Monday, June 20, 2011

Mercu Zikay ikon Kampung Baru


KAMPUNG BARU bakal mempunyai satu mercu tanda yang bertaraf lima bintang dalam tempoh 36 bulan.


PADA awal Januari lalu, genaplah 111 tahun usia Kampung Baru, Kuala Lumpur. Tidak keterlaluan untuk melabelkan bahawa penduduk Kampung Baru merupakan penduduk yang paling bertuah di negara ini. Mereka mendapat perhatian istimewa daripada banyak pihak.

Sejak zaman lima Perdana Menteri terdahulu dan terkini, Datuk Seri Najib Tun Razak, pembangunan demi pembangunan dirangka di Kampung Baru. Usaha tersebut bertujuan menjadikan kampung itu sebagai pusat ekonomi bernilai tinggi.

Baru-baru ini, Najib mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi menaik taraf Masjid Jamek Kampung Baru. Bukan itu saja, satu lagi sejarah tercipta di Kampung Baru apabila beliau melancarkan majlis pembinaan Mercu Zikay.

Mercu Zikay dilabelkan sebagai salah satu ikon kegemilangan Kampung Baru. Projek bangunan ini dilaksanakan oleh Pembangunan Kampung Baru Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat Kumpulan Zikay.

Pengarah Urusan Kumpulan Zikay, Datuk Mohd. Khay Ibrahim yang juga anak jati Kampung Baru berasa bangga kerana dapat menyumbang sesuatu kepada kampung halamannya yang mula wujud sejak tahun 1900.

“Selamat datang ke Mercu Zikay, ia dilengkapi dengan pembangunan kedai komersial, hotel, apartmen dan kemudahan-kemudahan mewah di tengah-tengah jantung Kuala Lumpur,” katanya.

Bangunan tertinggi

Mercu yang merupakan antara bangunan tertinggi di kawasan segitiga emas itu secara keseluruhan merupakan sebuah bangunan 40 tingkat yang mempunyai 289 bilik hotel. Selain itu, ia menempatkan sebanyak 130 unit kondominium jenis duplex dan studio yang bersaiz antara 41.527 hingga 234.11 meter persegi.

Kepada para peniaga, anda boleh mengambil peluang keemasan dengan berniaga di Mercu Zikay kerana ia merangkumi 16 unit kedai komersial.

Kedudukan Mercu Zikay, kata Mohd. Khay, juga strategik. Ia terletak di antara persimpangan Jalan Raja Abdullah dan Jalan Raja Alang. Ini bermakna bangunan tersebut berjiran dengan bangunan Kelab Sultan Sulaiman dan Masjid Jamek Kampung Baru. Dari KLCC, ia cuma mengambil masa beberapa minit untuk sampai ke Mercu Zikay.


MOHD. KHAY


Pembinaan bangunan bertaraf antarabangsa itu difahamkan bermula pada suku kedua tahun ini dan akan siap dalam tempoh 36 bulan.

“Residen di mercu ini boleh menjangkakan satu kehidupan yang mewah dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan,” kata Mohd. Khay.

Prasarana yang disediakan berstatus lima bintang. Harga setiap unit bermula dengan RM850 bagi satu meter persegi. Antara yang paling mencuri tumpuan ialah kemudahan helikopter mendarat di tingkat paling atas bangunan. Kepada mereka yang berstatus tinggi yang sentiasa berkejar ke sana ke sini, ia sesuatu yang melegakan.

“Di situ juga, anda boleh menyaksikan pemandangan Kuala Lumpur secara menyeluruh,” katanya.

Setelah penat membanting tulang, penghuni boleh memilih untuk ke spa yang terletak di satu aras dengan gimnasium dan kolam renang.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan pusat konvensyen yang mempunyai keluasan yang agak besar, lounge dan tempat makan malam.

“Saya yakin bahawa sangat sukar untuk mencari kawasan komersial dan ketenangan di segitiga emas Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, Mercu Zikay menawarkan kedua-dua elemen itu. Jadi, anda dialu-alukan untuk menghubungi bahagian pemasaran kami untuk maklumat yang lebih terperinci,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: