|
|
SEPANG 31 Mei - Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB) bakal bersaing dengan empat syarikat dari Eropah bagi membangunkan lapangan terbang di Madinah, Arab Saudi.
Bidaan tersebut dibuat untuk membina dan mengurus fasa pertama sambungan Lapangan Terbang Putera Mohammed Bin Abdulaziz.
Lapangan terbang itu merupakan lapangan terbang keempat terbesar dari aspek jumlah penumpang di Arab Saudi.
Ketua Pegawai Kewangannya, Faizal Mansor berkata, tarikh tutup bidaan adalah pada 5 Jun ini dan pihaknya sudah bersedia untuk menawarkan bidaan yang terbaik.
''Setakat ini, kami sudah menghantar kakitangan MAHB ke sana bagi melihat suasana dengan misi untuk memenangi bidaan tersebut,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas pembentangan prestasi kewangan MAHB bagi tempoh suku pertama berakhir 31 Mac 2011 di sini hari ini.
MAHB akan bekerjasama dengan entiti lain melalui konsortium yang terdiri daripada Bakri International Energy Co, Almabani General Contractors-Impregilo SpA dan Riyad Bank.
Konsortium tersebut merupakan satu daripada lapan konsortium yang disenarai pendek oleh Pihak Berkuasa Umum Penerbangan Sivil Arab Saudi.
Bidaan itu bagi pembangunan berjumlah RM4.58 bilion, iaitu sebahagian daripada projek yang bernilai RM32.03 bilion untuk menukar dan meliberalisasi sektor lapangan terbang negara tersebut.
MAHB sebelum ini telah membangunkan lapangan terbang di India iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Delhi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hyderabad, Lapangan Terbang Antarabangsa Instanbul Sabiha Gokcen, Turki dan Lapangan Terbang Antarabangsa Male di Maldives.
Faizal menambah, keputusan bidaan tersebut dijangka diketahui dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang.
Katanya, jika berjaya, pihaknya akan membina lapangan tersebut dalam tempoh tiga tahun.
"Setakat ini, harapan kami untuk memenangi bidaan tersebut masih samar. Saya boleh katakan 50-50. Jika bernasib baik, MAHB mungkin boleh menang,'' tegas Faizal.
Tambahnya, menjadi negara Islam bukannya satu kelebihan untuk memenangi bidaan tersebut.
Jelas beliau, terdapat bukti beberapa bidaan di beberapa negara Islam sebelum ini yang telah dimenangi oleh pengendali lapangan terbang dari negara bukan Islam.
"Oleh itu, kami tidak boleh berpuas hati dengan status negara Islam tersebut dan hanya perlu meletakkan harapan pada takdir selain menawarkan bidaan dengan sebaik mungkin,'' ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: