntut hak penjagaan dua orang anaknya yang kini di bawah jagaan Asmah.

Bagaimanapun peguam menegaskan bahawa hak penjagaan anak-anaknya boleh dituntut kemudian di Mahkamah Tinggi Syariah.

Hakim bersetuju dan memberitahu: "Defendan, hak jagaan anak kamu boleh dituntut kemudian di mahkamah yang berbidang kuasa."

Hakim kemudian memerintahkan berdasarkan sijil kematian plaintif dan peruntukan seksyen 22 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah, mahkamah memutuskan bahawa kes ini ditutup.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: