|
|
SIAPA kata lelaki bujang tak pandai menghias rumah? Mungkin dahulu pandangan itu benar namun tidak lagi kini. Lelaki, baik bujang mahu pun sudah berkahwin terutama yang tergolong sebagai metroseksual semakin bijak menata hias kediaman. Malah adakalanya mereka lebih cerewet dari perempuan.
Bagi Nazri Arshad atau mesra dipanggil Arie, kediaman ibarat syurga yang perlu ada 'nyawa' di dalamnya. Lari dari tanggapan skeptikal rumah bujang lelaki bersepah, dia membuktikan sentuhan kaum Adam tetap menjadi malah lebih eksklusif lagi.
"Rasanya lebih senang menghias rumah sebagai orang bujang. Semua konsep saya tentukan sendiri mengikut cita rasa peribadi," kata kakitangan sebuah bank ini.
Beliau yang turut mengusahakan butik pengantin De Ams'Ree bersama teman serumahnya, Am, memastikan setiap sudut dimanfaatkan sepenuhnya.
Tidak hairanlah, kediaman apartmen lot penjuru yang dibelinya tujuh tahun lalu itu kelihatan begitu menawan walaupun hanya berkeluasan sederhana.
Berkonsepkan gabungan moden dan klasik, Arie tidak menetapkan tema tertentu untuk kediaman tiga bilik tidur itu. Dia bijak bermain dengan warna, penggunaan lampu dan lilin di kebanyakan sudut menyerlahkan lagi suasana.
Dari pintu masuk lagi sudah menggambarkan si pemilik seorang yang kemas dan teliti. Kabinet kasut kayu dihiasi jambangan bunga dan bekas lilin menawan. Dan saat pintu dikuak, sukar digambarkan dengan kata-kata bagaimana rumah yang didiami oleh dua lelaki bujang begitu kemas dan teratur malah setiap sudut juga bebas dari sebarang habuk.
Menurut Arie, pengalaman tinggal bersama ramai teman menjadikan dia rasa serik ketika menginap di rumah sewa dahulu.
"Bayangkan sebuah rumah ada lapan orang lelaki dan setiap seorang dengan sikap masing-masing. Terpaksa tahan aja bila ada yang suka buat sepah dan tidak kemas," kata lelaki berasal dari Taiping ini.
Kos
Bercerita mengenai perbelanjaan yang dikeluarkan untuk menata hias kediamannya kata Arie, dia tidak berhabis sakan.
"Semuanya saya tentukan sendiri dari mengecat hingga menghias. Malah sewaktu pengubahsuaian dapur dulu pun, saya beli sendiri marmar dan upah kontraktor untuk memasangkannya," kata beliau.
Begitu juga dengan langsir yang ditempah sendiri. Tidak ketinggalan perhiasan kecil bagi memenuhi kediaman, Arie akan cuba menggandingkannya bagi menampakkan keserasian. Tidak kira lama atau baru, setiap satu tersusun rapi dan bebas habuk.
Setiap ruang dinding si teruna ini tidak membiarkan ia kosong sahaja. Berdekatan TV LCD yang dilekatkan pada dinding, dia melekatkan kertas dekorasi dinding bercorak pokok bunga menjalar.
Kombinasi sofa dan meja kopi menjadikan ruang tamu sederhana itu kelihatan cukup menawan. Kata Arie, hanya set sofa berbunga hijau yang dibelinya, manakala settee dua tempat duduk merupakan hadiah yang dimenangi dalam satu pertandingan dekorasi kediaman anjuran sebuah akhbar tidak lama dulu.
Sesuai dengan kediaman bujang, dapur Arie jarang berasap. Namun sesekali katanya, dia dan rakan serumah akan memasak ringkas. Pada balkoni dapur yang kecil itu juga dia memasang pintu gelongsor bagi memudahkan udara mengalir masuk dan keluar, menjadikan kediaman itu tidak panas.
Masuk ke bilik tidur utama milik Arie, dia memilih katil kayu yang mempunyai bingkai. Dengan sehelai kain putih panjang, dia melilit keseluruhan tiang biang menjadikan ia kelihatan sungguh unik. Memilih warna coklat gelap untuk dinding utama, kombinasi itu kelihatan sangat serasi
Bilik kedua pula kelihatan agak garang namun tetap menawan. Kombinasi warna biru terang dan langsir biru gelap cukup memikat, malah penggunaan cadar berwarna hijau membangkitkan lagi suasana.
Satu lagi ruang yang tidak disia-siakan - balkoni. Walaupun bersaiz kecil, pancuran air mini menyerikan kediaman menjadikan ia tidak sunyi.
Setelah meneliti keseluruhan kediaman, ternyata si bujang ini ada cita rasa tersendiri dalam menata hias kediamannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: