Wednesday, June 22, 2011

Nabil elak kontroversi

Nampaknya juara Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil tidak sudah-sudah dihambat kontroversi.

Kini, gosipnya menjalin hubungan cinta bersama pramugari bernama Zira bertiup kencang sejak Nabil berpisah dengan pelakon jelita, Irma Hasmie dan wanita bernama Qasya.

Baru-baru ini jejaka berasal dari Rembau, Negeri Sembilan ini dikhabarkan benar-benar sudah bertemu kekasih hati. Dia dikatakan sudah merisik Zira dan bakal menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi.

Namun, berita itu hanya disambut dengan gelak ketawa oleh jejaka yang sememangnya dikenali dengan sikap kelakar itu.

“Setakat ini saya tidak pernah merisik mana-mana gadis, jadi saya hairan bagaimana boleh timbulnya berita begini.

“Mungkin ada orang masuk merisik bagi pihak saya tanpa pengetahuan saya,” katanya dalam nada gurauan.

Mengakui memang mengenali Zira namun menyangkal sudah bersedia untuk ke alam rumah tangga.

“Saya tak akan sorok perkara yang baik. Tapi, kami kawan dan dia kawan lama saya. Saya tak terfikir untuk berkahwin dalam masa terdekat ini kerana kerjaya adalah keutamaan bagi saya sekarang,” katanya.



Harap sokongan penonton

Bakal berentap pada peringkat akhir rancangan realiti Maharaja Lawak (ML), Nabil kini memberi tumpuan terhadap pertandingan itu.

Sebagai satu-satunya peserta solo yang berentap bersama tiga kumpulan lain iaitu Jambu, Sepah dan Jozan, Nabil akui debaran lebih terasa memandangkan dia perlu beraksi seorang diri di atas pentas.

“Saya akui prestasi saya dalam program ini tidak menentu dan ada kalanya mendapat kritikan negatif.

“Persembahan di pentas akhir mungkin tiada banyak perbezaan dengan sebelum ini, namun saya akan tetap berikan elemen kejutan,” katanya.

Dalam pada itu, Nabil mengharap sokongan penonton bagi membolehkan dia menjulang gelaran juara.

“Saya masih bertahan hingga kini pun kerana sokongan kuat daripada keluarga, kawan-kawan dan peminat.

“Jika hendak mengharapkan lawak, saya hanya mampu memberikan yang termampu dan selebihnya bergantung di tangan penonton,” katanya.

Pengalaman hampir 13 minggu menyertai program yang mencetuskan fenomena ini, Nabil mempunyai cerita tersendiri di sebalik tabirnya.

“Pernah satu ketika saya berasa sangat tertekan dan hilang keyakinan diri sehingga terlintas untuk menarik diri.

“Tetapi dari sudut lain rancangan ini banyak membantu kerjaya dan membuatkan orang ramai lebih menyedari bakat lawak saya,” katanya.

ML akan bersiaran secara langsung pada Jumaat ini bertempat di Stadium Melawati, Shah Alam pada jam 10 malam. Ia akan dipancarkan secara langsung menerusi saluran 132 Astro Warna dan saluran HD (188).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: