Wednesday, June 22, 2011

Tersungkur di ladang Yazid Baba


ANGGOTA polis memeriksa mayat salah seorang daripada tiga penjenayah warga Indonesia yang mati ditembak di Kampung Pedas Tengah, Rembau semalam.


SEREMBAN – Cubaan sekumpulan empat penjenayah warga Indonesia untuk melarikan diri secara senyap selepas disalak anjing pemilik banglo yang mahu disamun mengundang padah apabila tiga daripadanya mati ditembak pada pukul 4.54 pagi semalam.

Kejadian di Ladang Kelapa Sawit Yazid Baba 1, Kampung Pedas Tengah, Rembau dekat sini itu berlaku apabila empat penjenayah terbabit cuba menyerang anggota polis dengan menggunakan parang.

Untuk mempertahankan diri, sepasukan polis berkenaan telah melepaskan beberapa das tembakan menggunakan senapang menyebabkan tiga penjenayah mati di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera dan dapat melarikan diri.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, sebelum kejadian, keempat-empat suspek disyaki cuba memecah masuk banglo seorang penternak dan pekebun setengah jam sebelum itu.

Bagaimanapun katanya, hasrat mereka terbantut apabila mereka disalak anjing peliharaan mangsa hingga menyebabkan salah seorang penghuni terjaga dan terus menjerit sebaik ternampak kelibat suspek.

“Mereka kemudian cuba melarikan diri senyap-senyap sambil menolak tiga buah motosikal curi milik penduduk tempatan yang dinaiki ketika datang ke situ.

“Bagaimanapun, ketika hendak melarikan diri, mereka terserempak dengan sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan di ladang kelapa sawit tersebut. Mereka bukan sahaja enggan menurut arahan supaya menyerah diri malah menyerang polis dengan menggunakan parang,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: