Wednesday, June 22, 2011

AirAsia tambah 6 simulator baru



AirAsia Bhd menerusi usaha sama dengan CAE telah bercadang untuk menambah enam simulator menjadikan 12 buah simulator menjelang 2015 dengan setiap anggaran kos ASD10 juta sebuah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, simulator itu digunakan oleh pusat latihan penerbangan baru untuk syarikat penerbangan berkenaan tidak lama lagi.

“Pusat itu akan menawarkan latihan setaraf dunia dengan menggunakan modul terkini dan kemudahan latihan termoden yang setanding serta berkos efektif berbanding latihan yang ditawarkan di Eropah dan Amerika Syarikat.

“Matlamat kami untuk menjadikan pusat itu sebagai universiti penerbangan terunggul di Asia,” katanya.

Tony Fernandes berkata, penubuhan pusat latihan terbabit akan menyumbang secara positif terhadap pelan peluasan AirAsia dengan menyediakan petugas berkemahiran tinggi yang diperlukan untuk operasi penerbangan syarikat itu.

Menurutnya, kemudahan berkenaan akan menyediakan perkhidmatan latihan juruterbang, atendan penerbangan, jurutera, petugas perkhidmatan dan pengurusan penerbangan AirAsia serta syarikat penerbangan lain.

“Menerusi khidmat latihan untuk syarikat penerbangan lain, ia membolehkan kami menjadikan program berkenaan salah satu penjana kepada keuntungan selari dengan sasaran untuk meningkatkan perolehan menerusi saluran lain yang seterusnya akan membantu mengimbangi harga bahan api serta mengekalkan tambang rendah AirAsia,” katanya.

Latihan juruterbang akan bermula 1 Julai akan datang manakala program lain 1 Oktober dijangkakan menarik pelbagai pihak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: