Saturday, June 11, 2011

Suami, isteri dan sahabat selamanya


TEMPOH tujuh tahun bersama adalah tempoh untuk melengkapkan diri masing-masing bagi pasangan bahagia ini.


PERSATUAN pelajar guaman atau Law Society menjadi medan pertemuan antara dua hati, 'si junior' Farrah Adeeba Mohamed Ashraf, dan 'brother senior' Muhammad Rafique Rashid Ali. Bermula dengan status sahabat, dua insan ini akhirnya bertemu jodoh dan paling istimewa sehingga kini mereka masih mengekalkan momentum persahabatan tersebut.

"Kami berkenalan di UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), kebetulan kami mengambil jurusan yang sama. Abang Rafique (panggilan Farrah kepada suaminya) merupakan pelajar senior setahun dalam jurusan undang-undang," ujar Farrah membuka bicara.

Mengimbas kembali situasi 14 tahun lalu, Farrah ketika itu seorang yang tidak mempercayai konsep kekasih, abang angkat, kakak angkat dan sebagainya.

"Bagi saya untuk mengambil seseorang sebagai suami, sama konsepnya dengan memilih seorang kawan karib kerana biasanya kita akan memilih seseorang betul-betul serasi. Sebab itu saya yakin, suami itu perlu menjadi sahabat saya terlebih dahulu," luah bekas pengacara rancangan Wanita Hari Ini (WHI), Akademi Al-Quran (AQ) dan Cari Menantu itu dalam nada teruja.

Pertemuan pertama sebagai kawan rapat adalah di sebuah restoran makanan segera di Sungei Wang, Kuala Lumpur.

Istimewanya mereka berdua tidak pernah mempunyai teman wanita atau lelaki sebelum bertemu satu sama lain.

"Daya tarikan abang Rafique ini adalah dia memang seorang sahabat yang sangat memahami. Saya amat selesa bersahabat dengannya. Persahabatan kami begitu ikhlas dan kami sangat menghormati antara satu sama lain," ujar Farrah yang kini mengusahakan perniagaan butik muslimah, Najjah.

Sementara itu, bagi Muhammad Rafique pula, dia menilai Farrah sebagai seorang sahabat yang sangat baik.

"Kami selesa menjadi diri sendiri. Memang tidak dinafikan setiap pasangan suami isteri ada yang tidak sempurna tapi kita perlu sentiasa berdoa untuk menjadi yang terbaik untuk satu sama lain. Kalau tidak bersahabat dan serasi, bagaimana kita hendak mengharungi macam-macam dugaan pada masa akan datang?," soal Muhammad Rafique yang kini mentadbir firma guamannya sendiri, Law Practice of Rafique.

Tambah Muhammad Rafique, dia tidak mempunyai cara khusus untuk melamar, sebab masing-masing sudah tahu hala tuju hubungan tersebut.

"Cincin tunang dan cincin kahwin semua kami beli bersama. Lalu pada tarikh 1.11.2002, kami sah menjadi suami isteri. Ketika itu saya baru habis belajar dan Farrah pula chambering di Pulau Pinang.

"Setiap bulan, saya akan naik bas ke Pulau Pinang untuk bertemu isteri dan rutin tersebut berlarutan selama setahun sebelum kami hidup bersama di Kuala Lumpur," jelasnya yang dilahirkan di Klang, Selangor.

Farrah menambah, mereka berdua berkahwin pada usia muda iaitu dia, 24 dan suaminya, 25 tahun.

"Majlis perkahwinan kami bukanlah meriah sangat sebab belum bekerja. Tapi mak saya selalu berpesan, orang akan kenang kalau kita menyenangkan. Tiada hantaran, cuma mas kahwin sahaja, kerana yang lebih penting ialah kehidupan selepas kahwin," ujar Farrah penuh yakin. Setelah tujuh tahun berkahwin, akhirnya doa Farrah dikabulkan Tuhan. Pada 31 Ogos lalu, dia telah dikurniakan seorang anak angkat iaitu Mohammad Razique Abdullah, setahun 8 bulan.

Menurut Farrah setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Tempoh tujuh tahun bersama adalah tempoh untuk melengkapkan diri masing-masing. Memperbaiki komunikasi dan mencari persefahaman bagi memantapkan diri sebelum bergelar ibu dan bapa.

Muhammad Rafique bertuah mendapat Farrah yang bijak menjaga diri sebagai personaliti popular tanah air.

"Saya yakin dengan Farrah, kami berdua sangat sibuk dan Farrah adalah tempat rujukan saya untuk apa jua masalah. Saya juga amat percaya dengan penilaian Farrah," katanya jujur.

Farrah yang semakin jelita itu juga menyetujui apa yang diperkatakan suami.

"Setiap kali solat, saya berdoa agar jodoh kami panjang. Suami adalah sahabat dan partner yang baik.

"Kalau tiada team player yang baik akan musnah juga sesuatu institusi itu.

"Alhamdulillah setakat ini kami berdua tidak perlu merujuk orang ketiga atau keempat untuk mengadu masalah. Bagi kami sebaiknya masalah keluarga diselesaikan sendiri," ujarnya.

Yang penting bagi kedua pasangan romantik ini ialah berkomunikasi secara diplomasi.

"Jangan sesekali menganggap perkahwinan ini pengorbanan. Anggaplah suami atau isteri sebagai sahabat yang akan berkongsi apa sahaja dengan anda hingga ke akhir hayat," akhiri Farrah dengan ceria.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: