
KETANGKASAN dan kemahiran melaksanakan rutin tarian dengan kemas serta bertenaga memberi kelebihan kepada Pasukan B-Boy Taiwan, Formosa Crew menjuarai pertandingan B-Boy R16 peringkat Asia Tenggara dan Taiwan.
Pertandingan yang diadakan di Pavillion, Kuala Lumpur baru-baru ini mengumpulkan lapan pasukan B-Boy terkemuka dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Taiwan, Vietnam, Laos dan Thailand untuk mengejar tiket pertandingan akhir yang bakal diadakan di Seoul, Korea Selatan pada 2 dan 3 Julai depan.
Dalam pertandingan anjuran Organisasi Pelancongan Korea (KTO) dan LG Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd. itu, Formosa Crew terpaksa berhempas-pulas terlebih dahulu dalam pusingan tie break untuk menumpaskan pasukan dari Vietnam, Big Toe Crew sebelum bergelar juara peringkat Asia Tenggara yang turut melibatkan Taiwan.
Ketua pasukan Formosa Crew, Liu Chih Chiang, 32, berkata, latihan intensif dilakukan selama tiga bulan untuk memastikan setiap pergerakan dapat dilaksanakan dengan sempurna dalam pertandingan kali ini.
"Bagaimanapun, kami perlu melakukan lebih banyak latihan dan rutin yang lebih sukar untuk memastikan dapat melakukan tarian terbaik pada peringkat akhir kelak.
"Ini kerana dalam pertandingan akhir peringkat Asia Tenggara saingan sengit telah diberikan pasukan Big Toe Crew sehingga memaksa pusingan tie break diadakan untuk menentukan juara," katanya.
Dalam pada itu, salah seorang ahli pasukan Big Toe Crew, Bui Minh Tri, 22, berasa agak terkilan kerana tidak berjaya menempatkan diri dalam pertandingan akhir yang akan diadakan di Seoul, Korea Selatan.
"Kita sepatutnya memenangi pertandingan ini kerana telah berusaha dengan bersungguh-sungguh, tetapi nasib tidak menyebelahi kami apabila tewas di peringkat tie break.
"Kita akan berusaha lagi pada tahun hadapan untuk merangkul kejuaraan peringkat Asia Tenggara," katanya yang lebih dikenali sebagai Red Ant.
Sementara itu, Pengarah Urusan KTO Malaysia, Yun Jae Jin berkata, pertandingan tersebut merupakan salah satu aktiviti promosi yang diadakan sempena kempen Tahun Melawat Korea 2010 hingga 2012.
"R16 World B-Boy Masters Championship merupakan kejohanan antarabangsa B-Boy yang diadakan setiap tahun untuk mencari bakat muda untuk diketengahkan dalam bidang ini," ujarnya lagi.
Katanya, terdapat juga festival budaya yang diadakan dalam kejohanan ini untuk mendedahkan peserta dengan masyarakat Korea Selatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: