Saturday, June 11, 2011

Melvin impikan Michelin Chef


CHEF Melvin lebih banyak meluangkan masa di dapur hotel, berbanding di rumah.


Anugerah tersebut mungkin agak asing di negara ini memandangkan hanya terdapat 81 buah restoran memiliki anugerah tersebut di seluruh dunia.

Sebanyak 26 buah restoran tiga bintang itu terletak di Perancis manakala selebihnya berada di merata dunia termasuk Britain, Itali, Belanda, Switzerland, Jerman dan Belgium.

Keadaan itu mendorong Chef Melvin Brandon Chong, 29, dari Hotel Traders, Kuala Lumpur, menanam cita-cita membuka sebuah restoran berstatus Michelin Chef tiga bintang suatu hari nanti.

Beliau berkata, pengalaman yang dipelajari di tempat kerja banyak mengajarnya dari segi masakan hingga kepada pengurusan perniagaan.

"Saya bercita-cita untuk membuka sebuah restoran berstatus Michelin Chef tiga bintang walaupun ia agak sukar untuk dicapai.

"Bagi saya anugerah ini merupakan satu anugerah tertinggi buat para chef dan pengusaha-pengusaha restoran.

"Sebab itu, kalau saya membuka sebuah restoran saya akan pastikan restoran itu mendapat anugerah tersebut," katanya ketika ditemui di Gobo Upstairs Lounge & Grill di hotel berkenaan.

Menurutnya, untuk mendapatkan anugerah itu, pakar profesional terlatih (pemeriksa) dari Michelin Chef bakal memberikan komen dan ulasan mengenai cara perkhidmatan, masakan dan layanan mesra kakitangan restoran berkenaan.

Laporan terperinci akan ditulis berdasarkan komen dan ulasan tersebut, selain ia turut akan diterbitkan di seluruh dunia.

"Restoran ini akan ditentukan sama ada ia layak mendapat tiga, dua atau satu bintang. Menariknya, tiada siapa pun yang kenal pemeriksa-pemeriksa tersebut walaupun dia merupakan eksekutif tertinggi di kebanyakan syarikat.

"Satu bintang menunjukkan satu hidangan sangat baik dalam kategorinya, kedudukan dua bintang pula mewakili hidangan lazat dan tiga bintang dianugerahkan kepada persembahan restoran-restoran hidangan luar biasa.

"Anugerah ini amat luar biasa dan restoran yang dikritik oleh penilai berkenaan juga boleh menerima anugerah Rising Stars yang bermakna ia layak mendapat sebutir lagi bintang tambahan.

"Bagaimanapun jika kualiti makanan, cara perkhidmatan dan layanan mesra mereka menjadi teruk, maka anugerah itu boleh ditarik balik serta merta," ujarnya.

Chef Melvin berkata, untuk menjadi seorang tukang masak atau chef yang berjaya, ia bukannya suatu yang mudah kerana perlu mengorbankan masa yang lebih banyak di tempat kerja berbanding di rumah.

"Selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya mengikuti program anjuran Kerajaan Negeri Sabah selama lapan bulan.

"Selepas tamat kursus tersebut, saya bekerja di Hotel Shangri-La dan kerja pertama saya ialah membasuh sayur-sayuran," katanya.

Daripada kerja yang mudah, sedikit demi sedikit Chef Melvin diberi kepercayaan untuk mengendalikan kerja-kerja di dapur termasuk menyediakan makanan.

Ketika itu beliau amat berterima kasih dengan ketuanya, Chef Philip Cochney yang banyak mengajarnya resipi, cara masakan dan penyediaan makanan yang betul.

"Pada masa itu, saya sangat berminat dan teruja untuk bekerja di hotel dan banyak yang saya pelajari terutamanya mengenai masakan Perancis dari Chef Philip.

"Masakan Perancis amat unik dan mengambil masa yang agak panjang untuk disediakan (tiga hingga empat jam) kerana kebanyakan masakannya menggunakan suhu yang rendah," jelasnya.

Bercerita tentang pengalaman manis sepanjang menceburi bidang masakan, Chef Melvin berkata, paling tidak boleh dilupakan apabila beliau diberi peluang menyediakan makanan pemain-pemain bola sepak Belanda ternama seperti Phillip Cocu dan Dennis Bergkamp.

"Ketika itu saya bekerja di Hotel Shangri-La di Asia Barat dan kebetulan para pemain tersebut menginap di hotel berkenaan. Peluang menyediakan makanan untuk mereka, saya anggap satu penghormatan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: