Wednesday, June 22, 2011

Nur Aainaa bersaing bersama ibu


Nur Aainaa idam juara
kategori kek.


KUALA LUMPUR – Penyertaan anak muda, Nur Aainaa Nizam, 25, dalam Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat Zon Tengah di pusat beli-belah di AEON AU2, Setiawangsa di sini pada Ahad ini mungkin berbeza berbanding peserta-peserta lain.

Ini kerana Nur Aainaa akan bersaing bersama ibunya, Noraziah Salleh, 51, yang bertanding bagi kategori kek manakala dia menyertai kategori biskut.

“Saya masuk pertandingan ini hanya untuk suka-suka dan sebagai menemani mak serta mahu menunjukkan skil yang dipelajari.

“Sudah tentu mak saya adalah mentor dan sifu saya. Setiap ilmu yang saya dapat adalah daripadanya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Nur Aainaa yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Kuala Lumpur di sini berkata, dia membuat keputusan untuk memilih kategori biskut kerana tidak mahu bertanding menentang ibunya.

Mula belajar membuat biskut dan kuih sejak di bangku sekolah lagi, Nur Aainaa memberitahu, pada mulanya dia hanya seronok melihat ibunya memasak dan selepas itu timbul minat untuk mencuba.


NORAZIAH akan bertanding bersama Nur
Aainaa pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat Zon Tengah di Kuala Lumpur Ahad ini.


Anak kedua daripada empat adik-beradik ini ingin menjadikan pertandingan Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat Zon Tengah sebagai batu loncatan untuk lebih maju dalam bidang itu.

Sebelum ini, Nur Aainaa yang tinggal di Wangsa Maju di sini pernah menyertai satu pertandingan memasak di sekitar Lembah Klang dan hanya berjaya mendapat tempat sagu hati.

“Saya berharap sangat kali ini saya boleh menjadi juara. Setidak-tidaknya saya boleh membuktikan saya mampu lakukannya,” ujarnya lagi.

Katanya, bagi mencipta resipi bagi cabaran ini, dia terpaksa meminta tunjuk ajar daripada ibunya kerana dia tidak pernah membuat biskut menggunakan minyak.

“Sebelum ini jika mahu membuat biskut saya menggunakan mentega. Saya perlu tunjuk ajar daripada yang pakar.

“Saya berharap latihan yang saya lakukan bersama emak saya berbaloi dan saya tidak sabar menanti hari pertandingan,” katanya.

Rozita harap tuah percubaan pertama




KUALA LUMPUR – Seorang pembuat kek, Rozita Abdul Karim (gambar), 36, mengharapkan tuah percubaan pertama untuk melangkah lebih jauh pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat Zon Tengah di pusat beli-belah AEON AU2, Setiawangsa di sini Ahad ini.

Rozita yang bekerja di Kedai Kek Aurani Bakery di Puchong sejak tahun lepas berkata, kesibukan mengendalikan perniagaan dan pelanggan menghalang hasratnya untuk menyertai pertandingan seumpamanya sebelum ini.

Sentiasa cermat dan berhati-hati semasa pembuatan kek, Rozita bagaimanapun kekal berahsia mengenai keistimewaan kek beliau yang hanya sekadar mahu dikenali Kek Red Velvet.

“Sudah menjadi adat dalam pertandingan, saya yakin ramai peserta masih tercari-cari resipi dan cara hiasan yang terbaik pada cabaran itu nanti.

“Jadi, saya mengambil sikap tunggu dan lihat serta enggan mendedahkan keistimewaan kek saya, biarlah ia menjadi rahsia dan hanya diketahui umum ketika pertandingan berlangsung kelak (Ahad ini),” katanya semasa dihubungi semalam.

Rozita berkata, cabaran daripada peserta lain juga disifatkan cukup mencabar dan dia berharap mampu menyerap tekanan ketika menghias kek dengan harapan mara ke peringkat lebih jauh.

“Beraksi di pentas final sememangnya diimpikan oleh semua peserta dan saya juga tidak terkecuali.

“Justeru, saya harap mampu memberikan yang terbaik sekali gus menarik perhatian juri,” katanya.

Mengenai dekorasi yang bakal ditampilkan beliau, Rozita memberitahu ketika ini dia masih mendapatkan nasihat dan rujukan rakan-rakan bagi memenuhi tema Alam Fantasi.

Pendaftaran Cabaran Daisy Zon Tengah masih dibuka


CHEF LIZA ZAINOL (dua dari kanan) bersama barisan juri sedang mengadili hasil kerja peserta pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 di Kuala Terengganu baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Pendaftaran Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat Zon Tengah di pusat beli-belah AEON AU2, Setiawangsa di sini yang akan diadakan Ahad ini masih lagi dibuka sehingga esok.

Orang ramai yang berminat untuk menyertainya masih boleh membuat pendaftaran menerusi borang penyertaan yang disediakan di dalam akhbar Kosmo!.

“Kami memperuntukkan hanya 15 orang peserta untuk setiap kategori dan orang ramai perlu segera membuat pendaftaran untuk memastikan mereka mendapat tempat di pertandingan tersebut.

“Caranya tidak sukar. Hanya perlu mengisikan borang berserta resipi dan gambar kemudian hantarkan pada alamat yang disertakan dalam akhbar Kosmo!,” kata Eksekutif Iklan Kosmo!, Nizam Baharudin di sini semalam.

Dua kategori yang dipertandingkan pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat Zon Tengah ialah kek dan biskut.

Menurut beliau, apa yang penting, setiap peserta memahami syarat-syarat penyertaan yang dinyatakan sebelum mendaftarkan diri.

Katanya, bukan sahaja hadiah dan kemenangan yang diburu, pengalaman menyertai pertandingan ini adalah sesuatu yang berharga.

“Di samping peserta boleh beradu kemahiran masing-masing, mereka boleh menimba ilmu daripada chef-chef terkenal dan bertukar-tukar pendapat dan skil di antara peserta-peserta lain.

“Pertandingan ini menjadi medan pertemuan di antara peminat-peminat dunia masakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: