
Menurut Fouziah, 29, sudah tiba masanya dia melakukan anjakan pada mutu lakonannya dengan menerima watak dan filem berlainan dan mencabar.
Ekoran tidak mahu menggunakan khidmat stuntman dan mahu mencuba sendiri beberapa adegan lasak, Fouziah ditimpa kemalangan kerana terjatuh sewaktu penggambaran filem tersebut sehingga mengalami sakit di bahagian belakang.
“Saya terjatuh ketika melakonkan babak terjumpa pedang lama selepas mengalihkan batu tanda di halaman rumah. Babak itu memang memerlukan saya menjatuhkan badan, tapi ketika jatuh saya jatuh di atas batu di tepi pagar.
“Sudah setahun berlalu, saya masih merasa kesakitannya. Saya sudah pun membuat pemeriksaan doktor dan tiada kecederaan serius.
“Walaupun sakit ketika penggambaran, saya tetap habiskan kesemua babak dalam filem Rasuk itu kerana sudah empat tahun saya menantikan untuk watak-watak lasak seperti itu,” katanya yang memegang watak utama sebagai Melati dalam filem Rasuk.
Sakit belakang itu masih mengganggu aktiviti sehariannya sehingga Fouziah tidak boleh duduk terlalu lama.
“Saya rasa kecederaan di lokasi adalah perkara biasa pada mana-mana pelakon. Tapi sakit yang saya alami terasa sangat berbaloi apabila menonton sendiri lakonan dan mendapat pujian daripada penonton,” katanya.
Kecederaan itu sedikit pun tidak mematahkan semangat untuk terus berlakon.
“Saya tidak serik untuk berlakon watak seperti itu kerana memang mahu membawa watak mencabar,” katanya.
Bercerita mengenai watak Melati di dalam filem itu, Fouziah berkata, watak itu sebenarnya begitu mencabar kerana perlu menjadi makhluk lain yang sukar digambarkan.
Memandangkan tiada pengalaman dirasuk mahupun melihat orang terdekat dengannya dirasuk, dia banyak membuat kajian mengenai tingkah laku seseorang itu apabila dirasuk.
“Watak Melati memang berbeza dari watak-watak yang pernah saya bawa sebelum ini. Saya juga banyak bertanya dan membuat kajian agar tidak nampak seperti dibuat-buat.
“Ekspresi wajah dan perasaan memainkan peranan sangat penting. Jadi, saya terapkan dalam lakonan saya agar ia tidak nampak palsu,” katanya.
Filem Rasuk bakal ditayangkan 23 Jun ini adalah kisah seram yang membongkar misteri sebuah banglo lama tidak diduduki. Selain Fouziah, filem seram itu turut membariskan pelakon terkenal, seperti Iqram Dinzly, Sidek Hussin dan Fauziah Nawi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: