Wednesday, June 22, 2011

Flash mob promosi single Diddy dan Kay


TULANG belakang flash mob untuk persembahan Diddy (dari kanan) Fadzrol, Badrol, Farra, Hazwan dan Diddy sendiri.


PENYANYI yang pernah menyertai rancangan realiti Akademi Fantasia, Diddy Hirdy, 25, merupakan antara penyanyi pertama Malaysia yang menggunakan flash mob sebagai medium untuk memberi kelainan kepada para peminat. Pengarah Urusan F-tersix Sdn. Bhd., Badrol Hashim yang mengurus penyanyi itu berkata, Diddy ingin memberikan kesegaran atau kejutan yang boleh memberi impak untuk peminatnya. "Untuk menyuntik kelainan persembahan Diddy, jadi kami memilih flash mob," cerita Badrol kepada Kosmo!.

Ia berlangsung ketika persembahan showcase Diddy pada malam akhir Akademi Fantasia musim kesembilan yang menyaksikan menyaksikan dia berduet dengan adiknya Kay Khydir untuk single terbaru berjudul Bertarung Sampai Akhir. Dalam perbincangan yang diadakan sebulan sebelum tarikh 12 Jun lalu antara Loul Pop, Badrol dan Diddy, mereka memutuskan lagu nyanyian duet dua beradik itu memerlukan sebuah flash mob berbentuk tarian. Tarian dipilih supaya elemen segar dan bertenaga dalam lagu tersebut dapat disampaikan dengan mudah kepada para pendengar. Ia juga sesuai dengan konsep yang mahu dibawa oleh Diddy. Menurut koreografi flash mob Diddy, Mohd. Aidil Azrin, 25, dia hanya perlu membuat kajian dengan menonton klip-klip video luar negara dan disesuaikan dengan rentak lagu.

"Semua langkah tarian adalah hasil rekaan saya dan pembantu. Langkah tarian perlu direka dengan teliti supaya mudah diikuti," kata Aidil yang memiliki sijil tarian dari Pak Ngah Production (Swatari). Kumpulan flash mob Diddy dipecahkan kepada dua iaitu sebuah kumpulan berlatih di Kolej PTPL, Shah Alam, manakala sebuah lagi yang kebanyakannya terdiri daripada peminat Diddy berlatih di Ilmu Studio, Setiawangsa. Selain itu, klip video menerusi Youtube juga disediakan bagi beberapa peserta yang berada jauh dari Kuala Lumpur.

Pada hari flash mob itu berlangsung, semua hampir 150 peserta berkumpul di hadapan bangunan Kementerian Belia dan Sukan pada pukul 4 petang sebelum latihan terakhir akan dibuat. Tepat pukul 5.45 petang, semua akan mula mengambil tempat di Dataran Putrajaya sebelum showcase mula tepat pukul 6 petang. Selepas itu, para peserta flash mob hanya perlu menunggu isyarat giliran Diddy dan mereka akan bangun mengikut rentak lagu mula dengan dua orang, diikuti tiga orang dan seterusnya sehingga kesemua 150 orang bangun, sebelum menari beramai-ramai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: