
SELEPAS tulang tumit kaki kirinya hancur ketika terjatuh dari tangga, kehidupan susah buruh kasar dari Wilayah Shandong, China, Ah Ping, 23, menjadi lebih teruk lagi. Majikannya, seorang kontraktor warganegara Singapura menolak untuk memfail tuntutan pampasan kepada kementerian sumber manusia kerana takut ia akan memburukkan rekod prestasi syarikat. Namun, apabila Ah Ping bertindak sendiri memohon tuntutan tersebut selepas sembilan hari berada di hospital, keadaan menjadi lebih teruk. "Dia datang berjumpa saya ketika sedang berehat lantas bertanya mengapa saya memfailkan tuntutan itu, "Dia marah dan telah menampar muka saya kemudian menaikkan buku lima lantas menumbuk saya," kata Ah Ping yang menolak memberikan nama sebenar kerana masih dalam siasatan polis. Tambahnya, sebelum ini dia dipaksa tinggal di dalam sebuah gudang yang lembap serta dipenuhi nyamuk oleh bekas majikan.
Home bantu pekerja asing
Kini, dia salah seorang ahli kumpulan sokongan Organisasi Kemanusiaan untuk Imigran Ekonomi (Home) bagi membantu mencari pekerja asing yang ditindas majikan. Selain buruh kasar, pekerja asing sosial di Singapura yang semakin ramai turut menjadi sasaran Ah Ping bagi membantu mereka dalam kes-kes seperti perbalahan gaji dan ancaman. Sesetengah rakyat Singapura mendakwa kebanjiran pekerja asing telah mencuri peluang pekerjaan mereka dan menyebabkan kesesakan penduduk berlaku di pulau itu. Mengikut perangkaan, warga asing yang memegang permit kerja berjumlah lebih 870,000 daripada keseluruhan populasi Singapura yang seramai 5.1 juta orang pada akhir tahun 2010. Sebahagian besar daripada mereka melakukan kerja-kerja kotor, susah dan merbahaya yang kebanyakannya dihindari oleh rakyat Singapura seperti pembantu rumah, sektor pembinaan, pengutip dan penyapu sampah atau pun pekerja kilang bertaraf rendah.\
Rata-rata mereka berasal dari China, Asia Selatan dan negara-negara Asia Tenggara lain. Pengarah Eksekutif Home, Jolovan Wham berkata, pihak mereka melihat purata kemasukan pekerja asing di antara 120 hingga 150 orang sebulan berbeza dengan empat tahun lalu iaitu hanya lebih kurang 100 orang.

"Kes-kes yang kerap diterima adalah eksploitasi pekerja," katanya kepada pemberita AFP ketika ditemui di pejabatnya. Ketika wawancara dijalankan, masih tinggal 10 orang lagi sedang beratur menunggu giliran untuk mendapatkan konsultasi dan ada juga yang mahu berkongsi kisah malang rakan senegara. Kementerian Sumber Manusia bagaimanapun melaporkan berlaku penurunan bilangan aduan dalam masa tiga tahun ini iaitu sebanyak 3,774 aduan pada 2009 kepada 3,200 pada tahun lalu. Namun, Wham menyifatkan angka tersebut tidak boleh dipercayai kerana ia berfokus kepada isu-isu yang berkaitan dengan gaji sahaja.
Tambahnya, liberalisasi Singapura terhadap polisi-polisi imigran dalam tahun-tahun kebelakangan ini telah membawa kemasukan buruh asing secara beramai-ramai bagi menampung kehendak ekonomi.
Pada masa yang sama, ia turut menyumbang kepada peningkatan bilangan kes-kes penganiayaan pekerja. "Pihak kerajaan melihat buruh warga asing sebagai digit-digit ekonomi sahaja, kehadiran mereka membantu menaikkan ekonomi jadi mereka dilihat sebagai komoditi," ujar Wham lagi. Kerajaan telah memperlahankan pengambilan warga asing semenjak kemelesetan ekonomi pada tahun 2009, tetapi kemasukan pekerja-pekerja kolar biru masih lagi seperti biasa kerana berpendapat ekonomi tidak dapat berfungsi tanpa golongan itu.
Kehadiran sumber tenaga luar yang memenuhi negara kota itu semakin menjadi isu hangat di Singapura dan debat mengenainya memuncak ketika kempen pilihan raya umum bulan lalu. Kumpulan sokongan hak-hak imigran, Transient Workers Count Too (TWC2) melaporkan peningkatan angka pekerja asing yang mencari pertolongan meningkat dari 2,087 pada tahun 2009 kepada 2,178 tahun lalu. Angka tersebut dijangka akan terus melonjak. Pengarah Eksekutif TWC2, Vincent Wijeysingha yang kalah dalam pilihan raya lalu berpendapat, kelakuan dan cara perbincangan mengenai isu imigran ketika berkempen boleh menjadikan isu tersebut semakin parah.
"Malangnya, itu adalah apa yang pilihan raya telah lakukan dan setiap politikus perlu bertanggungjawab apabila pendekatan xenofobia (ketakutan terhadap warga asing) semakin berkembang.
"Di negara-negara lain apabila ahli politik mereka berkata sesuatu yang dilihat sebagai xenofobia, kenaikan mengejut jenayah berunsur kebencian kadangkala berlaku namun ia mungkin boleh berlaku di Singapura," kata Wijeysingha kepada AFP. Ah Ping, seorang pekerja dari China kini berdepan dengan masalah untuk membayar balik hutang bank sebanyak 470,000 yuan (RM220,980) yang diberikan kepada orang tengah bagi mendapatkan pekerjaan di Singapura. Sebagai anak tunggal dalam keluarga, dia juga perlu menampung ibu bapa yang sudah lama tidak ditemui sejak berhijrah ke pulau itu dua setengah tahun lalu. "Kadangkala, saya akan mendengar lagu lama yang sering dinyanyikan oleh emak saya di radio," Ah Ping mengelamun, manakala suaranya terputus sambil melihat jauh ke luar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: